Semasa zaman nabi, kuasa besar dunia terdiri daripada Rom dan Parsi. Kedua-dua kuasa besar ini saling berperang antara satu dengan yang lain untuk meluaskan wilayah jajahan. Ini termasuklah Baitul Maqdis. Akan tetapi mereka tidak pernah cuba menjajah keseluruhan Semanjung Tanah Arab kecuali kawasan di belah utara, kerana tiada kepentingan strategik.
Di dalam al-Quran, Allah meramalkan Rom yang sebelum ini sering dikalahkan oleh Parsi, bakal bangkit semula dan mengalahkan Parsi. Sesungguhnya, Rom dan Parsi, kedua-duanya adalah kuasa yang jahat. Mengamalkan dasar perkauman. Menindas rakyat asal wilayah yang dijajah. Tiada kepentingan pun untuk agama Islam. Tetapi atas dasar strategik, dan memandangkan Rom itu adalah Nasrani yang hampir dengan agama Islam, maka Allah menyatakan umat Islam BAKAL BERGEMBIRA dengan kemenangan Rom ke atas Parsi.
الم # غُلِبَتِ الرُّومُ# فِي أَدْنَى الْأَرْضِ وَهُم مِّن بَعْدِ غَلَبِهِمْ سَيَغْلِبُونَ# فِي بِضْعِ سِنِينَ ۗ لِلَّهِ الْأَمْرُ مِن قَبْلُ وَمِن بَعْدُ ۚ وَيَوْمَئِذٍ يَفْرَحُ الْمُؤْمِنُونَ
Alif, Laam, Miim. Orang-orang Rom telah dikalahkan. Di negeri yang dekat sekali; dan mereka sesudah kekalahannya itu akan mengalahkan lawannya. Dalam masa tidak sampai sepuluh tahun. Kepada pentadbiran Allah jualah terpulang segala urusan, sebelum berlakunya dan sesudah berlakunya; dan pada ketika berlakunya (kemenangan Rom) itu, orang-orang yang beriman akan BERGEMBIRA. (Al-Rum, 30:1-4)
Allah mendidik nabi dan para sahabat untuk mengambil berat mengenai politik antarabangsa. Bukan sekadar mengambil berat, akan tetapi mereka juga dididik agar menyatakan pendirian dan berasa gembira.
Pilihanraya Presiden Amerika Syarikat akan menyaksikan pertembungan antara Hillary Clinton dan Donald Trump. Secara ringkas, kedua-duanya adalah ‘evil’ bagi umat Islam. Tetapi, Clinton adalah ‘evil’ yang kurang mudaratnya berbanding Trump.
Walaupun mesej saya ini mungkin tidak akan dibaca oleh rakyat Amerika, tetapi saya mengharapkan anda semua akan memilih nenek bernama Hillary Clinton ini sebagai presiden negara anda. Kalau masa boleh diputar, saya mengharapkan ada calon lain daripada demokrat selain Clinton bagi mengelakkan tuduhan pembinaan institusi kronisme di Rumah Putih serta sejauh mana kesediaan warga Amerika menerima wanita sebagai ketua negara.
Undilah Clinton pada 8 November ini!