Sepanjang minggu ini, saya terPERASAN yang beberapa manusia di KUKTEM UMP melihat saya dari kejauhan. Bukan penglihatan biasa, tetapi penglihatan yang membawa makna. Bermula dua hari lepas, barulah saya memahami mengapa sebahagian mereka melihat saya. Itu pun selepas mereka menyapa saya. Maklumlah, sudah lebih 3 tahun tidak balik ke tanah air. Rupa-rupanya mereka ialah bekas pelajar saya di zaman KUKTEM dahulu, yang sedang berada di kampus Gambang untuk diraikan di dalam Konvokesyen Ke-5 UMP pada esok hari.

Seronok rasanya dapat berjumpa dengan bekas pelajar di zaman KUKTEM dahulu. Dan lebih seronok lagi apabila mereka ini telah bergelar graduan. Ada yang sedang praktikal, sementara ada juga yang telah bekerja tetap. Ada juga seorang pelajar berbangsa Cina dari Timur Malaysia, dahulunya amat cemerlang di dalam subjek yang saya ajar, kini telah mendapat peluang pekerjaan di syarikat antarabangsa dan ditawarkan untuk mengikuti latihan di US. Walaupun berhadapan dengan sedikit kerenah birokrasi daripada SPA, saya mendoakan urusan beliau dipermudahkan.

Saya juga mendoakan khusus kepada bekas pelajar lain agar berjaya di dalam bidang yang diceburi nanti di alam pekerjaan. Jadilah insan yang terbaik di tempat kerja nanti. Bagi Muslim, jadilah profesional yang boleh menjadi cerminan kegemilangan tamadun agama dan bangsa kita. Upacara konvo esok bukan bermakna tanggungjawab untuk menuntut ilmu telah selesai. Perjalanan masih panjang.

Semoga pelajar-pelajar saya sekarang khususnya, akan mengikuti jejak langkah cemerlang senior-senior mereka beberapa tahun akan datang. Bersabarlah dengan ujian dan mehnah. Percayalah, sekejap sahaja masa yang memisahkan anda sebagai pelajar tahun satu, dengan masuk ke alam pekerjaan. Sekiranya tidak bersabar dengan cabaran semasa masa yang singkat ini, anda akan mengecewakan ibu, bapa, serta orang-orang yang berada di sekeliling anda. Balaslah budi mereka, dengan kecemerlangan akademik sepanjang berada di bumi ilmu ini.

This slideshow requires JavaScript.


Advertisement