USTAZ ASRI RABBANIInsan itu bukan sebarang,
Dia insan terbilang,
Jasanya disebut orang,
Perginya kekal dikenang.

Malam 13 Ogos, selepas berjemaah di Masjid pada jam 10:30 malam, saya memacu kereta ke tepi pantai Aberdeen. Niatnya ingin melihat meteor shower di langit. Bulan sepertiga akhir Sha’ban kelihatan indah. Biasan cahayanya di Laut Utara menenangkan. Bayu musim panas mendamaikan. Berseorangan menanti munculnya keunikan ciptaan Ilahi di langit, hati saya sebak apabila tiba-tiba fikiran saya kembali mengingatkan peristiwa pemergian mengejut arwah abah pada tahun 2005 akibat serangan jantung. Di kejauhan, kelihatan anak-anak muda memakai hoodies membuat bising. Allah bagi signal supaya saya pulang segera.

Selepas sampai di rumah, saya terus melabuhkan mata untuk berehat. Sejurus bangkit untuk menunaikan solat subuh, saya dikejutkan dengan berita perkhabaran pemergian al-Marhum Ustaz Mohamad Asri Ibrahim. Sebab yang sama dengan arwah abah, iaitu serangan jantung. Berita yang akan mengejutkan dan menyedihkan.

Ramai generasi saya membesar dengan hiburan al-Marhum Ustaz Asri. Ketika inilah ingatan saya kembali ke zaman awal sekolah rendah. Abang sulung kesayangan saya setiap kali pulang bercuti dari asrama, pasti akan memasang kaset nasyid putera-putera al-Arqam. Lagu Asmaul Husna, Islam Yang Telah Berkembang dan Musafir Kelana telah menggantikan lagu nurseri kanak-kanak yang dihidangkan di sekolah rendah. Arwah abah juga amat meminati nasyid, sehingga di’dubbing’ kaset tersebut untuk dimainkan di kereta, dapur, ruang tamu dan bilik tidur. Kemuncak kepada minatnya keluarga kami kepada nasyid tersebut sehingga menyebabkan arwah abah membawa kami sekeluarga melawat Sungai Penchala, seingat saya semasa saya darjah tiga. Saya masih ingat dibawa melawat ke restoran, kedai, studio OVA dan berjumpa beberapa orang penasyid. Ketika solat berjemaah di surau mereka, itulah kali pertama saya mendengar suara-suara indah jemaah al-Arqam mengalunkan wirid Ilahi Lastu Lilfirdausi… tiada tandingan.

Seterusnya ingatan saya kembali melayang ke zaman menengah rendah di Sekolah Menengah Agama Kuala Lumpur. Terkenang guru kesayangan dan bapa angkat saya, Cikgu Abu Hasan Morad yang baru dipindahkan dari Ma’ahad Hamidiyah Kajang ke SMAKL. Kalau legasi utama CAHM di Ma’had ialah kumpulan Mirwana dan Yasin Sulaiman, perkara yang sama turut dilakukan di SMAKL. Maka ditubuhkanlah kumpulan Suara SMAKL. Berpuluh-puluh pelajar SMAKL telah dibawa ke Sungai Penchala untuk menerima latihan dan seterusnya uji bakat. Saya merupakan antara calon yang awalnya tersingkir kerana ‘tiada suara’, akan tetapi dengan pelawaan abang Mujahid dan abang Idzhar (NSH), saya telah dimasukkan semula. Jurulatih utama kami ketika itu ialah arwah Abang Zairie (Azahari Ahmad – Raihan). Beliau melatih kami menjadi artis nasyid yang sebenarnya. Berhujung minggu di Sungai Penchala menjadi kebiasaan kami. Ketika itulah kami mula hampir dengan al-Marhum Ustaz Asri. Beliau adalah seorang yang ada daya tarikan tersendiri. Walaupun amat berbakat, tetapi hidup dengan merendah diri. Walaupun kami masih ‘budak-budak hingusan’ pada waktu tersebut, tetapi Us Asri beberapa kali menjemput kami mengiringi persembahan Nadamurni di atas pentas. Beliau amat mesra, tidak lokek ilmu. Ketika saya, Azahari Abdul Rahman NSH dan beberapa orang rakan menebalkan muka menuntut ilmu nasyid dan percussion di MAKSI, Ustaz Asri antara yang paling banyak melayan kami, selain daripada abg Isman. Ustaz Asri kerap memberikan nasihat, kita bernasyid bukannya semata-mata nak menghiburkan orang, tetapi kita juga ingin mendidik orang. Itulah yang akan menjadikan nasyid itu sebagai ibadah.

Ketika itu, antara album hit NadaMurni ialah album Munajat. Ada 2 versi album Munajat. Berlakunya 2 versi dalam album munajat itu adalah terjemahan supaya menjadikan nasyid sebagai alat untuk mendidik jiwa masyarakat, dan bukan semata-mata menghiburkan hati sahaja. Saya masih teringat cerita abg Asri Ubai yang Us Asri menangis semasa merakamkan lagu Munajat. Lagu itulah yang kadang-kadang memudahkan hati saya lembut, untuk menitiskan air mata penyesalan. Kalau hati dihambat dengan keduniaan, saya dengar lagu Nun di Sana Cita-cita Kita. Kalau diri rasa diuji ketika berjuang, didengarkan lagu Sunnah Orang Berjuang.

Kemudian diterbitkan album Cahaya di Ufuk Timur. Pemimpin Tiga Darjat, Rindu, Ulamak Pewaris Nabi dan Kegelapan Malam adalah antara lagu hits. Semuanya bertemakan optimisme dalam memenangkan Islam mengikut ramalan, akhlak muslim dan pembersihan hati. Lagu-lagu itu ada roh, kerana penyanyinya menjaga roh masing-masing. Tidak semua penasyid Nadamurni dilibatkan dalam proses rakaman Cahaya di Ufuk Timur, kerana sebahagiannya diminta untuk mejalani latihan kerohanian di kejauhan sana. Sebelum recording atau konsert, Us Asri selalu memimpin solat hajat dan berdoa, memberi peringatan supaya menjadikan kerja itu sebagai ibadah dengan 5 rukun yang kerap diulangnya, ikhlas dan tidak kurang juga bertawassul dengan Nabi Daud dan Abdullah bin Rawahah (tawassul era Al-Arqam). Keikhlasan mereka merintis hiburan Islam yang mendidik jiwa amat saya kagumi.

Setelah berpindah ke Kolej Islam Sultan Alam Shah, hampir setiap minggu saya fly ke Sungai Penchala. Hubungan saya dengan Us Asri dan penasyid semakin erat. Masih teringat lagi kenangan tidur beramai-ramai di studio OVA, mencuri dengar proses rakaman album Nadamurni, mee goreng basah abg Nazrey Johani (The Zikr) dan juga ramah abg Azadan. Mereka semua idola saya. Menjadikan hidup saya lebih gembira ketika saya ‘disenaraihitamkan’ di KISAS. Mereka antara insan yang banyak saya terhutang budi. Arwah juga pernah beberapa kali pergi ke KISAS untuk menziarahi saya dan juga untuk urusan bisnes. Selama hampir 5 tahun, saya hidup dengan cara hidup mereka. Pakai pakaian mereka, dengar hiburan mereka, berwirid dengan zikir mereka. Cara mereka menjadi darah daging saya.

Selepas belajar seketika di Kelantan dan Mesir, saya mula terputus hubungan dengan mereka. Ditambah lagi dengan kontroversi Al-Arqam, dan tiada lagi kemudahan internet seperti sekarang, saya hanya mengikuti perkembangan mereka dari kejauhan. Sekembali dari Mesir, saya berkhidmat di ASTRO sebagai assistant supervisor Unit Penterjemahan Berita al-Jazeera. Bekerja di situ menghubungkan saya kembali dengan mereka yang ketika itu bergerak secara lebih komersial atas nama Rabbani, Hijjaz dan Raihan. Saya pernah disapa oleh Rusdi Nadamurni 2. Tak sangka beliau masih ingat lagi diri saya. Ketika zaman kanak-kanak, suara beliaulah yang menjadi kegilaan peminat nasyid dengan lagu seperti Hari Ini Kita Bersyukur, Telah Tiba Seorang Pemuda dan lain-lain.Pertemuan terakhir saya dengan al-Marhum Ustaz Asri ialah di ASTRO. Sementara menunggu giliran ditemuramah oleh salah sebuah stesyen radio ASTRO, saya membawa al-Marhum dan rakan-rakan Rabbani melawat ‘konti’ al-Jazeera.

Kini beliau telah pergi. Perginya takkan kembali. Al-Marhum ustaz Asri adalah penasyid unggul. Suaranya akan terus berkumandang. Perginya sukar dicari pengganti. Jasanya amat banyak kepada ramai orang. Takziah saya ucapkan kepada keluarga al-Marhum ustaz Asri, sahabat-sahabat Rabbani dan para peminat beliau. Saya doakan agar Rabbani serta rakan-rakan lama dalam Nadamurni dapat meneruskan perjuangan yang beliau tinggalkan. Saya mengharapkan agar suara-suara emas dalam al-Arqam dahulu seperti Munif, Nazrey Johani, Ustaz Amal, Mujib, Yusuf dan Dwen diberikan penghormatan selayaknya, sementara hayat mereka masih dikandung badan. Legasi peninggalan mereka dalam dunia hiburan Islam adalah saham berterusan mereka ke hari kemudian.

Al-Marhum percaya yang kerjaya itu adalah ibadah. Itulah asas mengapa beliau dan rakan-rakan terus kekal di persada seni nasyid tanah air. Itulah rahsia kesungguhan al-Marhum. Dan atas kepercayaan serta kesungguhan beliaulah, Allah menjemput ajalnya, meninggal ketika bekerja. Perginya dalam beribadah…..

Advertisement