Tazkirah di ambang Ramadhan #3

Hitung Undur: 8 hari lagi

Salam taqwa.

Semalam, kita telah menghayati yang Ramadhan adalah pusat latihan menggilap ketaqwaan seorang Muslim. Seseorang yang melepasi piawaian pusat latihan Ramadhan adalah individu yang mempunyai perisai diri yang ampuh menangkis serangan musuh dalaman dan luaran manusia. Sabda Nabi Muhammad SAW

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: الصِّيَامُ جُنَّةٌ وَإِذَا كَانَ يَوْمُ صَوْمِ أَحَدِكُمْ فَلاَ يَرْفُثْ يَوْمَئِذٍ وَلاَ يَسْخَبْ فَإِنْ سَابَهُ أَحَدٌ أَوْ قَاتَلَهُ فَلْيَقُلْ إِنِّي صَائِمٌ إِنِّي امْرُؤٌ صَائِمٌ

Ertinya:

“Daripada Abi Hurairah R.A., Nabi SAW bersabda: “Puasa adalah perisai. Sekiranya seseorang dari kamu sedang berpuasa pada suatu hari, maka janganlah bercakap kotor dan janganlah menengking. Jika seseorang mencela atau ingin bergaduh dengannya, katakanlah: “Sesungguhnya aku berpuasa.”(Riwayat Bukhari dan Muslim)

Sebahagian ulamak menafsirkan perkataan junnah di dalam hadith di atas sebagai pelindung daripada api neraka. Ada juga yang menafsirkan junnah sebagai perisai diri. Di dalam Bahasa Arab, banyak perkataan yang huruf asasnya terdiri daripada jim dan nun, memberi maksud sesuatu yang kita tidak nampak. Sebagai contoh:

a. Jannah – syurga – destinasi yang kita tidak nampak lagi.
b. Jin – makhluk halus yang kita tidak boleh nampak dengan mata kasar.
c. Janin – bayi dalam kandungan, yang tidak tidak nampak lagi.
d. Majnun – gila. Tak nampak untuk membezakan yang baik dan jahat.
e. Junnah – perisai. Dengan ada perisai, musuh luar tidak nampak kita, dan sukar untuk menyerang kita.

Inilah dia junnah yang perlu kita cari sepanjang madrasah Ramadhan…. agar diri kita terlindung dan kuat menghadapi musuh dalaman dan luaran untuk 11 bulan selepasnya.

********************************************

Hujjatul Islam Imam al-Ghazali dan Ramadhan

Imam al-Ghazali di dalam kitab Ihya’ Ulumiddin, berijtihad mencadangkan tips untuk memaksimumkan kecemerlangan seseorang Muslim yang berpuasa, dengan membahagi puasa itu kepada tiga jenis tingkatan, iaitu:

1. Puasa umum, iaitu tingkatan yang paling rendah dengan menahan diri daripada makan, minum dan jima’. Ini ialah puasa majoriti manusia. Puasa begini memungkinkan mereka ini tidak mendapat apa-apa sepanjang Ramadhan, melainkan lapar dan dahaga sahaja.

2. Puasa khusus, iaitu menahan makan, minum dan jima’, serta memelihara seluruh anggota tubuh dari perbuatan maksiat atau tercela. Ini ialah sasaran minimum yang perlu diletakkan oleh kita untuk mendapat puasa yang cemerlang.

3. Puasa khusus al- khusus, iaitu puasa hati dari segala kehendak hina dan segala tarikan duniawi serta mencegahnya memikirkan apa-apa yang selain Allah. Sebaiknya kita perlu berusaha menjadikan puasa pada tingkatan ini, sama seperti puasa para nabi dan juga orang-orang muqarrabin, yang amat hampir dengan Allah.

Dalam usaha mencapai sekurang-kurangnya puasa khusus, Imam Al Ghazali mencadangkan enam tips penting, iaitu:

1. Menahan pandangan dari segala hal yang dicela dan dimakruhkan serta dari tiap-tiap yang membimbangkan dan melalaikan dari mengingat Allah. Telah bersabda Rasulullah, ” Barang siapa meninggalkan pandangan kerana takut kepada Allah, nescaya Allah akan menganugerahkan padanya keimanan yang mendatangkan kemanisan dalam hatinya”.

2. Menjaga lidah dari perkataan yang sia-sia, berdusta, mengumpat, berkata keji, serta melazimi sikap berdiam diri, menggunakan waktu untuk berzikir kepada Allah serta membaca Al-Quran.

3. Menjaga pendengaran dari mendengar kata-kata yang tidak baik. Tiap-tiap yang haram diucapkan maka haram pula mendengarnya. Ramai manusia boleh mengelakkan diri daripada mengata orang lain, tetapi agak sukar untuk mengelak daripada mendengar umpatan atau gosip jahat daripada pihak ketiga. Sama ada yang mengumpat atau yang mendengar, mereka berkongsi dosa.

4. Mencegah anggota-anggota tubuh yang lain dari perbuatan dosa. Seperti mencegah tangan dan kaki dari berbuat maksiat dan mungkar, mencegah perut dari memakan yang syubhat dan haram.

5. Tidak berlebih-lebihan dalam berbuka sampai perutnya penuh makanan. Orang yang berbuka secara berlebihan tentu tidak akan dapat memetik manfaat dan hikmah puasa. Bagaimana dia berusaha mengalahkan musuh Allah dan mengendalikan hawa nafsunya, jika saat berbuka dia memanjakan nafsunya dengan makanan yang banyak.

6. Hatinya sentiasa ada perasaan cemas (khauf) dan harap (raja’), kerana tidak diketahui apakah puasanya diterima atau tidak oleh Allah. Rasa cemas diperlukan untuk meningkatkan kualiti puasa yang telah dilakukan, sedangkan penuh harap berperanan dalam menumbuhkan optimisme dan bersangka baik dengan rahmat Allah.

**************************************************|

FAQ Siyam

Q: Apakah ureterscopy yang digunakan untuk mendapat imej di dalam saluran kencing hingga ke buah pinggang membatalkan puasa?
A: Tidak

Q: Menerima suntikan atau injection sama ada di otot, sendi atau salur darah, adakah merosakkan puasa?
A: Tidak, kecuali sekiranya diberikan IV feeding atau menyuntik bahan yang menggantikan makanan ke saluran darah.

Allahua’lam

Perginya dalam beribadah

USTAZ ASRI RABBANIInsan itu bukan sebarang,
Dia insan terbilang,
Jasanya disebut orang,
Perginya kekal dikenang.

Malam 13 Ogos, selepas berjemaah di Masjid pada jam 10:30 malam, saya memacu kereta ke tepi pantai Aberdeen. Niatnya ingin melihat meteor shower di langit. Bulan sepertiga akhir Sha’ban kelihatan indah. Biasan cahayanya di Laut Utara menenangkan. Bayu musim panas mendamaikan. Berseorangan menanti munculnya keunikan ciptaan Ilahi di langit, hati saya sebak apabila tiba-tiba fikiran saya kembali mengingatkan peristiwa pemergian mengejut arwah abah pada tahun 2005 akibat serangan jantung. Di kejauhan, kelihatan anak-anak muda memakai hoodies membuat bising. Allah bagi signal supaya saya pulang segera.

Selepas sampai di rumah, saya terus melabuhkan mata untuk berehat. Sejurus bangkit untuk menunaikan solat subuh, saya dikejutkan dengan berita perkhabaran pemergian al-Marhum Ustaz Mohamad Asri Ibrahim. Sebab yang sama dengan arwah abah, iaitu serangan jantung. Berita yang akan mengejutkan dan menyedihkan.

Ramai generasi saya membesar dengan hiburan al-Marhum Ustaz Asri. Ketika inilah ingatan saya kembali ke zaman awal sekolah rendah. Abang sulung kesayangan saya setiap kali pulang bercuti dari asrama, pasti akan memasang kaset nasyid putera-putera al-Arqam. Lagu Asmaul Husna, Islam Yang Telah Berkembang dan Musafir Kelana telah menggantikan lagu nurseri kanak-kanak yang dihidangkan di sekolah rendah. Arwah abah juga amat meminati nasyid, sehingga di’dubbing’ kaset tersebut untuk dimainkan di kereta, dapur, ruang tamu dan bilik tidur. Kemuncak kepada minatnya keluarga kami kepada nasyid tersebut sehingga menyebabkan arwah abah membawa kami sekeluarga melawat Sungai Penchala, seingat saya semasa saya darjah tiga. Saya masih ingat dibawa melawat ke restoran, kedai, studio OVA dan berjumpa beberapa orang penasyid. Ketika solat berjemaah di surau mereka, itulah kali pertama saya mendengar suara-suara indah jemaah al-Arqam mengalunkan wirid Ilahi Lastu Lilfirdausi… tiada tandingan.

Seterusnya ingatan saya kembali melayang ke zaman menengah rendah di Sekolah Menengah Agama Kuala Lumpur. Terkenang guru kesayangan dan bapa angkat saya, Cikgu Abu Hasan Morad yang baru dipindahkan dari Ma’ahad Hamidiyah Kajang ke SMAKL. Kalau legasi utama CAHM di Ma’had ialah kumpulan Mirwana dan Yasin Sulaiman, perkara yang sama turut dilakukan di SMAKL. Maka ditubuhkanlah kumpulan Suara SMAKL. Berpuluh-puluh pelajar SMAKL telah dibawa ke Sungai Penchala untuk menerima latihan dan seterusnya uji bakat. Saya merupakan antara calon yang awalnya tersingkir kerana ‘tiada suara’, akan tetapi dengan pelawaan abang Mujahid dan abang Idzhar (NSH), saya telah dimasukkan semula. Jurulatih utama kami ketika itu ialah arwah Abang Zairie (Azahari Ahmad – Raihan). Beliau melatih kami menjadi artis nasyid yang sebenarnya. Berhujung minggu di Sungai Penchala menjadi kebiasaan kami. Ketika itulah kami mula hampir dengan al-Marhum Ustaz Asri. Beliau adalah seorang yang ada daya tarikan tersendiri. Walaupun amat berbakat, tetapi hidup dengan merendah diri. Walaupun kami masih ‘budak-budak hingusan’ pada waktu tersebut, tetapi Us Asri beberapa kali menjemput kami mengiringi persembahan Nadamurni di atas pentas. Beliau amat mesra, tidak lokek ilmu. Ketika saya, Azahari Abdul Rahman NSH dan beberapa orang rakan menebalkan muka menuntut ilmu nasyid dan percussion di MAKSI, Ustaz Asri antara yang paling banyak melayan kami, selain daripada abg Isman. Ustaz Asri kerap memberikan nasihat, kita bernasyid bukannya semata-mata nak menghiburkan orang, tetapi kita juga ingin mendidik orang. Itulah yang akan menjadikan nasyid itu sebagai ibadah.

Continue reading “Perginya dalam beribadah”

Tazkirah di ambang Ramadhan #2

HITUNG UNDUR: 9 HARI LAGI

Salam taqwa

Setelah mengetahui yang objektif utama berpuasa pada bulan Ramadhan ialah menggilap ketaqwaan, mari sama-sama kita fahami erti taqwa yang sebenarnya:

1. Ali bin Abu Talib: Taqwa ialah meninggalkan perbuatan maksiat, dan tidak tergoda dengan rasa sudah baik mengerjakan ketaatan.
2. Al-Hasan: Taqwa ialah menjaga diri daripada yang diharamkan dan menunaikan yang diwajibkan.
3. Ibn Kathir: Taqwa berasal daripada perkataan tawaqqi, iaitu menjaga diri daripada perkara yang tidak diingini.
4. Ibn Abbas: Orang yang bertaqwa ialah mereka yang takut dalam keadaan berwaspada daripada balasan Allah dengan meninggalkan dorongan nafsu, dan mengharapkan rahmat Allah dengan percaya terhadap perkara yang datang daripada-Nya.
5. Ali bin Abi Talib juga menerangkan mengenai taqwa: Takutkan Allah Yang Maha Tinggi, rela dengan kurniaan yang sedikit, beramal dengan Quran dan bersedia bagi hari berjalan jauh(mati) (Al-khauf minal Jalil, al-ridha bilqalil, al-amal bittanzil wal isti’dad liwaumirrahil)

************ ********* ********* ********

Bagaimana puasa menggilap ketaqwaan?

Musuh utama ketika muslim berpuasa ialah hawa nafsunya. Syaitan dibelenggu sepanjang Ramadhan. Sudah tentu Muslim yang baik akan bermujahadah melawan nafsunya ketika menyempurnakan ibadah puasa.

Operasi perang nafsu selama sebulan itu akan melatih hati kita daripada keinginan-keinginan jahat atau melebihi keperluan. Latihlah hati kita sepanjang Ramadhan ini untuk:

a. Bukan semata-mata puasa perut sahaja, tetapi puasa hati, mata, telinga, mulut dan anggota-anggota yang lain. Anggota yang terlatih selama sebulan akan rasa janggal melakukan maksiat sejurus selepas Ramadhan nanti.
b. Bangun awal pagi untuk sahur. Sahur membezakan puasa umat Muhammad dengan puasa ahli kitab. Sahur juga adalah latihan untuk kita solat subuh pada awal waktu, dan mendorong kita untuk menunaikan solat tahajjud.
c. Menggandakan bacaan al-Quran sepanjang Ramadhan. Amalan tadarus beramai-ramai adalah baik untuk menghayati makna al-Quran serta memperbetulkan bacaannya. Melatih diri untuk konsisten membaca al-Quran, serta melatih diri supaya tidak malu memperbetulan bacaan al-Quran akan memberikan kesan yang mendalam kepada Muslim yang berpuasa.
d. Melatih diri supaya bersederhana dalam mengambil makanan terutamanya ketika berbuka puasa. Berlebih-lebihan ketika berbuka puasa akan mendorong malas untuk menunaikan syi’ar malam Ramadhan seperti tarawih dan tahajjud.
e. Melatih diri supaya tidak kikir menghulurkan sumbangan kewangan. Semua Muslim wajib untuk membayar zakat fitrah. Dan alangkah cantik lagi kalau kita menjadikan Ramadhan sebagai waktu haul untuk membayar zakat harta. Kemuncaknya, ialah dengan menggandakan infaq dan sedekah jariyah.

Hakikatnya, banyak lagi latihan-latihan diri sepanjang Ramadhan untuk menggilap ketaqwaan kepada Allah swt. Libatkanlah diri anda dengan latihan-latihan ini. Ramadhan ialah pusat latihan. Jangan terkena virus escapism di bulan Ramadhan.

************ ********* ********* *

FAQ Siyam:

Q: Adakah mengorek hidung membatalkan puasa?
A: Tidak.

Q: Adakah menelan air liur membatalkan puasa?
A: Tidak. Akan tetapi ulamak mazhab Shafi’e menyatakan sekiranya air liur itu sudah keluar daripada dua bibir lalu kita menelannya semula dengan sengaja, itu membatalkan puasa.

Q: Saya lupa membaca lafaz puasa. Adakah sah puasa saya pada hari itu?
A: Yang menjadi antara rukun puasa ialah berniat, bukannya membaca lafaz niat. Niat ialah lintasan hati. Membaca lafaz niat pula ialah membaca niat tersebut dengan lisan. Ada orang yang membaca lafaz niat tetapi hatinya merewang tidak tahu apa yang dibacanya. Justeru sekiranya antara waktu maghrib hingga sebelum fajar, seseorang itu ada terlintas hatinya untuk berpuasa pada keesokan harinya, maka dia boleh berpuasa walaupun dia tidak membaca lafaz niat.

Q: Hukum memakai lip balm atau moisturizer ketika berpuasa.
A: Dibenarkan, dan puasa sah. Puasa akan terbatal sekiranya kita makan krim pelembab tersebut. Isu ini boleh diqiyaskan dengan fatwa Ibn Taimiyah mengharuskan bercelak ketika puasa.

Q: Saya tertarik dengan jawapan ustaz mengenai hukum puasa pada musim panas. Bagaimana pula cara berpuasa kalau kita berada di kutub utara dan selatan, di mana tidak ada waktu maghrib dan subuh?
A: Bagi yang berada di kutub utara, anda boleh mengikuti waktu solat dan berbuka negara yang ada waktu terhampir dengannya, contohnya di Canada atau negara Scandinavia. Bagi yang berada di kutub selatan, ikutlah waktu solat dan berbukan New Zealand atau Australia.

Allahua’lam

Tazkirah di ambang Ramadhan #1

HITUNG UNDUR: 10 HARI LAGI
***********************************************
Salam Taqwa.

Cara Sahabat Nabi dan para Salaf al-Soleh menyambut Ramadhan.

1. Mereka menyambutnya seperti seorang insan menyambut kekasihnya.
2. Mereka melazimi doa:
اَللّهُمَّ بَارِكْ لَنَا فِى رَجَبَ وَ شَعْبَانَ وَ بَلِّغْنَا رَمَضَان
Ya Allah, berkatilah kami pada Rajab dan Sha’ban, dan sampaikanlah kami dengan Ramadhan
(Hadith riwayat Ahmad)
3. Mereka melihat Ramadhan sebagai sebuah institusi menggilap ketaqwaan sebagai bekalan untuk bulan-bulan mendatang.
****************************************************

Objektif Ramadhan: TAQWA

{ يٰأَيُّهَا ٱلَّذِينَ آمَنُواْ كُتِبَ عَلَيْكُمُ ٱلصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى ٱلَّذِينَ مِن قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ }
Wahai orang-orang yang beriman! kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa.
(Al-Baqarah:183)
***************************************************************
FAQ Fiqh Siyam:

Q: Adakah terdapat kelonggaran khusus ketika berpuasa pada musim panas?
A: Selagi ada waktu Subuh dan Maghrib di sesuatu kawasan, maka selagi itulah kita perlu berpuasa seperti waktu wajibnya. InsyaAllah ganjaran berpuasa pada musim ketika siangnya boleh menghampiri 20 jam adalah lebih banyak berbanding puasa pada waktu siang yang pendek. Ramai Muslim yang telah membuktikan bahawa mereka mampu melakukannya. Adapun sekiranya puasa pada musim panas memudaratkan kesihatan, atas nasihat pakar perubatan, maka dibenarkan untuk menggantikannya pada waktu lain.

Q: Adakah menderma darah membatalkan puasa?
A: Tidak. Begitu juga dengan mengambil sampel darah untuk ujian makmal.

Q: Adakah pemeriksaan vagina bagi ibu yang sedang mengandung membatalkan puasa?
A: Tidak.

Raed melewati 4 tahun…

Ilahi Rabbi,
Engkau minta kami berdoa,
Kurniakanlah kami daripada isteri-isteri dan anak-anak, penyejuk mata,
Kami amal doa-Mu itu.

Ilahi Rabbi,
Syukur pada-Mu,
Tanggal 22 JamadilAkhir 1426/28 Julai 2005,
Engkau berikan kepada kami Raed Kifah,
Engkau maqbulkan doa kami,
Raed – penyejuk mata kami.

Ilahi Rabbi,
Syukur pada-Mu,
Engkau izinkan Raed melewati 4 tahun usianya,
Engkau izinkan kami membesarkannya,
Engkau izinkan kami membentuknya.

Justeru Ilahi Rabbi,
Sesuai dengan namanya, pemimpin perjuangan,
Jadikanlah beliau anak yang soleh,
Bakal memimpin perjuangan,
Bersama-sama menegakkan kebenaran.

Pekerjaan haram

Assalamualaikum wbt.

Terdapat dua jenis pekerjaan yang kadang-kadang umat Islam alpa mengenai pengharamannya. Yang pertama, ialah semua jenis pekerjaan yang ada kaitan dengan arak. Yang kedua, ialah semua jenis pekerjaan yang berkaitan dengan riba’.

1. Pekerjaan yang berkaitan dengan arak.

Pengharaman ini telah diperincikan menerusi hadith nabi yang bermaksud:

“Rasulullah s.a.w. melaknat sepuluh golongan yang terlibat dengan arak:
1. Yang memerahnya
2. yang minta diperahkan untuknya
3. yang meminumnya
4. yang membawanya
5. yang minta dihantarinya
6. yang menuangkannya
7. yang menjualnya
8. yang makan harganya
9. yang membelinya
10. yang minta dibelikannya.”
(Riwayat Tarmizi dan Ibnu Majah)

Dalam riwayat yang lebih kuat, Rasulullah bersabda:

Hadith Nabi SAW : “Sesungguhnya Allah telah mengharamkan arak, maka barangsiapa yang telah mengetahui ayat ini dan dia masih mempunyai arak walaupun sedikit, jangan minum dan jangan menjualnya.” (Riwayat Muslim)

Justeru, adalah jelas hukum beberapa jenis pekerjaan yang berkaitan dengan arak. Ini termasuklah:
1. Pemandu lori kedai arak.
2. Pemilik kedai yang menjual arak.
3. Juruwang (cashier/till machine operator) yang menguruskan pembelian arak.
4. Pekerja buruh di kilang arak dan yang mengangkut arak.
5. Pelayan kafe, restoran dan pramugari/a yang menghidangkan arak.
6. Kerani dan pegawai di syarikat yang berurusan secara terus dengan arak.
7. Dan lain-lain.

2. Pekerjaan yang berkaitan dengan riba.

Selain beberapa ayat al-Quran, hadith nabi juga turut menyentuh mengenai pengharaman riba, serta mereka-mereka yang membantu transaksi riba. Sebagai contoh, hadith nabi yang bermaksud:

“Dilaknati Rasulullah SAW pemakan (penerima) riba, dan pemberi makan (pemberi riba), saksinya dan penulisnya.” ( Riwayat Abu Daud, no 3333, At-Tirmidzi & Albani: Hasan Sohih )

Hadith ini jelas mengharamkan umat Islam daripada bekerja di beberapa sektor yang berkaitan langsung dengan riba. Antara contoh pekerjaan yang boleh difahami berdasarkan hadith di atas ialah:

1. Penerima dan memanfaatkan riba’ – ini termasuk orang yang menggunakan manfaat keuntungan riba seperti sektor pelaburan berasaskan riba’, perniagaan kredit/hutang berasaskan riba’, dan pelabur deposit tetap ribawi yang bergantung harap kepada keuntungan pelaburannya.
2. Pembayar riba’ – pengguna perkhidmatan bank konvensional berasaskan riba’, termasuklah pembeli rumah dan kereta menerusi kaunter pinjaman riba’, pelabur yang melaburkan wang mereka di dalam pelaburan riba’ dan pengguna/pembayar kad kredit yang terlibat dengan transaksi riba terutamanya ketika pembayaran lewat tempoh.

3. Saksi riba – termasuklah penjamin dan saksi kepada kontrak berasaskan riba meliputi pinjaman kereta, pelajaran, rumah dan lain-lain.

4. Penulis riba – termasuklah kerani kaunter di bank konvensional berasaskan riba’, peguam yang menguruskan dokumen urusniaga rumah seperti kontrak jual beli dan lain-lain, pegawai pemasaran produk berasaskan riba serta pihak berkuasa yang meluluskan urusniaga riba’.

Apa tindakan anda sekiranya anda terlibat dalam salah satu pekerjaan di atas?

1. Bertaubat.
2. Berhenti daripada melakukan pekerjaan tersebut, walaupun ianya dilihat mengurangkan keuntungan atau mengundang kerugian kepada diri/syarikat anda.

Apakah lagi yang wajar anda lakukan?

1. Sebar nota ringkas ini kepada yang lain.
2. Tegur sahabat-sahabat anda yang terlibat dengan pekerjaan-pekerjaan di atas dengan berhikmah.
3. Jaga anak-anak dan keturunan anda daripada terlibat dalam pekerjaan di atas. Penekanan perlu diberikan kepada mereka yang bekerja buruh, part-time worker, peguam, peniaga, peminjam (kereta, rumah dan pelajaran) dan pelabur.

Kesan kalau anda teruskan pekerjaan anda:
1. Mendapat dosa.
2. Mendapat balasan daripada Allah.
3. Ada juga yang mendapat petanda balasan di dunia lagi, seperti keuntungan yang anda perolehi terputus barakah (tidak berkat). Contoh gejala tidak berkat ialah:
a. walaupun gaji/untung besar, tapi masih rasa tidak cukup.
b. keluarga tidak bahagia.
c. rumah/kereta/pelajaran yang dibeli menerusi riba’ bermasalah.
d. hilang ketenangan hidup.
e. dan lain-lain.

Hayatilah firman Allah SWT, peringatan Perang Allah swt ke atas mereka yang terlibat dalam industri riba

“Hai orang-orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah dan tinggalkan sisa riba (yang belum dipungut) jika kalian orang-orang yang beriman. Jika kalian tidak mengerjakan (meninggalkan sisa riba), maka ketahuilah, bahwa Allah dan Rasul-Nya akan memerangi kalian. Dan jika kalian bertaubat (dari pengambilan riba), maka bagi kalian pokok harta kalian; kalian tidak menganiaya dan tidak (pula) dianiaya.” (Al-Baqarah: 278-279)

Wassalam.

AbuKifah

Gurindam Gaza

Wahai adik… adik tahu tak,
Gaza itu bukan asing,
Ia memanggil diri masing-masing.

Wahai adik, adik tahu tak,
Gaza tempat moyang nabi Muhammad berdagang,
Di Genting itu para anbiya’ dan mursalin pergi berjuang.

Wahai adik, adik tahu tak..
Gaza kini bermandi darah,
Menentang Zionis haram jadah,
Merampas tanah orang sukati dia jah,
Perjuangan diteruskan menanti sudah,
Kepada Tuhan tangan mengadah,
Agar bantuan turun ke lembah.

Wahai adik, adik tahu tak,
Gaza kini lebur,
Tika malam ini/semalam orang lain leka berhibur,
Dengan hiburan yang takkan dibawa ke kubur,
Hogmanay, tahun baru Masihi, hati terkujur,
Entah ke mana hidup dilabur.

Wahai adik, adik tahu tak,
Ramai kawan tak tahu pun,
Rakan seaqidah ditembak dibom,
Ahh peduli apa, aku selesa harta bertimbun,
Semuaya sponsor yang tanggung,
Atau majikan yang kongsi untung.

Wahai adik, adik tahu tak,
Mari kita sejenak berfikir,
Janji kita sebelum dilahir,
Apa sumbangan, perlu dizahir,
Mengapa 1 pound infaq kita kikir,
Mengapa berbangga dengan produk Israel.

Wahai adik, adik tahu tak,
Di Mahsyar kelak, untuk mengelap gagap,
Apa kata kita berhenti berhibur sekejap,
Cukup-cukuplah asik berentap,
Dengan firework, hiburan dan kepulan asap.

Wahai adik, adik tahu tak,
Mungkin berat membaca gurindam abang,
Kerana berat kelopak mata memandang,
Penat berhibur malam dan siang,
Jangan lupa kita di dunia ini berdagang,
Jangan terlalu singkat mata memandang,
Elak diri daripada malang,
Kembalilah kepada Tuhan Yang Maha Penyayang,
Bersama Gaza, ikhtiarkan berjuang !!!!

ABUKIFAH