Dalam seminggu dua ini, dunia sedang mengikuti perkembangan Sidang Kemuncak Cuaca di Copenhagen. Setakat ini, beratus-ratus persidangan, pameran, kertas kerja dan forum telah dibentangkan sebagai respon terhadap peningkatan suhu global kesan pencemaran manusia ke atas alam sekitar. Sidang kemuncak itu telah disambut warga Eropah dengan demonstrasi bantahan, dengan menyaksikan hampir 1000 orang pendemosntrasi telah ditahan oleh polis Denmark. Pendemonstrasi menyatakan bantahan mereka terhadap sikap hipokrit dan ego negara-negara besar di dalam isu alam sekitar, serta mendesak dana yang lebih banyak disumbangkan ke arah usaha-usaha hijau. Kemuncak kepada persidangan tersebut akan diadakan pada hari terakhir pada 18 Disember ini. Dijangka lebih 120 orang pemimpin utama negara seluruh dunia akan hadir.

Sebagai salah seorang warga bumi, saya rasa bersyukur dengan usaha seumpama ini, sama ada penganjuran sidang kemuncak itu sendiri, mahupun demonstrasi susulan. Sekiranya tiada inisiatif seumpama ini dilakukan, saya yakin saya serta ribuan warga bumi yang lain akan mengambil sikap tidak peduli terhadap tanggungjawab kita terhadap alam sekitar. Saya juga yakin, ramai rakan-rakan dari Malaysia yang pernah merantau walau sekejap ke luar negara terutamanya ke negara barat (lagi) akan dapat melihat kesungguhan mereka menjaga alam sekitar, berbanding negara kita sendiri.

Dalam masa yang sama, saya tidak nafikan bahawa di negara kita, usaha untuk memelihara dan memulihara alam sekitar telah dilakukan sejak sekian lama. Teringat saya semasa sekolah rendah, pada waktu tersebut kempen mengutip tin minuman sedang aktif dilakukan. Akan tetapi yang bermain di minda saya sebagai kanak-kanak ketika itu ialah, lagi banyak saya kutip tin, lagi banyak RM imbuhan yang masuk. Mungkin dengan sebab kelemahan diri saya terutamanya, serta mungkin kecacatan daripada aspek penerangan, saya dan rakan-rakan yang lain mungkin tidak terdidik betapa kempen itu sebenarnya adalah satu usaha menimbulkan kesedaran supaya kita mencintai alam sekitar.

Saya juga teringat di rumah saya, mak dan arwah abah selalu mengitar semula botol lama, bateri lama dan surat khabar lama. Pakcik Ah Chong setiap minggu akan lalu ke kawasan perumahan kami dengan menjerit surat khabar lamaaaaa, booooootol lama. Mula-mula hanya berkayuh basikal sahaja. Bila sudah maju, beliau memiliki lori dan sistem pembesar suara tersendiri. Kerja saya sebagai kanak-kanak, ialah menahan Ah Chong dan bawa dia ke belakang rumah saya untuk mengambil barang-barang lama tersebut. Duitnya, masuk tabung. Pastinya, yang terfikir di dalam minda saya ketika itu bukannya alam sekitar, tetapi imbuhan duit semata-mata.

Semasa di KISAS pun, sisa-sisa makanan kami akan dikutip oleh penternak khinzir katanya, untuk dikitar semua menjadi bahan makanan mereka. Bagus juga, daripada terbuang membazir begitu sahaja.

Justeru, kita sebagai warga bumi perlu mendidik diri kita dan juga anak-anak generasi muda, supaya menghargai, mencintai, memelihara memulihara alam sekitar. Di German, mereka mengambil masa 20 tahun untuk menggalakkan penduduknya supaya membuang sampah mengikut kategori botol kaca, kertas, bahan makanan dan lain-lain ke dalam tong sampah yang berbeza mengikut kod warna masing-masing, supaya boleh dikitar semula. Di pusat asuhan kanak-kanak lagi, wajib ada silabus mengenai alam sekitar. Kesannya, majoriti penduduk di negara tersebut terdidik dan rasa bertanggungjawab terhadap bumi ini.

Pun demikian, sikap tamak haloba dan materialistik manusia sering menghambat usaha murni tersebut. Syarikat-syarikat korporat dan industri gergasi masih banyak lagi yang tidak bertanggungjawab terhadap alam sekitar. Mereka tanpa rasa bersalah melepaskan banyak print carbon ke udara dalam memaksimumkan keuntungan mereka. Dalam masa yang sama, ada juga yang bersikap hipokrit, kononnya demi alam sekitar, maka harga produk mereka dinaikkan. Tetapi tiada yang disumbangkan ke arah menghijaukan bumi.

Membaca secara ringkas mengenai usaha memelihara alam sekitar, turut menyebabkan saya rasa marah dengan negara kuasa besar dunia. Amerika, China, Eropah dan lain-lain, adalah antara negara yang paling banyak melepaskan karbon dan pencemaran ke bumi. Mereka ini sepatutnya bertanggungjawab untuk membayar kaffarah dosa mereka terhadap alam dengan meningkatkan lagi dana yang ada, untuk kajian serta gerak kerja menghijaukan alam. Banyak usaha tang telah mereka lakukan dan perlu saya akui, seperti gran kajian terhadap isu alam sekitar, dan juga dana peralatan hijau. Contohnya, di UK, harga bulb lampu bertenaga rendah amat murah sekali, bahkan biasanya boleh diperolehi secara percuma sahaja. Akan tetapi, itu bagi saya tidak mencukupi lagi berbanding pencemaran yang mereka buat demi mengaut keuntungan mereka. Mereka juga bertanggungjawab untuk mendidik negara-negara membangun dan mundur, supaya turut rasa bertanggungjawab terhadap alam sekitar. Bumi bukan milik negara maju sahaja, tetapi milik semua. Dan kita tiada bumi kedua, inilah satu-satunya bumi yang kita ada untuk terus hidup.

Dalam masa yang sama, mungkin ramai juga yang tertanya-tanya di manakah suara Islam di dalam memperjuangkan isu alam sekitar. Saya rasa ramai yang bersetuju bahawa dunia Islam agak terkebelakang di dalam memperjuangkan isu ini. Di Malaysia sebagai contohnya, isu alam sekitar tidak menjadi tumpuan di dalam mana-mana pertubuhan dakwah dan juga parti politik Muslim yang besar. Baik UMNO atau PAS, manifesto kedua-dua parti ini masih hanya beretorik di dalam memperjuangkan kehijauan alam. Kalau disuarakan di dalam Parlimen pun seperti yang saya baca dalam hansard Dewan Rakyat, hanya bersifat slogan dan kosmetik sahaja. Mungkin agaknya ada agenda lain yang lebih besar yang perlu diutamakan, akan tetapi sama sekali isu alam sekitar tidak boleh ditinggalkan. Jarang juga kedengaran suara ulamak mengenai isu ini.

Jika diteliti, Islam menjuarai alam sekitar di dalam al-Quran dan al-Sunnah. Secara ringkasnya, bagaimana Islam menitikberatkan isu tersebut boleh dilihat seperti berikut:

1. Sejak awal ciptaan manusia, Allah telah memberikan amanah untuk kita menjadi khalifah atau wakil pengurus alam ini. Dengan sebab itulah Allah mengajar nabi Adam nama setiap ciptaannya satu persatu supaya dihargai dan dijaga semua itu. Firman Allah dalam surat al-Baqarah ayat 30-31:

وَإِذْ قَالَ رَبُّكَ لِلْمَلائِكَةِ إِنِّي جَاعِلٌ فِي الأرْضِ خَلِيفَةً قَالُوا أَتَجْعَلُ فِيهَا مَنْ يُفْسِدُ فِيهَا وَيَسْفِكُ الدِّمَاءَ وَنَحْنُ نُسَبِّحُ بِحَمْدِكَ وَنُقَدِّسُ لَكَ قَالَ إِنِّي أَعْلَمُ مَا لا تَعْلَمُونَ  . وَعَلَّمَ آدَمَ الأسْمَاءَ كُلَّهَا ثُمَّ عَرَضَهُمْ عَلَى الْمَلائِكَةِ فَقَالَ أَنْبِئُونِي بِأَسْمَاءِ هَؤُلاءِ إِنْ كُنْتُمْ صَادِقِينَ

Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada Malaikat; “Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi”. mereka bertanya (tentang hikmat ketetapan Tuhan itu Dengan berkata): “Adakah Engkau (Ya Tuhan kami) hendak menjadikan di bumi itu orang Yang akan membuat bencana dan menumpahkan darah (berbunuh-bunuhan), padahal kami sentiasa bertasbih dengan memujiMu dan mensucikanMu?”. Tuhan berfirman: “Sesungguhnya Aku mengetahui akan apa yang kamu tidak mengetahuinya”.
Dan ia telah mengajarkan Nabi Adam, akan segala nama benda-benda dan gunanya, kemudian ditunjukkannya kepada malaikat lalu ia berfirman: “Terangkanlah kepadaKu nama benda-benda ini semuanya jika kamu golongan yang benar”.

Dengan erti kata lain, memang sejak awal lagi Allah telah menghubungkan manusia dengan alam. Justeru, adalah kurang tepat sekiranya muslim hanya membicarakan mengenai hablun minallah dan hablun minannas, akan tetapi membiarkan sahaja hablun minal alam, iaitu hubungan dengan alam sekitar.

2. Islam mengajar supaya kita sentiasa mengenang budi. Kita mengetahui bahawa diri kita ini dicipta daripada unsur alam, seperti tanah air dan lain-lain. Maka sewajarnya kita menghargai semua anasir diri kita ini dengan cara memelihara dan memuliharanya. Firman Allah SWT dalam surah Hud ayat 61:

وَإِلَى ثَمُودَ أَخَاهُمْ صَالِحًا قَالَ يَا قَوْمِ اعْبُدُوا اللَّهَ مَا لَكُمْ مِنْ إِلَهٍ غَيْرُهُ هُوَ أَنْشَأَكُمْ مِنَ الأرْضِ وَاسْتَعْمَرَكُمْ فِيهَا فَاسْتَغْفِرُوهُ ثُمَّ تُوبُوا إِلَيْهِ إِنَّ رَبِّي قَرِيبٌ مُجِيبٌ

Dan kepada kaum Thamud, Kami utuskan saudara mereka: Nabi Soleh. Dia berkata: “Wahai kaumku! Sembahlah kamu akan Allah! Sebenarnya tiada Tuhan bagi kamu selain daripadanya. Dialah yang menjadikan kamu dari bahan-bahan bumi, serta menghendaki kamu memakmurkannya. oleh itu mintalah ampun kepada Allah dari perbuatan syirik, kemudian kembalilah kepadanya Dengan taat dan tauhid. Sesungguhnya Tuhanku sentiasa dekat, lagi sentiasa memperkenankan permohonan hambaNya”.

3. Al-Quran juga telah lama menyentuh mengenai kerosakan dan pencemaran alam. Ironisnya, kerosakan dan pencemaran itu dikaitkan dengan perbuatan manusia. Firman Allah SWT di dalam surah al-Rum ayat 41:

ظَهَرَ الْفَسَادُ فِي الْبَرِّ وَالْبَحْرِ بِمَا كَسَبَتْ أَيْدِي النَّاسِ لِيُذِيقَهُم بَعْضَ الَّذِي عَمِلُوا لَعَلَّهُمْ يَرْجِعُونَ

Telah berlaku kerosakan di darat dan di laut kesan daripada perbuatan manusia, demikian (supaya Allah) merasakan kepada mereka terhadap (kerosakan) yang mereka lakukan, semoga mereka kembali bertaubat.

4. Selain itu di dalam al-Quran, ada beratus-ratus ayat mengenai alam sekitar yang sepatutnya menuntut kita berfikir. Allah bercerita mengenai air, langit, bumi, tanah, bukit, gunung-ganang, fenomena alam sekitar, bulan, bintang dan matahari, semua itu antara lain adalah untuk kita bersyukur dan mengharga ciptaan-ciptaan itu semua.

5. Terdapat juga beberapa ibadah yang hijau perlaksanaannya. Sebagai contoh, mungkin suatu masa dahulu ramai yang tertanya-tanya apakah hikmah lain mengapa diharamkan kepada para jemaah haji yang berihram daripada memotong pokok tumbuhan di Makkah. Rupa-rupanya, para ulamak menyatakan yang hikmah saintifiknya dapat dikesan sekarang, iaitu dengan 3 juta umat manusia berkumpul di Makkah dalam satu masa, maka sudah tentu mereka memerlukan bekalan oksigen yang dikeluarkan daripada pokok tumbuhan. Justeru, perlu dipelihara pokok-pokok tersebut. Ibadah haji mungkin contoh kecil mengenai ibadah hijau dan mesra alam. Akan tetapi muslim perlu memperluaskan perlaksanaannya dalam konteks yang lain.

6. Semua akhak Muslim yang diajar oleh nabi Muhammad SAW sebenarnya adalah untuk kebaikan diri sendiri dan juga makhluk lain termasuklah alam. Sebagai contoh, nabi melarang kita membazir di dalam berwudu’ walaupun sumber air itu adalah percuma, seperti yang saya tulis dalam artikel sebelum ini. Di dalam Islam juga dilarang daripada tamak dan berlebih-lebihan, dan yang paling baik adalah sederhana. Sifat tamak manusia inilah menjadi penyumbang utama terhadap pencemaran alam.

KESIMPULAN

1. Sebagai warga bumi, kita perlu rasa bertanggungjawab untuk menjaga alam sekitar. Ini bukan kerja sekumpulan manusia sahaja. Ini bukan kerja pemimpin tertentu sahaja. Akan tetapi ini kerja semua orang. Pendidikan mengenai isu ini perlu diberikan sedari kecil lagi kepada anak-anak generasi muda.

2. Sebagai muslim, sepatutnya kitalah yang perlu menjuarai isu alam sekitar. Contoh di atas adalah lebih daripada mencukupi betapa agama kita merupakan agama yang hijau dan mesra alam.

3. Saya juga mencadangkan agar parti-parti politik, serta rakyat yang cerdik politik, supaya menjadikan isu alam sekitar ini sebagai sebahagian kayu ukur melantik pemimpin negara, walaupun tidak dinafikan terdapat juga pencemaran manusiawi lain yang perlu dimurni dan dibersihkan terlebih dahulu.

Kita memerlukan alam untuk hidup, dan alam juga memerlukan kita menjaganya untuk terus sihat dan berfungsi.

Advertisement