Allah, Tuhan sekalian alam

Saya tahu isu yang tengah hangat sekarang ialah penggunaan kalimah Allah di kalangan bukan Islam. Akan tetapi yang lebih menghangatkan lagi ialah respon yang kurang tepat terhadap isu ini, sehingga ke tahap membakar rumah ibadah orang lain. Sehingga kini kes ini masih di dalam siasatan pihak polis, justeru tidak wajar untuk menuding jari kepada mana-mana pihak. Ketika hari pertama kes gereja dibakar di tanah air, ada rakan Malaysia kami di sini yang beragama Kristian menyatakan beliau pelik, kerana kebetulan semua gereja yang dibakar itu ialah gereja protestan. Saya kurang pasti sejauh manakah perbahalan Katolik-Protestan di Malaysia, adakah sehangat seperti di Eropah. Justeru saya tiada komen. Namun yang pasti, rata-rata rakyat Malaysia merasakan (zhon) yang kemungkinan besar orang Islam Malaysia bertanggungjawab ke atas pembakaran tersebut. Allahua’lam. Saya mendoakan bukan.

Sekiranya terbukti orang Islam berbuat demikian, maka itu tindakan yang bodoh. Itu bercanggah dengan ajaran Islam. Muslim berkenaan mencemarkan imej Islam. Sedangkan di dalam perang pun merosakkan rumah ibadah adalah dilarang keras, apatah lagi ketika dalam keadaan aman.

Berdasarkan beberapa forum maya yang sempat saya baca, ada juga sebahagian yang mengaku Islam, sampai tahap melancarkan ‘Holy War’ ke atas orang-orang Kristian yang bertanggungjawab ke atas isu penggunaan kalimah Allah ini. Sejak bila pula ada holy war di dalam Islam? Istilah holy war ini biasanya digunakan merujuk kepada orang-orang Kristian yang menyerang Islam terutanya di dalam Perang Salib.

Di dalam Islam, tidak ada yang dinamakan holy war. Sejak bila pula perang itu sinonim dengan suci? Perkara yang suci ialah perkara yang disukai ramai. Sedangkan di dalam al-Quran, disebut bahawa peperangan itu, walapun dalam keadaan tertentu menjadi wajib, akan tetapi ianya adalah sesuatu yang dibenci manusia. Firman Allah:

كتب عليكم القتال وهو كره لكم

Dituntut ke atas kamu berperang walaupun ianya sesuatu yang kamu benci ….. (Al-Baqarah:216)

Ketegangan ini perlu dikawal dengan baik sebelum melarat. Kerana di dalam forum maya yang saya baca, ada juga yang menyatakan kita perlu membela Islam tanpa campur tangan bukan Islam. Ini juga kurang kena. Nabi Muhammad dalam menegakkan Islam sebagai cara hidup yang memerintah masyarakat, memerlukan penglibatan non-Muslim. Antaranya:

1. Untuk mendapatkan keamanan dan kestabilan hidup di kalangan pengikut awal Islam, maka nabi Muhammad mengutus beberapa orang sahabat diketuai oleh Ja’far bin Abu Talib untuk bernaung di bawah kerajaan Habshah yang diketuai oleh Raja Al-Najashi (Negos). Raja al-Najashi terkenal sebagai seorang yang kuat dengan agama Kristiannya.

2. Untuk membina tapak ke arah penubuhan negara Islam di Madinah, nabi Muhammad menggunakan seorang musyrikin sebagai penunjuk jalan. Ironinya, nama penunjuk jalan non-Muslim tersebut ialah Abdullah bin Uraiqit. Abdullah bermaksud hamba Allah. Ketika khidmat beliau digunakan, Abdullah belum memeluk agama Islam lagi.

3. Penubuhan negara Islam Madinah juga menyaksikan nabi Muhammad mengiktiraf hak penduduk bukan Islam. Bahkan di dalam perlembagaan Madinah, golongan non-Muslim seperti kabilah Yahudi Bani Auf diiktiraf sebagai ‘ummah’ atau komuniti di dalam negara Islam Madinah.

Seperkara lagi, saya ulangi di sini bahawa saya tiada masalah kepada mana-mana pihak untuk keluar berdemonstrasi secara aman sekiranya ianya berlangsung secara terkawal kerana ini adalah amalan demokrasi dalam sebuah negara bebas. Akan tetapi, khusus bagi mereka yang berdemonstrasi membantah penggunaan kalimah Allah di kalangan penganut Kristian, saya mencadangkan minggu seterusnya, anda turut berdemonstrasi membantah tindakan pihak berkuasa sepanjang beberapa tahun yang lepas MEROBOHKAN MASJID. Ohh ya, sekiranya anda boleh mengutuk tindakan membakar gereja dan boleh menyumbangkan sehingga setengah juta RM kepada gereja tersebut, apa kata anda turut mengutuk kembali mereka yang bertanggungjawab MEROBOHKAN MASJID dan membayar ganti rugi khususnya kepada ahli kariah yang telah membina rumah Allah itu dengan duit mereka sendiri? Ada berani?

Advertisement