Gaza, 3 Oktober – Sikap Pihak Berkuasa Palestin (PA) pimpinan Fatah menyokong usaha PBB menangguhkan undian terhadap laporan kezaliman negara haram Israel ke atas Gaza amat mengejutkan, ujar Ketua Biro Politik Hamas Khaled Mash’al kepada media semalam.
“Adakah kita boleh menerima tindakan Israel melakukan serangan, mengakibatkan penderitaan serta pembunuhan rakyat awam? Dan setelah mana pihak Palestin sendiri berjaya membawa isu ini kepada pihak penyiasat PBB, adakah masuk akal ada pihak Palestin yang lain yang meminta supaya ianya ditangguhkan?” soal beliau lagi.
Awal tahun ini, PBB telah menubuhkan sebuah pasukan penyiasat bagi membongkar jenayah perang yang dilakukan oleh Israel ke atas Gaza. Pasukan yang diketuai oleh Richard Goldstone itu sepatutnya membentangkan laporan itu kepada PBB Jumaat lepas, akan tetapi atas permintaan Pakistan yang dikatakan mewakili negara Arab, Afrika dan beberapa negara Muslim berkecuali, dengan sokongan kuat Pihak Berkuasa Palestin (PA), ianya telah ditangguhkan ke bulan Mac 2010. Mereka mendakwa penangguhan itu dibuat bagi membolehkan pihak lain menerimanya secara konsensus.
Laporan Goldstone antara lain mendapati yang Israel telah melakukan jenayah perang dan melanggar hak asasi manusia dalam serangan ke atas Gaza. Beliau turut mencadangkan agar Majlis Keselamatan PBB membawa Israel ke muka pengadilan Mahkamah Jenayah Antarabangsa.
Banyak pihak kecewa dengan sikap PA yang menyokong penangguhan laporan tersebut. Ini termasuklah Amnesty International yang menyatakan kekesalan mereka terhadap sikap tersebut.
Di Palestin, ramai penduduk tempatan telah keluar berdemonstrasi membantah sikap pimpinan Fatah di dalam hal tersebut. Ada yang menyifatkan mereka sebagai pengkhianat, kerana sanggup membiarkan mangsa kezaliman di Gaza terbiar tanpa pembelaan-AbidFana