Sayu rasanya hati menjelang hari wuquf di Arafah. Disulami dengan rasa gembira melihat kawan-kawan menyambut lambaian Allah SWT, akan tetapi jauh di lubuk hati ini ternanti-nanti bilakah lagi dikurniakan kemampuan, kelapangan dan kekuatan untuk menjadi tetamu Allah bersama keluarga.
Sekurang-kurangnya, nabi mengajar supaya walaupun masih belum mampu untuk pergi ke Makkah, akan tetapi wujudkanlah rasa kebersamaan kita dengan para hujjaj. Apatah lagi di sepuluh hari pertama Zulhijjah, sebaik-baik hari, khususnya di hari Arafah, tingkatkanlah amal ibadah seperti mana para hujjaj sentiasa membasahi lidah mereka dengan zikir dan talbiah. Berpuasalah sekurang-kurangnya pada hari wuquf Arafah. Bagi yang mampu, keluarkanlah duit untuk menunaikan ibadah qurban, sama seperti para hujjaj mengeluarkan wang yang banyak untuk ke Makkah. Bagi yang berkorban, ikutilah pantang larang yang sama dengan para hujjaj dengan tidak mencabut bulu atau rambut serta tidak memotong kuku sehinggalah haiwan korban itu disembelih.
Agak pilu juga, kerana Aidul Adha tahun ini berlalu ketika al-Masjid al-Aqsa masih berada di bawah cengkaman Zionist. Dahulu, ramai umat Islam yang menziarahi al-Aqsa sama ada sebelum atau selepas menunaikan haji. Bagi yang tidak mampu ke Makkah, mereka akan beriktikaf di al-Aqsa ketika para hujjaj berwuquf di Arafah. Sayu juga melihat saudara kita di al-Quds yang bakal mengharungi musim sejuk ketika Aidul Adha ini dengan serba-serbi kekurangan.
Sama-sama kita doakan, agar tahun hadapan al-Aqsa akan dibebaskan, dan umat Islam bebas keluar masuk ke sana terutamanya ketika sambutan Aidul Adha ini. Bagi kita yang mampu, hulurkanlah sumbangan kepada mereka. Terima kasih juga saya ucapkan kepada 16 orang peserta qurban di Palestin, semoga semuanya mendapat taqwa daripada Allah SWT.
Dalam kesempatan ini, saya dan keluarga ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Aidul Adha kepada semua. Bagi yang menjadi tetamu Allah, semoga mendapat haji yang mabrur, dikurniakan kesihatan sepanjang berada di sana, serta pulang ke tanah air dengan jiwa dan roh yang baru.
MOGA TAHUN HADAPAN KITA BERAYA DI AL-AQSA!