Pengajian ḥadīth adalah amat penting di dalam Islām. Bersesuaian dengan kedudukannya sebagai sumber kedua selepas al-Qur’ān, pengajian ini memang dititikberatkan kepada golongan pelajar. Semua ‘ulamā’ mujtahid bersungguh-sungguh mempelajari ḥadīth daripada sumber yang ṣaḥīḥ dan bersungguh-sungguh juga untuk mendapatkannya daripada sumber yang ṣaḥīḥ.
Menurut Imām al-Shāfi‘ī, kitāb al-Muwaṭṭa’ merupakan kitāb paling ṣaḥīḥ selepas al-Qur’ān, sementara selepas karya Imām al-Bukhārī, al-Ḥāfiẓ Ibn Ḥajr al-‘Asqalānī menyatakan bahawa Ṣaḥīḥ Bukhārī adalah yang paling ṣaḥīḥ selepas al-Qur’ān.
Apabila meneliti disiplin pengajian ḥadīth, kita akan dapati bahawa kerja sarjana ḥadīth adalah begitu teliti. Khasnya dalam lingkaran pengajian Ṣaḥīḥ al-Bukhārī, sikap teliti yang dilakukan semasa proses pengumpulan dan periwayatan ḥadīth seolah-olah memberikan isyarat tidak mungkin berlakunya sebarang kesilapan apatah lagi pemalsuan di dalam kitāb Ṣaḥīḥ tersebut.
Walaupun dengan sikap berhati-hati tersebut, kitāb Ṣaḥīḥ Bukhārī masih mendapat kritikan daripada sarjana lain, sama ada secara objektif atau secara ‘bias’ kerana ingin memusuhi Islām. Antara kritikan yang diberikan ialah kredibiliti 80 orang perawi ḥadīth dalam rantaian sanad Imām al-Bukhārī.
Di dalam dunia akademia barat, terdapat beberapa orang orientalis yang amat terkenal di dalam mengkritik Ṣaḥīḥ Bukhārī dan Ṣaḥīḥ Muslim, atau ḥadīth nabi secara umum. Kritikan mereka bukannya dengan peluru kosong, tetapi sarat berisi dengan fakta ilmu musṭalaḥ ḥadīth. Sekiranya difahami akan penulisan mereka di dalam Bahasa Inggeris, bukan semua sarjana Muslim boleh menjawab secara ilmiah tanpa terjejas dengan emosi dan perasaan.

Antara sarjana orientalis berkenaan, ialah seorang sarjana Yahudi yang berasal daripada Hungary, bernama Ignaz Goldziher (m1921). Beliau antara yang agak bernasib baik, kerana dengan sebab akal genius yang dimiliki sejak dari kecil, serta kepintaran dalam berdiplomasi, Goldziher telah diterima untuk melanjutkan pengajian di Universiti Al-Azhar, berguru dengan beberapa orang mashāyīkh ḥadīth di sana.
Selepas pulang ke Eropah, beliau memulakan kajian untuk mengkritik ḥadīth termasuklah di dalam Ṣaḥīḥ Bukhārī dan Ṣaḥīḥ Muslim. Antara buku beliau yang dijadikan sebagai platform kepada orientalis dan musuh Islām terkemudian untuk menimbulkan keraguan terhadap ḥadīth ialah bertajuk Muhammadanische Studies. Antara keraguan yang ditimbulkan ialah:
- Ḥadīth adalah produk daripada perkembangan Islām semasa kurun pertama dan kedua hijrah. Autentisi rekod periwayatan di zaman nabi Muḥammad adalah amat diragui. Ianya bukan sahaja corpus yang melibatkan perkataan, tindakan dan pengakuan nabi semasa hayatnya.
- Antara hujjah yang digunakan, ialah mengapa Abū Hurairah, yang hanya sempat 3 tahun bersama nabi, lebih banyak meriwayatkan ḥadīth berbanding sahabat-sahabat senior.
- Hujjah lain, ialah pengakuan Shihāb al-Dīn al-Zuhrī bahawa beliau diminta oleh ‘Omar bin ‘Abd al-Azīz untuk mengumpul dan menulis aḥādīth.
- Beliau turut bermain dengan contoh matan ḥadīth, seperti ḥadīth galakan untuk melawat 3 masjid, iaitu al-Masjid al-Haram di Makkah, al-Masjid al-Nabawiy dan al-Masjid al-Aqṣā. Goldizher mendakwa ianya adalah rekaan Abd al-Malik bin Marwan, pemerintah Khilafah Umayyah yang berpusat di Damshiq, ketika bersengketa dengan ‘Abdullāh bin Zubair di Makkah, supaya umat Islām tidak perlu pergi jauh ke Makkah, tetapi memadai dengan pergi ke al-Aqṣā sahaja yang lebih hampir dengan Damshiq, bagi tujuan politik.

Selepas Goldziher, lahir pula seorang sarjana bernama Joseph Schacht (m.1969). Menulis buku Origins of Muḥammadan Jurisprudence, Shacht, seorang British-German, sebenarnya amat kecewa dengan akademia pasca Goldziher kerana wacana Goldziher khususnya mengenai keabsahan sunnah, dipandang sepi. Antara keraguan yang ditimbulkan oleh Schacht ialah:
- Ḥadīth adalah pemalsuan besar-besaran yang dilakukan khasnya pada kurun pertama dan kurun kedua selepas kewafatan nabi. Beliau bukan memberikan serangan kosong, tetapi sarat dengan elemen teknikal ilmu musṭalaḥ ḥadīth. Antaranya menyatakan tuduhan isnād sebagai suatu produk ‘projecting back’.
- Schacht mendakwa zaman sekitar hayat Mālik bin Anas adalah zaman kemuncak rekaan ḥadīth. Antara hujah beliau, ialah meragui mudanya umur Mālik bin Anas ketika meriwayatkan ḥadīth daripada Nāfi‘, sehingga mampu meriwayat ḥadīth daripadanya.
- Beliau turut menggunakan nama Imām al-Shāfi‘ī kononnya al-Shāfi‘ī sendiri mempertikai beberapa riwayat daripada gurunya Mālik bin Anas, sedangkan dalam masa yang sama, sarjana Muslim amat menghormati silsilah emas ḥadīth-ḥadīth yang diriwayatkan oleh Imām Aḥmad bin Ḥanbal – Imām al-Shāfi‘ī – Imām Mālik bin Anas – Nāfi‘ – ‘Abdullāh bin ‘Omar.
Keraguan di atas hanyalah penerangan ringkas, antara keraguan yang Goldziher dan Shacht timbulkan untuk meragui ḥadīth. Saya amat menggalakkan, bagi mendapatkan gambaran yang lebih penuh terhadap tahap kesarjanaan mereka berdua, agar dibaca karya-karya tulisan mereka. Sekiranya tidak mahir ilmu musṭalaḥ ḥadīth, atau sekadar belajar tetapi tidak mampu untuk membuat kajian yang analitikal, adalah amat sukar untuk menjawab semua pertuduhan Goldziher dan Schacht.
Ramai orang, terutama majoriti sarjana Muslim, dalam usaha mereka mempertahankan sunnah, hanya bersikap tidak mahu ambil tahu dengan kritikan Goldziher dan Schacth terhadap ḥadīth nabi. Sedangkan, saya berpendapat, setelah didedahkan dengan kritikan-kritikan mereka, minat dan kefahaman saya terhadap ilmu musṭalaḥ ḥadīth semakin meningkat.

Sesungguhnya, dunia Islām amat terhutang budi dengan jasa sarjana-sarjana ḥadīth seperti Sheikh Muḥammad Musṭafā al-A‘ẓamī, yang mampu menjawab semua kritikan Goldziher dan Schact dengan begitu baik, dan dapat diterima oleh orientalis yang objektif. Sheikh al-A‘ẓamī berasal dari India, lahir pada awal 1930-an. Pengajian tinggi terawalnya diperolehi daripada Darul ‘Ulūm Deoband (1952), Master daripada Universiti al-Azhar (1955) dan PhD daripada University of Cambridge (1966). Kesarjanaan beliau amat terbukti kerana sering dijemput dan dilantik menjadi professor tetap atau pelawat di banyak universiti, baik di dunia barat atau pun di negara Arab. Antara karya beliau ialah:
- Studies in Early Hadith Literature, thesis PhD di University of Cambridge
- Hadith Methodology and Literature, a general introduction to the subject
- The History of the Qur’anic Text from Revelation to Compilation: A Comparative Study with the Old and New Testaments
- On Schacht’s Origins of Muhammadan Jurisprudence
- Dirāsah fī al-Ḥadīth al-Nabawiy
- Kuttāb al-Nabi
- Manhāj an-Naqd ‘ind al-Muḥaddithīn
- al-Muḥaddithūn min al-Yamāmah
Walaupun nama beliau tidaklah sepopular sheikh-sheikh al-Azhar yang lain, tetapi ketahuilah bahawa jasa Sheikh al-A‘ẓamī amat besar di dalam memelihara keabsahan ḥadīth. Thesis beliau yang bertajuk Studies in Early Ḥadīth Literature, berjaya menerangkan kekeliruan yang ditimbulkan oleh Goldziher dan Schacht mengenai sunnah.
Ramai sarjana Makkah menggelar beliau sebagai penyelamat sunnah. Sementara ada seorang sarjana Indonesia menyamakan taraf dan sumbangan beliau dengan Imām al-Shāfi‘ī.
Bagi saya, sarjana yang baik, ialah sarjana yang mengetahui prioriti masalah umat Islam. Bukan semata-mata sarjana yang pandai berfalsafah dan bermain retorik di dalam dunia pemikiran tahap tinggi sahaja, tetapi tidak jejak di bumi. Sarjana yang baik, ialah sarjana semisal Sheikh al-A‘ẓamī, yang tidak menjadikan ilmu ini inklusif milik kumpulan tertentu sahaja. Tetapi beliau bercampur dengan semua golongan masyarakat, bahkan beliau bersama-sama berjemaah dengan umat Islam yang lain. Inilah antara kekurangan beberapa orang sarjana Muslim yang diangkat pada zaman sekarang ini, tetapi dunianya hanya bergelar di perpustakaan, bahkan tidak bercampur, dan tidak membenarkan ceramahnya disiarkan di mana-mana.
Hasil jasa Sheikh al-A‘ẓamī yang fasih bertutur di dalam Bahasa Arab dan Inggeris, kritikan Goldziher dan Schact dilihat tidak lagi mempunyai tempat di dalam akademia orientalis. Akan tetapi, hasil kritikan Goldziher dan Schacht, secara tidak langsung, telah melahirkan golongan anti-ḥadīth di kebanyakan negara umat Islām.
Saya amat mencadangkan agar pelajar-pelajar pengajian Islām dan asatizah untuk membaca semua karya yang ditulis oleh Goldziher dan Schacht, serta jawapan yang diberikan oleh Sheikh al-A‘ẓamī, agar kita tidak begitu berada di dalam zon yang selesa apabila mempertahankan sunnah nabawiyyah.
Antara contoh karya buku yang boleh diperolehi di laman web, ialah buku The History of Qur’ānic Text: From Revelation to Compilation [klik].
Bagi warga Kuantan yang ingin mencabar minda bagi memahami semua serangan teknikal yang bersifat akademik ke atas sunnah nabi, saya cadangkan baca buku kompilasi kertas kerja akademik mengenai hadith yang dikumpulkan oleh Mustafa Shah. Buku 4 jilid ini boleh diperolehi di IIUM Library.
Doakanlah agar lebih ramai sarjana Muslim yang tidak populis, tetapi amat berjasa seperti Sheikh al-A‘ẓamī ini, dilahirkan dalam dunia Islam.