Hari ini saya diajukan beberapa soalan mengenai hukum solat Eidul Fitri dan Eidul Adha. Ianya timbul kerana ramai yang memahami setelah mendengar satu pengisian bahawa hukumnya adalah wajib sampai ke peringkat fardhu ain. Maka timbul tanggapan yang ijma’ ulamak menyatakannya wajib, dan perlu memperbetulkan persepsi rakyat Malaysia yang menyatakan solat itu ialah sunat sahaja.  Mereka memahami yang adalah kesalahan besar bagi Muslim yang menyatakan hukum solat Eid itu ialah sunat sahaja. Ada antara mereka merujuk kepada satu website berbahasa Melayu yang saya dapati melakukan kesilapan dalam menterjemahkan hadith berkaitan,  serta dakwaan yang diragui terhadap Imam Shafi’e dalam hal ini.

Perlu diperjelaskan bahawa perkara ini termasuk di dalam khilaf. Secara ringkasnya, khilaf mengenai hukum solat sunat raya ini ialah seperti di bawah:

1. Mazhab Hanafi menyatakan yang hukumnya ialah wajib aini. Ini berdasarkan sepotong hadith sahih riwayat al-Bukhari:

عَنْ أُمِّ عَطِيَّةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْها قَالَتْ : أَمَرَنَا رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنْ نُخْرِجَهُنَّ فِي الْفِطْرِ وَالأَضْحَى الْعَوَاتِقَ وَالْحُيَّضَ وَذَوَاتِ الْخُدُورِ ، فَأَمَّا الْحُيَّضُ فَيَعْتَزِلْنَ الصَّلاةَ وَيَشْهَدْنَ الْخَيْرَ وَدَعْوَةَ الْمُسْلِمِينَ . قُلْتُ : يَا رَسُولَ اللَّهِ ، إِحْدَانَا لا يَكُونُ لَهَا جِلْبَابٌ . قَالَ : لِتُلْبِسْهَا أُخْتُهَا مِنْ جِلْبَابِهَا

Ummi Atiyyah berkata: Rasulullah memerintahkan kami membawa keluar wanita merdeka (ada pendapat menyatakan gadis yang telah atau menghampiri baligh), yang haid dan gadis-gadis pingitan pada Eidul Fitri dan Adha. Adapun wanita haid, mereka tidak perlu solat tetapi sekadar menyaksikan kebaikan dan dakwah muslimin. Aku berkata: Wahai Rasulullah, salah seorang dari kami tidak mempunyai jilbab? Baginda berkata: (suruh) agar saudaranya meminjamkan jilbabnya!

Selain itu, mereka juga berhujjah dengan ayat al-Quran daripada surah al-Kauthar ayat 2:

فَصَلِّ لِرَبِّكَ وَانْحَرْ

Maka tunaikanlah solat dan juga ibadah qurban.

Menurut metodologi Mazhab Hanafi, ayat ini mewajibkan solat Eid dan juga berkorban. Akan tetapi sebahagian ulamak mazhab ini hanya memadai dengan hadith dan sunnah Rasulullah yang tidak pernah meninggalkan solat Eid sebagai hujjah kewajibannya. Adapun solat di dalam ayat di atas, ianya bersifat solat yang umum meliputi wajib dan juga yang sunat, seperti dalam ayat 162 daripada surah al-An’am. Al-Tobari dan Ibn Kathir turut menyatakan yang solat dalam ayat di atas ialah solat umum meliputi yang wajib dan sunat.

Hujjah lain ialah nabi tidak pernah menunaikan solat selain fardhu secara berjemaah melainkan tarawih, kusuf, khusuf dan Eid, akan tetapi syariat memberikan penjelasan bahawa tarawih, khusuf dan kusuf hanyalah sunat sahaja. Justeru, mereka berhujjah dengan ini untuk menyatakan kewajiban solat Eid.

Antara ulamak lain yang berpegang kepada pendapat ini ialah Sheikh al-Albani, Ibn Taimiyah, Syeikh Uthaimin dan Syeikh Ben Baz.

Perlu diperjelaskan mazhab Hanafi mempunyai methodologi usul fiqh yang berbeza berbanding mazhab lain. Ada perbezaan antara wajib dan fardhu di dalam mazhab ini.

2. Mazhab Maliki dan Shafie menyatakan hukum solat Eid ialah sunat muakkad. Mereka berhujjah dengan sepotong hadith sohih seperti berikut:

قول الرسول صلى الله عليه وسلم في الحديث الصحيح للأعرابي – وكان قد ذكر له الرسول صلى الله عليه وسلم الصلوات الخمس – فقال له:  هل عليَّ غيرهنَّ؟ قال: لا، إلا أن تطوع.  متفق عليه

Kata-kata Rasulullah SAW kepada seorang Arab Kampung yang mana telah diperjelaskan kepadanya mengenai kewajiban solat fardhu yang lima. Arab kampung itu bertanya kepada Rasul, “Adakah ada (solat lain) yang wajib bagiku?” Rasulullah menjawab, “Tidak, melainkan yang sunat sahaja.” – Muttafaqun alaih.

Di dalam metodologi mazhab Shafi’e, memang perkataan suruhan di dalam nass (seperti hujjah mazhab Hanafi) membawa hukum wajib melainkan ada petunjuk yang menyatakan ianya sunat atau harus. Hadith di atas ini membawa pengecualian terhadap kewajiban solat Eid seperti yang tertulis secara tekstual di dalam nass. Maka hukum solat Eid adalah sunat muakkad sahaja.

Dalam satu website, dikatakan yang Imam al-Shafi’e menyatakan hukumnya adalah wajib. Saya cuba mencari, akan tetapi oleh kerana capaian saya kepada kitab mazhab Shafi’e agak terhad, saya masih belum menemuinya. Perlu diperjelaskan yang kita perlu membezakan antara pandangan Imam al-Shafie dan juga pandangan Mazhab al-Shafi’e. Ada pandangan Imam al-Shafie sebagai individu beliau, berbeza dengan pandangan institusi Mazhab al-Shafi’iyyah seperti dalam bab menghadiahkan pahala kepada si mati, di mana Imam al-Shafi’e menyatakannya tidak sampai, sedangkan beberapa ulamak dalam institusi Mazhab al-Shafi’e menyatakan yang ianya sampai atas keharusan bertawassul dengan amal soleh. Dalam konteks hukum solat Eid ini, yang saya jumpa dalam kitab mazhab Shafi’e ialah sekadar kenyataan bahawa mereka khilaf hukumnya sama ada fardhu kifayah atau sunnat muakkad, seperti yang tertulis di dalam kitab al-Majmu’ Imam al-Nawawi:

واختلفوا في العيد هل هو فرض كفاية أم سنة

Dan mereka (ulamak mazhab Shafi’e) berbeza pandangan adakah solat Eid itu fardhu kifayah atau sunnah.

3. Mazhab Hanbali pula menyatakan yang hukumnya adalah fardhu kifayah. Hujjah mereka ialah sama seperti hujjah ulamak Hanafi, akan tetapi metodologi pendalilan mereka menjadikan hukum solat Eid itu sekadar fardhu kifayah sahaja.

KESIMPULAN

1. Hukum solat sunat Eid adakah khilaf antara ulamak. Ianya bukan perkara ijma’. Justeru, adab perbahasan dan sikap kita terhadap hukum solat sunat Eid ini perlulah menjurus kepada perkara khilaf.

2. Bagi yang memilih pandangan mazhab Hanafi dan lain-lain yang menyatakan hukumnya wajib aini, maka anda juga perlu beradab dengan berpegang kepada hukum amalan lain yang ada kaitan dengan solat Eid. Ini termasuklah hukum berkorban, di mana mazhab Hanafi menyatakan kewajibannya bagi yang mampu. Maksud mampu itu ialah anda mempunyai simpanan untuk menyara hidup sehingga ke hari tasyriq. Janganlah bersemangat menyatakan kewajiban solat Eid, akan tetapi meninggalkan pula kewajiban ibadah korban.

Allahua’lam.