Assalamualaikum wbt

Ramadhan meninggalkan kita. Syawal kian menjelma. Di saat kita bergembira menyambut kedatangan Eidul Fitri, ada di sana insan-insan yang masih menanti bila ceria muncul tiba. Muslim Uyghur lama sudah ditekan, menunaikan ibadah puasa pun hak dinafikan. Muslim di Baitul Maqdis disekat dan ditindas, penuh thabat membela kesucian al-Aqsa. Iraq, Afhganistan, Selatan Thai, semua menanti penderitaan bertemu kesudahan. Wajarlah kita yang dalam kesenangan, menyambut Syawal dengan takbir dan tahmid berlaungan.

Allahuakbar, Allahuakbar, Allahuakbar, walillahi al-Hamd!

Salafus soleh melabuhkan tirai Ramadhan dengan tangisan. Sayu meninggalkan pesta ibadah selama sebulan. Hati mereka gentar, adakah cukup latihan sebulan ini untuk menempuh cabaran mendatang. Tertanya-tanya dalam harapan, adakah diberi peluang Ramadhan tahun hadapan.

Di Kota Granite ini, musim luruh melatari ajaibnya kuasa Ilahi. Petanda tamatnya musim panas, mengajak manusia kembali menyusun semangat. Semangat kembali bekerja, semangat kembali belajar. Bagi warga baru Melayu Aberdeen yang bertandang ke bumi Allah ini, selamat datang diucapkan. Mulakan langkah dengan lafaz basmalah, kelak bantuan sentiasa beriringan sepanjang jalan.

Teruskan perjalanan ke hadapan, tekadkan azam, berusaha dan berjuang.
Kita mengharungi pelbagai cabaran baru kesan haloba kapitalisme sepanjang tahun ini. Kemelesetan ekonomi, kenaikan naik minyak, tambang bas dan barangan, mahal dan sukar mencari rumah penginapan, tiada lagi penginapan murah bagi pelajar UoA yang berkeluarga, undang-undang visa yang semakin menyusahkan, dan pelbagai lagi perkara yang memerlukan semangat dan kekuatan. Moga wadah ukhuwah di dalam Persatuan Melayu Aberdeen mampu meringankan beban dan berkongsi sokongan.

Akhir kata, mewakili Persatuan Melayu Aberdeen, selamat hari raya Eidul Fitri diucapkan. Maaf zahir dan batin.

Taqabballahu minna wa minkum.

Advertisement