Walaupun saya merupakan warga negeri Selangor, akan tetapi saya amat meminati perkembangan yang berlaku di negeri Kelantan. Negeri yang diperintah berteraskan kepemimpinan ulamak itu diberikan jolokan Serambi Mekkah, kerana terdapat banyak pusat pengajian Islam baik tradisional mahu pun yang moden, selain daripada kesungguhan rakyatnya yang ingin hidup berteraskan Islam. Dalam lewat setahun ini, semasa saya masih di Aberdeen lagi, saya amat khuatir mengenai konflik dalam istana negeri tersebut. Saya sering mengikuti perkembangannya di laman ini.

Cuma Alhamdulillah, setelah pemasyhuran Tengku Muhammad Faris Petra sebagai Sultan Kelantan yang baru bagi menggantikan ayahandanya Tuanku Ismail Petra. Seluruh rakyat jelata mengharapkan agar pemasyhuran ini yang bakal disusuli secara rasminya dengan upacara pertabalan, akan menamatkan konflik dalaman kerabat diraja Kelantan.

Agak menarik, semasa upacara pemasyhuran tersebut, dilaporkan yang ucapan ‘’Daulat Tuanku’’ telah digantikan dengan ‘’Takbir Allahuakbar’’. Allah Maha Besar, ini adalah satu perkembangan yang baik. Pemasyhuran payung kepada rakyat jelata Kelantan, berganding dengan barisan kepemimpinan berteraskan agama, mengutamakan kebesaran Allah berbanding kebesaran manusia.

Lafaz takbir yang baru sahaja diulang di pagi Aidul Fitri, merupakan simbol penghambaan mutlaq seorang hamba kepada Tuhannya. Tiada yang lebih besar kuasanya berbanding Allah. Tiada manusia yang dapat berkuasa selama-lamanya. Tiada sistem pemerintahan yang kekal tanpa kecundang. Yang berkuasa selama-lamanya, hanyalah Allah.

Justeru, mendaulatkan Allah itu merupakan kemuncak kepada penghambaan kita kepada Maha Pencipta.

Membaca sejarah Kesultanan Melayu sebenarnya akan memberikan pencerahan kepada kita mengenai tumbang naiknya sistem beraja di Tanah Melayu tercinta ini. Saya amat menggalakkan kita semua membaca buku bertajuk Ahlu Bait Rasulullah SAW dan Raja-raja Melayu susunan Tuan Haji Muzaffar Dato’ Hj Mohammad dan Suzana Othman daripada Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Johor.  Walaupun terdapat beberapa isi yang wajar dikaji kembali, akan tetapi buku ini mendedahkan sejarah Kesultanan Melayu serta hubungkait mereka dengan keturunan Nabi, serta yang lebih penting ialah bagaimana rapatnya mereka ini semua dengan tugasan menjadi payung kepada agama untuk rakyat jelata. Turut dimuatkan, ialah bagaimana rapatnya hubungan Sultan Melayu dahulu kala dengan golongan ulamak muktabar, sehinggakan Islam itu menjadi teras kepada sistem pemerintahan negara.

Tuanku Sultan Kelantan bersama TG MB

Kesimpulannya amat mudah. Dan inilah yang kita harapkan dengan generasi baru Sultan-sultan Melayu kita. Tiadalah yang besar kuasanya berbanding Allah. Tiada pemerintahan pun yang dapat berkekal lama, melainkan pemerintahan Allah. Daulat Tuanku, kerana mendaulatkan Tuhanmu. Allahuakbar, Allahuakbar, Allahuakbar.

Advertisement