Tidak dapat dinafikan, memanah adalah antara, BUKAN SATU-SATUNYA, sunnah nabi Muhammad SAW. Dalam perihal kemanusiaan (bashariyyah) nabi, apabila ingin beriadah, riwayat mencadangkan beberapa aktiviti yang nabi minati. Antaranya:

  1. Bergusti. Dalam riwayat Sahih oleh Abu Daud (4078), nabi pernah bergusti, bahkan mengalahkan Rukanah, juara gusti Arab, sebelum beliau memeluk agama Islam.
  2. Berlumba lari. Dalam riwayat Sahih oleh Abu Daud (2578) dan Ahmad (26277), nabi dilaporkan berlumba lari, beberapa kali, dengan isteri baginda, Aishah. Dalam riwayat yang banyak, nabi juga berjalan dengan pantas, seolah-olah menuruni bukit, sehingga sahabat keletihan untuk mengikuti rentak jalan baginda.
  3. Memanah, diriwayatkan dalam banyak kitab hadith.
  4. Berkuda dan memanah sambil berkuda, dilaporkan dalam banyak hadith.

Ada lagi beberapa aktiviti rekreasi, yang nabi galakkan, walaupun ianya adalah permainan, tetapi dianggap sebagai zikrullah. Contohnya, riwayat Sahih oleh al-Nasa’i dalam al-Sunan al-Kubra (8889):

كُلُّ شَيْءٍ لَيْسَ مِنْ ذِكْرِ اللهِ فَهُوَ لَعِبٌ ، لَا يَكُونُ أَرْبَعَةٌ: مُلَاعَبَةُ الرَّجُلِ امْرَأَتَهُ ، وَتَأْدِيبُ الرَّجُلِ فَرَسَهُ، وَمَشْيُ الرَّجُلِ بَيْنَ الْغَرَضَيْنِ، وَتَعَلُّمُ الرَّجُلِ السَّبَّاحَةَ

Bermaksud: Semua aktiviti yang dibuat tanpa berzikir kepada Allah, maka ianya adalah sia-sia, kecuali empat perkara: 1- suami bergurau senda dengan isteri, 2- lelaki melatih/menjinak kudanya, 3- orang lelaki yang berjalan antara dua destinasi, 4- seorang lelaki yang belajar berenang.

Akan tetapi, perlu dicatatkan yang ulama’ hadith dan sirah tidak pernah menyatakan yang nabi sendiri pernah berenang. Ini bermakna secara umumnya, semua aktiviti yang membina tubuh yang kuat, badan yang sihat, dan meningkatkan benteng pertahanan negara, adalah digalakkan.

Cuma, dalam banyak-banyak aktiviti sukan yang nabi pernah terlibat, aktiviti memanah adalah terlalu amat istimewa, kerana banyaknya riwayat yang menceritakan galakan dan kelebihannya. Bahkan, ulama’ tafsir salaf menyatakan yang kekuatan (al-quwwah) yang wajib umat Islam persiapkan, ialah al-ramyu, iaitu memanah. Sehinggakan ramai ulama’ salaf, termasuklah Imam al-Shafi’i sendiri, gemar memanah.

Akan tetapi, perlu juga difahami bahawa mukjizat nabi, adalah mukjizat yang sentiasa berkembang dan beradaptasi dengan perubahan zaman dan tempat. Sekiranya diteliti, galakan memanah di zaman nabi dan generasi awal, adalah lebih berlatarbelakangkan jihad fi sabilillah. Teknik dan undang-undang latihan serta pertandingan memanah termasuk yang dikarang oleh ulama’ Shafi’iyyah, adalah berlatarbelakangkan persiapan ketenteraan, dan tidak wajar disempitkan perlaksanaannya pada waktu yang berbeza. Sesiapa yang menguasai seni memanah, maka mereka akan kuat dalam medan pertempuran. Ianya adalah satu seni lontaran yang melindungi rakyat di belakang tentera mereka, dalam jarak yang selamat. Memanah adalah seni senjata tempur jarak jauh pada zaman dahulu.  Bagaimana pula relevannya dengan zaman sekarang?

Saya tertarik dengan pandangan seorang ulama’ hadith Sheikh Dr Solih bin Ahmad Ridha, dalam kitabnya bertajuk al-I’jaz al-‘Ilmiy fi al-Sunnah al-Nabawiyyah. Beliau menyatakan sebenarnya, galakan memanah dan beberapa riwayat mengenai strategi perang nabi berkaitan memanah, adalah sebahagian daripada mu’jizat saintifik hadith nabi yang bersesuian hingga ke zaman moden ini.

Contohnya, dalam peperangan Badar, nabi menyatakan:

اذا اكثبوكم فعليكم بالنبل

ولا تسلوا السيف حتى يغشوكم

Sekiranya musuh semakin dekat (masuk dalam kawasan radius sampai memanah), maka gunakan panah kamu.

Dan janganlah kamu menghunus pedang sehingga musuh betul-betul berada di hadapan kamu.

Hadith ini menjadi bukti genius nabi dalam strategi peperangan. Berperang, bukan dengan semangat sahaja, tetapi perlu ada elemen sains dan matematik. Nabi telah berpesan supaya jangan lepaskan anak panah sehinggalah musuh berada dalam zon kawasan yang mampu dicapai oleh anak panah. Sekiranya tidak, musuh akan mentertawakan kamu, kerana kejahilan kamu dalam menghitung jarak sampai anak panah. Dan jangan hunus pedang sekiranya musuh masih jauh.

Dalam zaman sekarang, Sheikh Solih menyatakan ianya adalah sama dengan teknologi peluru berpandu dan keseluruhan peluru balistik yang lain. Bangsa yang kuat, ialah bangsa yang mempunyai sistem persenjataan, yang berkemampuan mengukur dengan tepat jarak sampai peluru mereka. Adakah umat Islam menguasai ilmu dan teknologi ini? Adakah kita menggalakkan anak-anak kita belajar sains sehingga mampu menjadi jurutera persenjataan berteknologi tinggi seperti ini? Bagaimana pula dengan teknologi memanah yang kita kuasai? Di Malaysia, kita perlu menghormati undang-undang yang melarang orang awam memiliki senjata api. Tetapi  bagaimana kesungguhan kita belajar memanah dengan tepat, sama ada dengan busur tradisional, moden atau compound?

Begitu juga galakan nabi untuk memanah di atas kuda sambil bergerak. Ianya juga perlu disesuaikan dengan zaman sekarang. Hakikatnya, bangsa yang kuat di akhir zaman ialah bangsa yang mempunyai teknologi melepaskan senjata semasa sedang bergerak. Ini termasuklah pesawat tempur, kapal selam dengan peluru berpandu. Hebat bukan gesaan nabi? Adakah kita menguasai teknologi ini sekarang?

Kesimpulannya, marilah kita melihat semula konteks galakan memanah nabi dalam spektrum yang lebih luas. Persenjataan tempur jarak jauh perlu dikuasai oleh orang Islam. Ajarlah anak-anak kita dengan ilmu sains dan teknologi, agar semakin ramai saintis dan jurutera persenjataan dilahirkan, bagi tujuan pertahanan negara dan agama.

Tulisan ini dinukilkan dan ditujukan kepada diri sendiri, dan juga kepada sebahagian kecil yang menyempitkan aktiviti memanah mereka, dengan pelbagai dakwaan palsu menempel di atas nama nabi. Kononnya ada teknik memanah bersanad dari nabi. Kononnya ada cara memanah yang datang dari orang kafir. Kononnya memanah telah membawanya ke alam ghaib. Kemudian, mulalah mendabik dada kehebatan dirinya, seolah-olah dialah yang memulakan aktiviti memanah di dunia ini, lantas tanpa segan silu menyatakan permusuhan dengan rakan seaqidah yang lain. Apabila diajak solat berjemaah, tak nampak pula kesungguhannya, sedangkan solat berjemaah itu lebih utama daripada memanah.

img_7357
Geng Pemanah Masjid ArRayyan, IM15 – antara kelab baru yang ditubuhkan bagi mengimarahkan masjid mereka dengan aktiviti yang pelbagai. Moga Allah berkati usaha kalian. 
Advertisement