Setiap kali bulan Jun bertandang, hati saya akan berasa sedikit pilu. Kerana pada Jun 1916, lebih kurang 105 tahun yang lalu, berlakunya satu peristiwa yang menjadi penyumbang utama kepada jatuhnya Palestin. 

Kisah ini agak perit untuk dibahaskan. Bagi sebahagian, ia sensitif untuk dibicarakan. Aib. 

Ringkasnya, apa yang berlaku 105 tahun yang lalu, ialah kejayaan penjajah British dan Orientalis untuk melaksanakan dasar ‘pecah dan perintah’ di negara umat Islam. 

Timur Tengah, atau Asia Barat, yang dahulunya merupakan wilayah umat Islam yang dinaungi oleh Kerajaan Uthmaniah. Pemerintah Turki, dimomokkan oleh British sebagai penjajah dan perampas negara Arab. 

Lalu dibangkitkan slogan kebangsaan dan perkauman. Arab untuk Arab. Turki, sila balik negara kamu. 

Lalu ditaburkan pelbagai janji. Kalau menang, pemimpin Arab akan jadi Khalifah baru. Kami British, sedia membantu. 

Sedihnya, sasaran pertama pendustaan dan pengkhianatan ini, ialah Madinah al-Munawwarah. Mulai 5 Jun 1916, orang Arab yang dahulunya bernaung, bahkan menjadi wakil pemerintah Othmaniah di Hijjaz, telah mula mengepung Tanah Haram Madinah al-Munawwarah. Madinah menjadi sasaran, kerana lokasi strategiknya sebagai pusat pemerintahan, selain telah terbinanya stesyen keretapi yang menghubungkan Semenanjung Tanah Arab dengan kawasan belah utara. 

Dengan pakatan bersama kabilah Arab Badwi, serta dibantu oleh strategis British seperti T.E. Lawrence (of Arabiya), Madinah telah diserang bertubi-tubi. Bukan sehari, bukan seminggu, bukan setahun. Tetapi melebihi dua tahun, sehinggalah penyerahan dilakukan pada Januari 1919. 

Sejarah menyaksikan, sumpah setia  Fahreddin Pasha (m1948), atau nama Turkinya Ömer Fahrettin Türkkan, mempertahankan Madinah daripada kepungan yang memilukan ini. Bagaimana mungkin Arab Muslim, sanggup untuk bersekongkol dengan penjajah British, mencemarkan bandar Nabi Muhammad SAW, semata-mata kerana ingin menjadi Khalifah Arab Muslim, jawatan yang dijanjikan British, tetapi TIDAK PERNAH dikotakan. 

Fahreddin Pasha

Selama lebih 2 tahun inilah, Fahreddin Pasha berbai’ah, bersama dengan pasukan tenteranya, untuk mempertahankan bandar Nabi yang mulia hingga ke nafas yang terakhir. 

Dengan bekalan makanan yang terhad akibat kepungan, mereka terpaksa memanfaatkan apa sahaja rezeki yang Allah berikan kepada mereka, termasuklah belalang. 

Beliau akhirnya ditangkap hasil pengkhianatan orang dalam di Madinah. Akhirnya Madinah diserahkan.

Dalam Misi Mempertahankan Madinah al-Munawwarah

Yang dijanjikan untuk menjadi Khalifah Arab Muslim, tidak dapat pun jawatan tersebut.

Sementara Palestin pula, telah jatuh ke tangan British. Sebelum diserahkan kepada Zionis untuk dijadikan National Home mereka.

Ambillah pengiktibaran sejarah. Jangan berpecah.