Salji menyambut dan mencabar ketibaan kami...

Alhamdulillah, perjalanan enam bulan saya dan anak-anak untuk kembali bersama dengan isteri dan Sofea dipermudahkan Allah. Ini merupakan pengalaman ‘rally’ makan malam yang banyak di beberapa buah negara, dimulakan dengan di Gombak, Sepang, sehinggalah beberapa buah negara sepanjang perjalanan ke benua Eropah. Disambut dengan salji lebat, pegawai imigresen yang rasa sangsi dengan ‘status’ Raed, serunding yang dirampas selain kesian/kelakar melihat Mat Saleh bersin achooo dengan menghazafkan mad serta mim, segala puji buat-Mu ya Allah kerana mengurniakan semula nikmat bait muslim kepada kami semua.

Antara berita pertama yang menarik perhatian saya di media utama UK pada hari pertama saya di sini ialah demonstrasi di seluruh negara mengenai kenaikan yuran pengajian universiti. Sekiranya sebelum ini pelajar tempatan hanya perlu membayar sekitar £3,000 untuk yuran pengajian, di bawah kerajaan gabungan Torry dan LibDem mereka perlu membayar sehingga £9,000, iaitu purata yuran pelajar antarabangsa sekarang. Yang tersepit sudah tentulah Nick Clegg, kerana ianya terang-terangan bercanggah dengan manifesto pilihanraya LibDem. Akan tetapi di dalam politik, apabila wujudnya gabungan dengan parti lain, maka terpaksalah wujudnya kompromi di dalam beberapa isu.

Untuk memprojekkan bahawa cadangan kerajaan ini lembut, maka menteri berkaitan menyatakan bahawa jumlah yang tinggi itu bukannya perlu dibayar di awal pengajian. Akan tetapi ianya perlu dibayar setelah mereka tamat pengajian dan sudah bekerja kelak. Walau apa jua pun kelentong politiknya, yang pasti yuran tetap naik. Jawapan menteri berkaitan itu menunjukkan yang projek mereka sama sahaja dengan mekanisme PTPTN di tanah air. Atau sebenarnya sama sahaja mekanismenya dengan mana-mana pembiayaan pengajian di peringkat universiti. Cuma yang berbeza ialah amaun jumlahnya.

Meninjau isu ini di kaca televisyen, saya lihat demonstrasi itu berlaku dari selatan sehinggalah ke utara UK. Di Aberdeen mungkin sejuk sangat, justeru mungkin tiada demonstrasi. Demonstrasi di UK agak menarik. Mereka kreatif di dalam berdemonstrasi. Ada pendemonstrasi yang melakukan tindakan di luar sempadan yang sepatutnya, seperti merosakkan kenderaan polis. Semalam, sekumpulan kecil pelajar berjaya mencuri perhatian apabila menghalang laluan di Westminster Bridge bersebelahan dengan bangunan Parlimen UK.  Selain itu, antara yang kerap yang dilakukan di dalam demonstrasi anjuran pelajar di sini ialah ‘menawan’ bangunan penting di universiti. Ianya biasa dilakukan terutamanya ketika isu Gaza. Apa yang pasti, pihak polis dan penyurai demonstrasi di sini tidaklah menghalang mereka menyuarakan pendapat mereka melalui saluran demonstrasi. Bahkan, merekalah kadang-kadang menuntun (mengepalai) demonstrasi tersebut, walau ianya anjuran kumpulan Muslim seperti yang pernah beberapa saya sertai di sini. Kadang-kadang saya terfikir, demonstrasi di negara kita, biasanya pendemostrasi aman, akan tetapi SEBAHAGIAN pihak keselamatan mengambil sikap berlebihan di dalam mengawal keadaan. Berbeza dengan di sini, pendemonstrasi kreatif sehingga melampaui sempadan, akan tetapi pihak keselamatannya lebih bertenang di dalam melaksanakan kerja mereka. 

Kembali kepada persoalan, adakah benar wujudnya konsep pendidikan percuma? Saya pernah belajar di Universiti Al-Azhar, pusat pengajian tertua di dunia. Ianya diuruskan dengan wang waqaf dari seluruh dunia. Apa yang pasti, yuran pengajiannya lebih murah berbanding yuran sekolah rendah saya dahulu. Atau dengan erti kata lain, percuma. Ramai juga rakan-rakan ustaz yang belajar secara tidak rasmi, dari masjid ke masjid, dari pondok ke pondok di beberapa negara Arab. Banyak juga yang langsung tidak mengenakan yuran pengajian. Kalau ada pun, sekadar yuran pendaftaran yang amat murah.

Demonstrasi menuntut pendidikan percuma sering kedengaran di negara Barat

Di benua Eropah, terdapat beberapa negara yang menawarkan pendidikan percuma. Di United Kingdom sendiri, sejak dari tiga tahun kanak-kanak termasuklah pendatang yang masuk dengan visa yang sah akan diberikan pendidikan percuma. Di Germany, mereka selalu berbangga yang kebanyakan universiti mereka terutamanya universiti awam  tidak mengenakan walau satu sen pun yuran pengajian sehingga ke peringkat Doktor Falsafah. Di Norway dan Finland, walau pun tidak layak memohon bantuan sara hidup bulanan, akan tetapi mana-mana rakyat luar negara mereka boleh untuk mendapatkan pengajian percuma di universiti awam  mereka.

Hakikatnya, pendidikan tidak dapat diberikan percuma. Dengan sebab itulah Imam al-Shafi’e sendiri meletakkan salah satu syarat untuk mendapatkan ilmu pengetahuan ialah bulghah, iaitu kemampuan untuk membiayai pengajian kita. Ada pun pendidikan yang diberikan percuma itu sebenarnya bergantung kepada kebijaksanaan pemerintah untuk menguruskan wang cukai rakyat untuk memberikan pendidikan percuma kepada rakyat negara mereka.

Di Scotland, penduduk asal Scotland atau pun mereka yang telah tinggal sekurang-kurangnya 3 tahun di sini akan dikecualikan daripada membayar yuran pengajian universiti. Mereka menggunakan hamper £2 bilion wang rakyat daripada cukai yang pelbagai untuk dibelanjakan bagi membangunkan modal insan kalangan rakyat tempatan. Polisi ini sedikit dicemburui orang Inggeris (English – yang berasal dari England) yang dikatakan merupakan pembayar cukai terbanyak di Scotland.

Apa yang pasti, prioriti yang diberikan oleh kerajaan Scotland adalah merupakan komitmen mereka untuk melahirkan generasi terbilang daripada rakyat tempatan mereka sendiri. Memang tidak dapat dinafikan yang kos pengajian agak tinggi di sini. Akan tetapi mereka tidak lokek untuk berbelanja di dalam dunia akademik kerana itulah teras bagi pembangunan sesebuah negara. Bahkan pelajar yang dikecualikan yuran tersebut tidak langsung diikat dengan kontrak yang membebankan.

Perkara ini menyebabkan saya teringat kepada salah seorang pelajar cemerlang subjek saya di UMP yang saya temui di dalam Majlis Konvokesyen Kelima baru-baru ini di Gambang. Pengajian beliau dibiayai oleh JPA melalui skim biasiswa yang menyebabkan beliau terikat dengan kontrak. Akan tetapi setelah beberapa bulan beliau tamat pengajian, beliau masih tidak mendapat peluang pekerjaan daripada SPA sedangkan di dalam masa yang sama, beliau telah mendapat peluang pekerjaan di salah sebuah syarikat antarabangsa yang berpusat di Amerika. Lebih malang lagi, beliau tidak mendapat pelepasan dan hanya diarahkan menunggu sahaja panggilan untuk berkhidmat. Saya yakin yang kes ini mungkin kes terpencil, kerana majoriti pelajar yang lain mudah sahaja mendapat panggilan untuk mula berkhidmat. Akan tetapi dengan kes terpencil inilah menyebabkan timbulnya kekecewaan serta krisis kepercayaan terhadap pihak berkenaan.

Di tanahair, saya amat mengharapkan agar pelan transformasi ekonomi negara dapat memberikan keutamaan untuk mewujudkan lebih banyak peluang ‘pendidikan percuma’ dengan polisi yang lebih segar untuk kebaikan rakyat. Di dalam iklim yang menyaksikan kos hidup semakin meningkat, sektor pendidikan janganlah diabaikan. Memang benar, berlaku ketidakseimbangan di dalam sistem ekonomi sekarang. Sebagai penjawat awam, saya rasa sedikit tertekan apabila melihat harga hartanah yang terlalu tinggi di seluruh Kuantan, yang langsung tidak selari dengan pendapat yang diterima. Justeru sesuatu perlu dilakukan bagi memulihkan perkara ini, supaya mengelakkan sektor pendidikan terus menjadi korban dan kos lepas terhadap keutamaan di dalam sektor lain di dalam negara.

Advertisement