Semasa pengajian di peringkat Master saya di University of Aberdeen, saya telah diminta untuk membuat kajian dan pembentangan mengenai transformasi demografi Palestin. Saya masih ingat lagi, dalam banyak-banyak tajuk yang diberikan kepada saya, tajuk inilah yang paling saya minat dan paling ‘jujur’ ketika menghasilkannya.
Kajian mengenai demografi Palestin, khususnya sebelum perjanjian Balfour sehinggalah ke zaman moden ini adalah satu kajian yang penting untuk mengetahui tipu daya Zionist menguasai al-Quds. Mereka berusaha untuk menghilangkan identiti Arab (bahkan identiti masyarakat pelbagai kaum) daripada tanah suci tersebut, dengan melakukan proses Zionisasi. Mereka berusaha untuk menimbulkan impresi yang bangsa Yahudilah yang lebih banyak berbanding bangsa-bangsa lain, serta menjadi majoriti di wilayah majlis perbandaran di seluruh Palestin.
Dua strategi jahat yang mereka gunakan untuk menguasai demografi Palestin, ialah dengan cara persempadanan semula dan juga menimbulkan banyak penduduk atau pengundi hantu khususnya ketika kajian bancian penduduk.
Dengan persempadanan semula, mereka berjaya untuk menguasai melalui majoriti kawasan majlis perbandaran seluruh Palestin. Apa yang mereka buat ialah, mereka akan pilih beberapa kawasan strategik milik rakyat Palestin yang mereka ingin kuasai, lalu mereka akan memanjangkan sempadan kawasan tersebut (secara tidak logik) meliputi kawasan majoriti Yahudi, supaya akhirnya kawasan tersebut menjadi kawasan majoriti Yahudi. Dengan cara ini, mereka akan menguasai pihak berkuasa majlis perbandaran tempatan. Untuk mengaburi mata, mereka ‘menyerahkan’ beberapa kawasan yang kurang nilai strategik kepada bangsa Arab.
Selain itu, mereka juga licik dalam mewujudkan penduduk atau pengundi hantu. Di dalam beberapa kajian bancian penduduk yang dilakukan, mereka telah memasukkan nama-nama penduduk yang tidak atau belum wujud lagi ke kawasan bancian. Tujuan mereka satu sahaja, iaitu untuk memastikan yang Yahudi menjadi bangsa majoriti berbanding Arab.
Dalam kajian saya, saya juga mendapati yang sebenarnya orang Yahudi mempunyai kadar kesuburan yang rendah. Jarang antara mereka mempunyai anak yang ramai, berbanding dengan orang Arab Palestin. Jangan keliru dengan Firman Allah SWT di dalam Surah Isra’ ayat 6:
…وَأَمْدَدْنَاكُمْ بِأَمْوَالٍ وَبَنِينَ وَجَعَلْنَاكُمْ أَكْثَرَ نَفِيرًا…
…Dan kami berikan kepada mereka (bangsa Yahudi) harta yang banyak serta anak yang ramai, serta kami jadikan kamu kaum yang ramai pasukannya….
Berdasarkan kajian saya, saya yakin yang dimaksudkan di dalam firman Allah ini ialah orang Yahudi dilihat ramai, bukannya kerana bilangan mereka ramai. Orang Yahudi kelihatan ramai dan kuat, kerana mereka menumpang kekuatan orang lain. Mereka terpaksa menggunakan proksi kuasa besar dunia untuk berkuasa. Zionist terutamanya, yang merupakan musuh dunia kini, bukanlah dianggotai oleh bangsa Yahudi sahaja. Tetapi penganut agama Kristian dan Islam pun ada yang menjadi pendokong Zionisme. InsyaAllah saya akan menulis lanjut mengenai hal ini.
Saya yakin, mana-mana kuasa jahat yang ingin berkuasa, mereka pasti meniru strategi jahat Zionist ini dalam mengejar cita-cita politik mereka.