1430 H melabuhkan tirainya. Kini tibalah lembaran baru dalam taqwim umat Islam. Selamat datang 1431 H. Di tanah air, ketibaan tahun baru hijri disambut dengan perayaan Ma’al Hijrah. Cuti umum diberikan kepada kakitangan awam untuk menyambutnya. Perarakan dan sambutan diadakan secara meriah. Di peringkat kebangsaan dan negeri, akan ada beberapa individu terbilang, sama ada muslim atau non-muslim yang menerima anugerah tokoh Maal Hijrah. Khabarnya tokoh antara tokoh Ma’al Hijrah pada tahun ini di peringkat kebangsaan ialah Professor Dr Yusuf al-Qaradawi. Saya ternanti-nanti ucapannya dan dengan siapa beliau akan bertemu dan melawat.
Umat Islam menyambut 1430 H dengan episod hitam, apabila Genting Ghazza (Gaza, Palestin) disembelih dan dipenjara oleh tentera haram Zionist. Sehingga ke penghujung tahun, tiada pembelaan yang sewajarnya diberikan kepada Ghazza dan anak watannya. Laporan Goldstone dipandang sebelah mata sahaja. Sepanjang 1430 H menyaksikan bumi Islam masih terjajah dengan kuasa dunia. Iraq dan Afghanistan masih merintih. Islamophobia makin menjadi-jadi hasil gerak kerja jahat Zionist dan kejahilan manusia. Di penghujung 1430, kita menangis apabila mendapat tahu kerajaan Mesir berhasrat untuk membina tembok penghalang di sepanjang sempadan Mesir dan genting Ghazza.
Tahun hijrah adalah tahun Muslim. Ianya bersifat Islamik. Akan tetapi jangan sama sekali kita menyatakan yang tahun Masihi itu tidak Islamik. Ini kerana tahun Masihi itu adalah berlandaskan perkiraan matahari. Di dalam al-Quran, beberapa kali Allah menyebut yang dijadikan bulan dan matahari itu untuk tujuan perkiraan masa. Maha suci Tuhan yang menciptakan itu semua untuk kita. Taqwim masihi juga merupakan sebahagian daripada petunjuk kekuasaan Tuhan mengatur undang-undang alam.
Januari Februari, atau Muharram Safar, nama bulan-bulan itu telah wujud sebelum ‘tahun’ mula dikira. Tahun Masihi, ditulis di dalam bahasa Inggeris sama ada dengan AD atau CE. Di dalam bahasa Inggeris, kita digalakkan untuk menggunakan CE, merujuk kepada Common Era (atau Christian Era). AD bermaksud Anno Domini, perkataan Latin yang bermaksud ‘In The Year of Our Lord’. Sekiranya Lord yang dimaksudkan itu ialah Tuhan, maka kita tidak mempercayainya kerana Isa bukan Tuhan. Ada juga yang salah faham dengan menyatakan AD itu bermaksud after death, merujuk kepada kematian Isa. Ini juga salah, kerana nabi Isa tidak mati di dalam aqidah Islam, dan ianya juga bukan maksud penuh kepada akronim AD. Kalender masihi adalah berlandaskan kelahiran Isa, dan kita percaya kepada kelahiran Isa.
Adapun taqwim hijri, bulan-bulannya telah wujud sebelum ‘tahun’ itu dimulakan lagi. Arab jahiliyyah telah lama menggunakan nama-nama bulan yang berasaskan sistem lunar ini. Akan tetapi secara rasmi taqwim itu dikira ‘tahunnya’, bukannya bermula dengan kelahiran nabi Muhammad, akan tetapi dengan peristiwa Hijrah Rasulullah dari kota Makkah ke kota Madinah. Begitu signifikan sekali di dalam kalender umat Islam ini, kerana menjadikan peristiwa penting tersebut sebagai permulaan kepada kalender kita, berdasarkan ijtihad Saidina Umar.
Kerana itulah sambutan tahun baru umat Islam sering dikaitkan dengan hijrah dan pengorbanan. Ianya menjadi wirid setiap kali kedatangan tahun baru tersebut. Berbeza dengan kelahiran tahun baru Masihi, ianya lebih sinonim dengan hiburan semata-mata. Lantaran, mengutamakan taqwim hijri daripada taqwim Masihi adalah lebih utama sebagai menegakkan syi’ar. Janganlah biarkan anak-anak kita dibesarkan tanpa langsung mengetahui kalender syi’ar Islam ini.
Banyak ceramah dan pengisian peristiwa Hijraturrasul akan dilaungkan oleh para pendakwah sekarang. Dalam kesempatan ini, saya hanya ingin menyentuh satu aspek sahaja berkaitan dengan peristiwa hijrah tersebut.
Hijrah di dalam sejarah nabi-nabi terdahulu sebelum Muhammad bukanlah satu perkara yang asing di dalam misi dakwah mereka. Bahkan di dalam al-Quran, banyak peristiwa hijrah para nabi diceritakan oleh Allah SWT. Yang ingin saya sentuh untuk membuat sedikit perbandingan ringkas secara kritikal, ialah hijrah nabi Musa dan bani Israel dari Mesir ke kota al-Quds, dan juga hijrah nabi Muhammad dan Abu Bakar dari Makkah ke Madinah.
Hijrah Musa dan Bani Israel ketika mereka dikejar oleh Firaun dan bala tenteranya diceritakan oleh Allah SWT di dalam surah al-Syu’ara’ ayat 61-61:
فَلَمَّا تَرَاءَى الْجَمْعَانِ قَالَ أَصْحَابُ مُوسَى إِنَّا لَمُدْرَكُونَ . قَالَ كَلَّا إِنَّ مَعِيَ رَبِّي سَيَهْدِينِ
Setelah kedua-dua kumpulan itu nampak satu sama lain, berkatalah orang-orang Nabi Musa: Sesungguhnya kita akan dapat ditawan. Nabi Musa menjawab: Tidak! Jangan fikir (akan berlaku yang demikian)! Sesungguhnya aku sentiasa disertai oleh Tuhanku (dengan pemeliharaan dan pertolonganNya), Dia akan menunjuk jalan kepadaku.
Adapun hijrah Muhammad dan Abu Bakar disentuh Allah SWT di dalam surah al-Taubah ayat 40:
إِلَّا تَنْصُرُوهُ فَقَدْ نَصَرَهُ اللَّهُ إِذْ أَخْرَجَهُ الَّذِينَ كَفَرُوا ثَانِيَ اثْنَيْنِ إِذْ هُمَا فِي الْغَارِ إِذْ يَقُولُ لِصَاحِبِهِ لَا تَحْزَنْ إِنَّ اللَّهَ مَعَنَا فَأَنْزَلَ اللَّهُ سَكِينَتَهُ عَلَيْهِ وَأَيَّدَهُ بِجُنُودٍ لَمْ تَرَوْهَا وَجَعَلَ كَلِمَةَ الَّذِينَ كَفَرُوا السُّفْلَى وَكَلِمَةُ اللَّهِ هِيَ الْعُلْيَا وَاللَّهُ عَزِيزٌ حَكِيمٌ
Kalau kamu tidak menolongnya (Nabi Muhammad) maka sesungguhnya Allah telahpun menolongnya, iaitu ketika kaum kafir (di Mekah) mengeluarkannya (dari negerinya Mekah) sedang dia salah seorang dari dua (sahabat) semasa mereka berlindung di dalam gua, ketika dia berkata kepada sahabatnya: Janganlah engkau berdukacita, sesungguhnya Allah bersama kita. Maka Allah menurunkan semangat tenang tenteram kepada (Nabi Muhammad) dan menguatkannya dengan bantuan tentera (malaikat) yang kamu tidak melihatnya dan Allah menjadikan seruan (syirik) orang-orang kafir terkebawah (kalah dengan sehina-hinanya) dan Kalimah Allah (Islam) ialah yang tertinggi (selama-lamanya), kerana Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.
Apa yang menarik perhatian di sini, ialah kedua-dua hijrah itu diiringi dengan jaminan atau doa penenang kedua-dua nabi itu kepada para pengikut mereka. Akan tetapi, doa itu mempunyai falsafah yang berbeza. Kepada Bani Israel, nabi Musa menyebut إِنَّ مَعِيَ رَبِّي yang bermaksud sesungguhnya bersamaku ialah Tuhanku. Sementara kepada Abu Bakar, nabi Muhammad menyebut إِنَّ اللَّهَ مَعَنَا yang bermaksud sesungguhnya Allah bersama kita.
Perbezaannya agak ketara, iaitu doa Musa itu menyebut diri manusia dahulu (معي), barulah menyebut Tuhan (Rabb). Adapun doa Muhammad, menyebut Allah dahulu, barulah menyebut diri manusia (معنا). Ini adalah falsafah keyakinan kita terhadap kebersamaan Allah, atau apa yang disebut sebagai معية الله.
Ulamak menjelaskan perbezaan ini, dengan menyatakan itulah kelebihan dan keutamaan Abu Bakar berbanding Bani Israel pengikut Musa. Bani Israel terkenal dengan sikap mementingkan diri sendiri, materialistik dan lebih percaya kepada kuasa manusiawi. Dengan sebab itulah untuk menenangkan mereka ketika diancam tentera Firaun, Musa terpaksa menyebut diri manusia dahulu barulah disebut perkataan Tuhan. Itu pun, hanya perkataan Rabb yang digunakan.
Akan tetapi Abu Bakar, dikenali sebagai al-Siddiq, kerana sentiasa percaya kepada kebenaran Allah dan Nabi. Tidak sedikit pun Abu Bakar meragui apa yang diperintahkan oleh Allah dan Muhammad. Tidak sedikit pun meragui dirinya menemani Rasulullah dalam hijrah yang cukup berahsia dan berisiko tinggi itu. Tidak sedikit pun meragui untuk meninggalkan keluarga dan sanak saudara demi Rasulullah tercinta. Tidak sedikit pun meragui untuk mengorbankan kakinya dipatuk ular semata-mata untuk melindungi nabi di dalam gua. Tidak sedikit pun ragu-ragu untuk mengorbankan keseluruhan hartanya, bukan sebahagian, bukan separuh atau tiga perempat, semata-mata untuk menegakkan kalimah Allah di muka bumi.
Justeru, ubat penenang yang Muhammad berikan kepada Abu Bakar ketika menyorok di dalam gua, ialah cukup menyebut الله معنا. Allah bersama kita. Didahulukan perkataan Allah, barulah disebut perkataan kita. Cukup menyebut Allah, tenang jiwa Abu Bakar. Disebut nama Allah, bertambah keyakinan Abu Bakar.
Pengorbanan Abu Bakar inilah yang menjadi idola penduduk Madinah. Mereka meniru pengorbanan Abu Bakar, lantas sanggup mengorbankan diri dan harta mereka untuk membela rakan-rakan Muhajirin. Mereka menyediakan rumah, memberikan tanah, bahkan ada yang sanggup menceraikan isteri (kerana semasa jahiliyyah mereka berkahwin lebih daripada empat) dan ‘mengahwinkan’nya kepada saudara Muhajirin. Atas dasar inilah, mereka dikenali sebagai al-Ansar, golongan pembantu. Mereka sanggup berkorban untuk membantu perjuangan Islam, kerana mereka yakin bahawa barang siapa yang membantu agama Allah, maka mereka akan dibantu.
Siapa yang tidak mengalir air mata mereka membaca pengorbanan Abu Bakar dan Ansar ini, keraslah hatinya. Sesungguhnya amat tinggi pengorbanan yang mereka lakukan demi cinta kepada Allah dan Rasul. Dengan kesungguhan mereka, lahirlah kekuasaan Islam dalam sebuah institusi politik negara. Hasil pengorbanan serta kebersamaan yang tinggi dengan Allah SWT inilah merupakan antara asbab mengapa kita menjadi Muslim di hujung zaman ini.
Sekarang, kita berhadapan dengan pelbagai cabaran yang mengancam umat Islam akhir zaman ini. Gejala murtad, masalah sosial, liberalisasi tanpa kawalan, sekularime dan seumpanya, memang agak merungsingkan. Justeru, kita mendambakan lahirnya insan yang sekurang-kurangnya mempunyai biasan sahsiah Abu Bakar, yang tinggi pengharapannya kepada Allah, dan sentiasa merasai kebersamaan Allah dalam setiap tindakan. Kita juga sering mengharapkan lahirnya generasi biasan Ansar, yang mempunyai keluhuran peribadi dan kejernihan hati, seterusnya sanggup mengorbankan apa sahaja demi agama yang tercinta.
Mulakanlah proses melahirkan semula Abu Bakar dan Ansar moden itu di dalam diri kita sendiri. Didiklah isteri dan anak-anak, serta ajaklah teman dan taulan untuk membela agama kita ini. Moga tahun 1431 H akan menjadi noktah permulaan buat diri kita untuk meramaikan jelmaan Abu Bakar dan Ansar moden di dalam masyarakat kita.
******************
Dalam kesempatan ini, saya ingin mengucapkan kepada emak saya, selamat melahirkan diri saya pada tengahari Jumaat 1 Muharram 1399 H. Pengorbanan emaklah menjadikan kami adik-beradik insan yang berjaya. Terima kasih kerana melawat kami di sini. Selagi hayat dikandung badan, selagi itu saya usahakan untuk terus berbakti, sebagai pelaburan kita bersama di akhirat nanti.

hepi birthday, ustaz.. salam maal hijrah to najat.. thanks 4 sharing. Dapat dijadikan titik muhasabah..
akhi, happy birthday! Harap2 dalam hidup ini kita dapat tengok negara2 umat Islam ‘berhijrah’ menjadi negara Islam yg merdeka sepenuhnya…