Saya telah lama draf entri ini. Akan tetapi rasa segan pula untuk menerbitkannya. Semuanya berpunca daripada kelas renang anak pertama saya, Raed, di Linksfield. Sebagai menepati sunnah, saya ingin anak saya belajar berenang. Kelas dan modulnya memang menarik. Saya pun kena terjun sekali ke dalam kolam mandi. Akan tetapi satu perkara sahaja yang saya kurang selesa, iaitu di bilik persalinan.
Pertama kali saya di bilik persalinan selepas selesai kelas renang, mula-mulanya biasa sahaja. Bilik persalinan di Linksfield adalah terbuka, tiada bilik peribadi untuk penggunanya. Saya dan Raed pergi ke tempat paling hujung di bilik tersebut.
Alangkah terkejutnya kami, apabila melihat mat saleh semuanya telanjang tanpa seurat benang. Langsung tiada perasaan malu antara satu sama lain. Dengan selamba sahaja mereka menyembang sesama mereka sementara menunggu badan kering. Raed yang baru berumur 4 tahun pun terkejut dan berkata kepada saya eiii maluu. Dia pun pandai untuk menutup badannya dengan tuala.
Padanlah masyarakat di sini, walaupun nampak baik dan tenang, tapi sebenarnya jiwa mereka bergelora. Bermasalah, kerana hilang perasaan malu. Bila hilang perasaan malu, maka berleluasalah maksiat dan kejahatan. Seks bebas dihalalkan. Homoseksual pula diperjuangkan. Saya pernah bertanya dengan ramai makcik/nenek tempatan di tempat kerja saya, adakah perkara ini memang budaya British. Jawab mereka, suatu masa dahulu, mengadakan hubungan seks sebelum bernikah adalah satu perkara yang memalukan. Pasangan gay dan lesbian tiada tempat dalam masyarakat.
Tahun lepas di Aberdeen, Queen’s Cross Church telah melantik seorang gay menjadi pegawai agama mereka (religious minister). Menariknya, walaupun perlantikan itu mendapat tentangan hebat daripada penduduk tempatan, akan tetapi Church of Scotland telah menyokong perlantikan tersebut, seperti yang dilaporkan di sini.
Hari ini pula, media tempatan telah melaporkan yang Pope Benedict, pemimpin utama Catholic di Vatican telah mendesak gereja Catholic di UK untuk menentang Equality Bill yang antara lain memberikan hak kesamarataan ke atas pasangan gay. Umum mengetahui bahawa di British, kebanyakan penduduknya adalah tidak beragama. Kalau yang menganut Kristian pula, kebanyakannya adalah penganut Protestan. Menurut Pope Benedict, Equality Bill itu adalah bercanggah dengan undang-undang semulajadi penciptaan manusia yang sepatutnya hidup berpasangan dengan berlainan jantina.
Saya masih ingat bahawa gejala yang menghampiri homoseksual ini, banyak juga melanda di sekolah berasrama di Malaysia. Biasanya yang terlibat ialah terdiri daripada mereka yang berperwatakan agak lembut. Akan tetapi di zaman sekarang ini, mereka yang ‘macho’ dan berkarier ‘jantan’ pun banyak menjadi pasangan gay. Contohnya ialah bekas pemain ragbi Wales, Gareth Thomas yang mengaku mempunyai naluri kepada lelaki. Bahkan beliau tanpa segan silu keluar di kaca televisyen untuk ditemuramah oleh media tempatan. Hari ini pula, ada seruan di Amerika Syarikat untuk menarik larangan ke atas pasangan gay daripada menyertai tentera.
Malu itu adalah sifat manusia. Manusia itu hidup. Nilai hidup manusia adalah berkait rapat dengan perasaan malunya. Kerana itulah malu di dalam bahasa Arab dikenali sebagai al-haya’, dan daripada perkataan al-haya’ itulah lahirnya perkataan al-hayah iaitu hayat kehidupan.
Manusia yang hilang rasa malu, maka hilanglah kehidupan mereka. Banyak hadith yang menceritakan mengenai kaitan malu dan iman. Banyak juga para sahabat kanan yang kriteria utama mereka ialah ialah pemalu.
Untuk mengoptimumkan perasaan malu kita, petuanya mudah sahaja. Iaitu ikutlah syariat, insyaAllah terkawal perasaan malu kita. Apatah lagi syariat itu diatur selari dengan selera semulajadi manusia, khususnya perasaan malu.
Sejak kecil lagi, perasaan malu memang wujud dalam manusia. Saya dapat perhatikan fakta ini berdasarkan pengalaman membesarkan anak-anak saya. Bayi yang masih kecil, rasa malu untuk bersama dengan orang yang tidak dikenali. Raed apabila berumur 3 tahun, sudah ada perasaan malu untuk bersama dengan kakak-kakak yang datang ke rumah untuk usrah dan program. Setelah selesai potty training, Raed hanya ingin dibasuh oleh saya atau mamanya sahaja. Dengan nenek atau adik perempuan saya pun beliau rasa malu. Keluar tandas, mesti menutup anunya.
Syariat Islam juga amat cantik, mengajar falsafah pengurusan malu. Rasa malu itu disalurkan pada tempatnya, sama seperti hawa nafsu itu disalurkan pada tempatnya. Ketika ada agama lain yang menghalang perkahwinan, sama ada kepada seluruh penganut atau kepada golongan agamawan mereka, Islam membenarkan bahkan menggalakkan perkahwinan. Ketika budaya masyarakat sekular langsung tidak mempedulikan perkahwinan dan menggalakkan perkahwinan bebas, Islam datang dengan syariat perkahwinan.
Syariat itulah yang mengurus perasaan malu kita untuk digunakan dengan tepat, dan pada tempat yang betul. Semakin tinggi sensitiviti kita terhadap syariat, semakin teruruslah perasaan malu kita. Bila perasaan malu itu terurus, maka itulah nilai kehidupan yang sebenar.
~~~~~~~
Skrny nd blh mmhmi ap yg sy typ, sbnrny tjk asl cdgn sy ilh ml dn kmln 😉
~~~~~~~
a’ah la fan..aku masa kecik pernah visit sedara kat singapore, dan gi swimming kat public swimming pool kat sana… ya tuhan,mcm tu jugak le situasi nya..balik rumah makcik aku, aku pun report kat dia..dia tanya aku, “..abih tu, edy pun buat macam tu ke..?”..aku sengih aje le…
Tajuk asal agak menarik =)
Saya pun pernah alami perkara sama dalam bilik persalinan. Kita pula yang malu. Rasa malu sampai terasa gelebeh pipi.
wow…..malunya rase……hilangnya perasaan malu seolah-olah tiadanya harga diri…..
sumenye fonen nokkkkksssss