Sejak pulang ke tanah air, sudah lama rasanya saya tidak menggigil. Kalau di UK, dalam setahun saya rasa hampir 8 bulan saya suka hidup menggigil dalam nyaman udara di sana.
Saya mula menggigil apabila mendapat jangkitan bakteria. Hampir seminggu juga badan saya membina sistem pertahanan diri untuk melawan serangan bakteria tersebut. Mula-mula saya risau juga, maklumlah bising di sekitar Pahang ini mengenai ancaman kuman phatogenik leptopspira daripada kencing tikus, dan juga wabak denggi. Semasa mula-mula pindah ke rumah, seekor nyamuk pun tiada. Kini menjelang maghrib, nyamuk semakin banyak.
Apabila membuat pemeriksaan kesihatan di klinik di tempat kerja, Dr Yunus seorang warga Myanmar yang agar wara’ perwatakannya hanya merasakan yang saya terkena jangkitan viral. Ketika itu simptom sakit saya hanyalah di peringkat minimal. Saya sedikit kurang bernasib baik kerana ubat yang diberikan kepada saya tidak sesuai dengan badan saya. Alahan.
Sepanjang hujung minggu saya hanya terbaring sahaja. Penangannya hampir sama dengan flu ketika di UK, ditambah pula dengan acute parotitis yang menyebabkan kelenjar tengkuk bengkak serta tekak saya keperitan. Badan sekejap menggigil, sekejap kepanasan. Terpaksa saya pergi ke klinik panel, dan melakukan pemeriksaan menyeluruh. Alhamdulillah doktor di al-Farabi memberikan ubat dan antibiotik yang berkesan. Saya diberi cuti dua hari. Kalau diikutkan, empat hari saya tidak larat mengajar. Pening + berat kepala + sengal satu badan + sedikit kekhayalan di bawah pengaruh dadah (ubat). Akan tetapi saya ambik cuti sehari sahaja, malas rasanya untuk membuat kelas ganti. Ada beberapa orang pelajar yang menegur saya ‘berjangok’ pakai jaket tebal dalam kelas. Saya tengah menggigil masa tu, jadi terpaksala berjangok sikit. Maaf kalau penyampaian saya ketika itu kurang berkesan.
Sepanjang ujian Allah ini, ada beberapa perkara yang saya perhatikan.
1. Sakit ini menguji sejauh mana kita ingat Allah ketika diuji dengan kesusahan dan kesakitan. Waktu inilah kita akan membuat penilaian diri kita bagaimanakah agaknya prestasi kita ketika berhadapan dengan sakaratul maut nanti. Adakah sekadar meraung kesakitan, atau di dalam menahan sakit, hati sentiasa optimis dan ingat terhadap Allah.
2. Sebelum saya diuji sakit, anak-anak saya seorang demi seorang terlebih dahulu mendapat pelbagai ‘penyakit Malaysia’. Ketika itu, sayalah yang memberikan ubat kepada mereka. Bila giliran saya sakit, saya amat terharu dengan anak-anak saya ‘menjaga saya’. Jagaan dan sentuhan anak memang amat mujarab. Raed yang baru berumur 5 tahun asik bertanyakan kepada saya “baba are you feeling better today”, “baba which one is your ubat, is it the orange one or the pink one” bla bla bla. Hakim 3 tahun pula selalu berlakon menjadi doktor sambil membuat lawak jenaka ketika saya terbaring. Atif pula menjadi ‘tukang urut’ berjalan dan berdiri di belakang saya. Bahagia rasanya ada anak-anak kecil seumpama ini. Bila mereka buat salah dan saya marah, perasaan marah itu saya rasa ada turut membantu rawatan penyakit saya, pada pandangan peribadi saya. Mujarab sungguh sentuhan anak-anak.
3. Itu baru sentuhan anak, belum sentuhan isteri lagi. Kalau isteri ada di sisi, sudah tentu beliaulah yang akan sibuk memicit kepala saya. InsyaAllah lagi empat bulan kita akan bertemu 🙂
4. Akan tetapi Alhamdulillah Mak dan Opong ada ketika saya uzur. Sekurang-kurangnya ringan sedikit beban saya menguruskan anak-anak. Terima kasih Mak dan Opong. Dan maaflah kalau banyak sangat menolak permintaan untuk makan itu dan ini. Sentuhan, nasihat dan doa Mak seperti biasa, paling mujarab.
5. Sakit yang dialami ini juga adalah merupakan tanda-tanda kebesaran Allah. Sakit-sakit badan adalah disebabkan sistem pertahanan semulajadi badan melawan penyakit. Kita sedar mengenai wujudnya sistem imuniti badan secara semulajadi. Daripada sekecil-kecil fenomena seperti bersin, sehinggalah kepada sakit badan, itu adalah tanda sistem pertahanan badan kita sedang bekerja untuk melawan penyakit. Subhanallah, terima kasih Allah atas kesempurnaan ciptaan-Mu pada diriku ini. Teringat saya kepada pembentangan Burhanuddin Salim (sekarang sudah jadi doktor) mengenai isu ini di dalam usrah Melayu Aberdeen. Terima kasih atas peringatan. Untung sungguh menjadi pelajar perubatan, kerana anda semua mengkaji sistem paling hebat ciptaan Allah untuk manusia di dalam diri sendiri.
6. Alhamdulillah Allah uji saya sebelum masuk Ramadhan. Mudah-mudahan badan saya yang semakin berusia ini bersedia untuk masuk ke pesta ibadah yang akan datang beberapa hari sahaja lagi.
Terima kasih ya Allah.
semoga cepat sembuh..
Tuhan nk uji keimanan umat Dia dgn mcm2 dugaan.
Harap ustaz sabar dan tenang menghadapi ujian2 Allah yerk.
Semoga cepat sembuh…
aminn…