Artikel saya sebelum ini mengenai isu kalimah Allah, sama juga seperti artikel dan pandangan rakan-rakan serta sarjana lain yang jauh lebih hebat, tidak lepas daripada kritikan. Ada yang menyatakan artikel saya itu ada elemen Wahabisme. Yang paling hebat ada yang mengecam saya dengan menyatakan tindakan saya membawa kepada kekufuran. Kali ini saya ingin ‘menghabiskan’ masa dengan melayan sedikit kritikan tersebut.
Bila saya teliti semula tulisan saya tersebut, saya tidak menyokong walau sedikit pun tindakan penganut Kristian Malaysia menyekutukan Allah. Yang saya nyatakan hanyalah kebenaran yang termaktub di dalam al-Quran dan Hadith bagi non-Muslim sekiranya ingin menggunakan kalimah Allah bagi merujuk kepada tuhan sekalian alam. Bagi penjawat awam, mungkin anda biasa menggunakan istilah ‘menyokong’ dan ‘tiada halangan’ dalam membuat pertimbangan terhadap sebarang permohonan. Implikasinya jauh berbeza.
Analoginya, walaupun mungkin sedikit tersasar, ialah sebagai pemerintah, anda sudah tentu perlu membenarkan masyarakat non-Muslim memakan khinzir. Adakah tindakan membenarkan itu membawa maksud anda menyokong dan menggalakkan mereka makan khinzir? Tidak sama sekali.
Saya yakin mereka yang mengecam artikel saya ialah mereka yang penuh bersemangat dalam mempertahankan agama. Saya yakin mereka banyak kali menyelamatkan wanita Melayu murtad. Saya yakin mereka pernah memantau pergerakan orang-orang Melayu dalam gereja. Saya yakin mereka pernah berdakwah kepada masyarakat orang asal. Saya yakin mereka pernah berdakwah kepada orang bukan Islam. Saya yakin mereka bersungguh-sungguh membebaskan penyembahan orang Melayu daripada fahaman kebangsaan, sekular, liberal, hedonisme, sosialisme dan seumpamanya.
Saya bukan ingin berbangga, akan tetapi saya pernah juga la membuat walaupun sekejap perkara-perkara di atas.
Saya menghargai semangat kita semua mempertahankan aqidah umat Islam. Akan tetapi, respon dan reaksi kita dalam menangani isu ini perlulah tepat dan rasional supaya tidak memberikan kesan negatif kepada Islam.
Jika ada yang menuduh pendapat saya itu ada elemen Wahabisme, itu saya kurang pasti. Pertamanya, saya tidaklah bersama-sama dengan mereka yang dicop Wahabi itu. Keduanya, saya sendiri tidak tahu apa pandangan kumpulan yang dilabel Wahabi di dalam isu kalimah Allah. Ketiganya, kalau benar ‘kumpulan Wahabi’ itu mempunyai pandangan yang kebetulan pandangan saya sama seperti mereka, janganlah pula menuduh saya Wahabi. Analoginya, kalau ada pandangan Kristian yang kebetulan sama dengan pandangan saya, adakah sewenang-wenangnya saya dituduh Kristian?
Jika ada yang menuduh pendapat saya membawa kepada kekufuran, di mana agaknya premis tuduhan tersebut? Sejak kecil, memang saya diajar untuk memperjuangkan dan berdakwah terhadap keesaan Allah. Saya diminta bersungguh-sungguh mengeluarkan penyembahan manusia terhadap fahaman kebangsaan, kebendaan, hedonisme, sekularisme, dan elemen syirik yang lain. Saya menyeru supaya dimurnikan aqidah dan tauhid kita kepada Allah. Tidak pernah saya sekali saya pernah meminta, atau menggalakkan penganut Kristian untuk menyekutukan Allah.
Cadangan saya satu sahaja, iaitu perbaiki respon dan reaksi kita. Sepatutnya sedari awal perlu dielakkan strategi mengenakan undang-undang dalam kuasa eksekutif, dan juga kamar mahkamah untuk menangani isu ini. Dialog perlu didahulukan. Status quo juga perlu diraikan. Bagi yang membuat kesalahan kerana menyebarkan agama mereka kepada Muslim, ambillah tindakan.
Seorang rakan saya, Mr S.A. warga Malaysia yang bekerja di UK ketika mengulas isu kalimah Allah di tanah air sekarang berkata kepada saya, yang ramai rakan sekerja beliau memerhatikan secara serius perkembangan isu ini. Ada antara mereka yang Muslim, menyatakan yang nama Malaysia akan jadi lebih harum sekiranya isu ini diselesaikan dengan baik.
Ada seorang rakan Maghribi saya di sini pernah menceritakan gejala murtad yang berleluasa di negaranya. Menurut beliau, masuk agama Kristian telah menjadi trend terkini di kalangan penduduk negara itu, termasuklah beberapa orang bapa saudaranya. Matlamat mereka satu sahaja, iaitu untuk mengejar status yang tinggi dalam masyarakat. Trend masyarakat di sana ialah memandang tinggi kepada orang Kristian. Yang memeluk Kristian, akan mendapat pelbagai imbuhan, ganjaran, kerja dan status.
Saya bertanya, adakan fenomena itu disebabkan mereka keliru dengan penggunaan kalimah Allah dan banyak lagi istilah agama di dalam Kristian. Beliau menjawab, sama sekali tidak. Mereka boleh membezakan istilah Islam dan istilah Kristian walaupun berkongsi perkataan. Tetapi sebab utama gejala itu berlaku ialah kerana tipisnya iman umat Islam di sana. Mudah tewas dengan ganjaran duniawi, akhirnya dunialah yang menjadi kayu ukur mereka untuk membuat keputusan di dalam diri.
Usaha untuk mengampuhkan iman di dalam diri adalah kerja yang mulia. Dan kerja inilah sepatutnya yang menjadi keutamaan kita sekarang ini. Tewas kepada dunia atas nama cinta, akhirnya keluar Islam. Tewas kepada dunia atas nama duit dan harta, akhirnya keluar Islam. Tewas kepada dunia atas nama merajuk dan kecewa, akhirnya keluar Islam. Semua itu kerana tipis iman.
Mungkin pandangan saya ini salah. Akan tetapi saya rasa tiada umat Islam yang keluar Islam kerana keliru penggunaan kalimah Allah dalam agama lain. Lainlah kalau lahir dengan nama Islam, akan tetapi tidak pernah diajar ilmu aqidah dan tauhid, itu barangkali akan mempengaruhi mereka.
Justeru, gunalah peluru yang betul untuk mengatasi kekusutan ini. Respon dan reaksi biarlah tepat dan kena, supaya terpamer keindahan Islam sebagai rahmat kepada semua.