ISU PEMBUNUHAN JONG-NAM DAN RACUN VX: MARI SINGKAP JENDELA SEJARAH SARJANA SAINS ISLAM TERAWAL

Hari ini, genap sebulan Kim Jong-nam dibunuh di Malaysia menggunakan racun berbahaya dikenali sebagai VX. Dalam tempoh sebulan ini, pelbagai gelagat diperhatikan dalam kalangan rakyat Malaysia, dalam memberikan respon terhadap isu panas ini.

Respon yang paling saya menyampah ialah dalam genre satira politik. Agak meletihkan apabila melihat terlalu ramai rakyat Malaysia membaca semua isu di negara kita daripada kacamata politik kepartian semata-mata. Baik yang menjadikan isu ini sebagai modal untuk membangkang, mahu pun yang menyokong. Sehinggakan profesionalisme anggota pasukan pertahanan negara termasuklah polis dan tentera turut dipolitikkan.

Aku berlindung dengan Allah, daripada syaitan yang direjam, dan politik kotor..

VX merupakan bahan organophospate yang amat beracun. Tidak berbau dan tiada rasa, VX adalah senjata biologi dan pembunuh senyap yang boleh merosakkan sistem saraf dalam masa yang pantas. Majlis Keselamatan PBB telah mengklasifikasi VX sebagai Weapon of Mass Destruction (WMD) – Senjata Pemusnah Besar-besaran dan diharamkan sejak tahun 1993 kecuali bagi tujuan penyelidikan.

Tapi bagi negara ofensif, tidak percaya kepada tuhan, dan yang tidak peduli dengan perkembangan dunia, seperti Korea Utara, apa mereka peduli dengan pengharaman bahan VX ini? Dengan rakyatnya yang diperbodohkan sehingga menjadi katak bawah tempurung, berita propaganda palsu seperti pasukan bolasepak negara mereka memasuki peringkat akhir FIFA World Cup pun masih boleh dipercayai oleh penduduk di sana. Bermaharajalelalah akhirnya Presiden mereka sehingga ke hujung usia.

Isu ini mengingatkan saya mengenai etika di dalam penyelidikan saintifik. Semasa zaman kegemilangan tamadun Islam, sebenarnya teknologi persenjataan ini telah dijuarai oleh sarjana Muslim. Akan tetapi, memandangkan Islam menggalakkan perdamaian, maka banyak kajian itu hanya sekadar eksperimental dan tidak dibangunkan bagi tujuan komersial.

Cheshm_manuscript
Hebatnya kajian lanjut dan halus mengenai mata, hasil penemuan Ibn Ishaq al-Ibadi

Sheikh Husein Nasr berkata, “Tamadun Islam mampu membina jentera canggih untuk digunakan bagi mengatasi masalah dalam kehidupan sehari-hari masyarakat Islam. Seperti orang Cina yang memiliki mesiu tetapi tidak membuat senapang, orang Islam juga tidak mengambil langkah untuk mencipta teknologi melalui keharmonian dengan alam semula jadi….” (Islamic Science: An Illustrated Study, 1976).

Ziauddin Sardar pula berkata, “Hunain bin Ishaq (m. 877 CE) enggan untuk mematuhi arahan khalifah untuk membuat racun. Katanya, saya berkemahiran hanya untuk perkara yang berfaedah dan saya tidak belajar selain itu. Beliau mendakwa bahawa beliau tercegah daripada membuat racun kerana dua perkara; 1- agama, 2- karier beliau. Agama memerintahkan beliau berbuat baik sekalipun terhadap pihak musuh apatah lagi sahabat, sementara karier saya melarang kita menganiaya semasa manusia kerana kerjaya ini diwujudkan untuk faedah kebajikan manusia. Allah telah mewajibkan ke atas pakar perubatan agar tidak mencipta ubat/racun yang memudaratkan.” (Why Islam need Islamic Science, 25:182)

Hunayn_ibn-Ishaq_al-'Ibadi_Isagoge
Iluminur Hunain Ibn Ishaq al-Ibadi seperti di dalam Isagoge

Inilah keindahan yang berlaku dalam generasi ulul albab yang terdahulu. Meminjam kata-kata Dr Mat Rofa, mereka bukan sahaja berfikir, tetapi turut berzikir.

Zaman sekarang, manusia sama ada berfikir, tetapi tidak berzikir. Bila buat kajian sains, langsung tidak mempedulikan kesan kepada alam sekitar.

Atau ada manusia yang hanya berfikir, tetapi tidak berzikir. Hanya mahu mengaji subjek berkaitan agama sahaja, dan meminggirkan subjek berkaitan sains.

Akhirnya, lahirlah generasi manusia yang mencipta bom pemusnah besar-besaran.

Dalam kalangan orang Islam, kita masih mundur. Hanya jadi pengguna, bukan pengeluar. Sejarah kehebatan sarjana Muslim terawal, telah berjaya dipadamkan.

Dalam kalangan pengamal falak dan astronomi, ketika membicarakan persoalan bumi ini sfera, helio sentrik dan sistem solar, hanya nama Kepler dan Copernicus yang diagungkan. Sedangkan sarjana Islam lebih awal memperkenalkan trigonometri sfera pada awal abad ke-10 lagi, menyelesaikan persamaan darjah ketiga dan keempat atau mengembangkan matematik bezaan dan kamiran; mengukur lilitan bumi dan nilai graviti yang tepat hingga tiga rumah perpuluhan hampir seribu tahun yang lalu… seolah-olah fakta sejarah sekarang, hampir tiada bidang yang tidak dinafi oleh ahli sains Islam, atau yang tidak diselidik, yang dapat dijadikan contoh, (Ziauddin Sardar, Can Science Come Back To Islam, 213:1980)