Feeds:
Posts
Comments

Dato’ Seri Najib di dalam satu program di Tumpat minggu lepas telah mengeluarkan kenyataan yang menjadi berita utama di dada akhbar. Beliau mendakwa ramai pelajar dan pensyarat di institut pengajian tinggi tempatan terlibat di dalam JI dan sedang merekrut ahli kumpulan militan tersebut.

Pada minggu ini pula, nampaknya kenyataan itu telah dipanjangkan ‘echo’nya oleh seorang penceramah JAKIM, Ustaz Zamihan Mat Zin yang dilaporkan mendakwa Dato’ Seri Shahidan Kasim, Tuan Guru Dato’ Seri Abdul Hadi Awang, Dr Juanda dan Dr Mohd Asri Zainal Abidin terlibat sama di dalam JI. Ketika entri ini dibuat, saya masih belum mendapat sumber yang sahih adakah benar Ustaz Zamihan Mat Zin mengeluarkan kenyataan yang boleh dilihat tidak bertanggungjawab itu. Boleh jadi hanya media sahaja yang tersalah lapor. Apa yang pasti, kenyataan Ustaz Zamihan itu walau bagaimana jua cara gorengannya, telah menatijahkan kefahaman; sama ada benar atau tidak,  bahawa keempat-empat tokoh itu adalah pengikut Wahabisme yang kononnya punya kaitan rapat dengan JI.

Saya melihat perkembangan ini dengan sedikit kekecewaan. Sekiranya benar ada insan-insan yang terlibat dengan keganasan seumpama ini, sila tangkap dan dakwa mereka. Tindakan menghebahkan dakwaan tanpa sebarang tindakan susulan adalah amat tidak bijak dan menggambarkan ketidakmatangan di dalam tindakan. Mengapa perlu takut untuk menangkap sekiranya mempunyai bukti, saksi dan maklumat perisikan yang cukup? Mengapa perlu menghebahkan tuduhan sehingga menyebabkan semua orang yang berada di institut pengajian tinggi berhadapan dengan risiko difitnah secara sembrono? Tidak terfikirkah perasaan ibu bapa kepada mahasiswa baru yang akan mendaftar pada awal bulan hadapan? Bagaimana pula dengan kebimbangan mahasiswa baru itu sendiri, dikhuatiri direkrut oleh JI, sehingga semua ajakan untuk terlibat di dalam upacara keagamaan, dakwah dan tarbiah ditolak oleh mereka nanti?

Hubungan pemimpin dengan rakyat, ibarat hubungan ibu bapa dengan anak-anaknya. Sekiranya terbukti sahih ada seorang anak melakukan kesalahan, adakah wajar untuk membiarkan sahaja anak itu tanpa tindakan, sebaliknya mengugut serta menakut-nakutkan adik-beradiknya yang lain?

Selain itu, saya turut kecewa dengan sesetengah pihak yang suka menangguk di air keruh. Memang tidak dapat disembunyikan lagi perbalahan antara “kaum tua” dan “kaum muda” di Malaysia sekarang ini. Saya yakin ramai cendiawakan melihat perselisihan ini sebagai satu debat akademik yang boleh diharmonikan. Akan tetapi mengapa perlu perbalahan ini diheret kepada gejala fitnah?

Mengapa perlu memfitnah Dato’ Seri Shahidan Kassim dan Tuan Guru Dato’ Seri Abdul Hadi Awang sebagai Wahabi dan JI? Bukankah mereka merupakan ahli politik, yang memilih saluran demokrasi yang aman tenteram untuk memenangkan ideologi masing-masing, bukannya dengan mengangkat senjata? Tidak sedarkah pemfitnah-pemfitnah sekalian, bahawa semua rangkaian militan ini, menolak untuk terlibat di dalam proses demokrasi?

Dato’ Seri Shahidan Kassim sendiri merupakan bekas Menteri Besar, dan banyak terlibat di dalam pertubuhan sukan dan NGO.

Tuan Guru Dato’ Seri Abdul Hadi Awang sendiri pernah dituduh menjadi orang ketiga rangkaian al-Qaedah. Tuduhan itu dibuat selepas penangkapan seorang yang dituduh menjadi dalang peristiwa 7/7 di London pada tahun 2005 bernama Omar Khyam. Abdul Hadi Awang dikatakan menjadi orang ketiga al-Qaeda dan sedang berada di pusat tahanan Guantanamo Bay. Berita itu, walaupun sebenarnya merupakan kesilapan wartawan suratkhabar Daily Mirror di United Kingdom, telah menyebabkan Abdul Hadi Awang  dikaji secara teliti oleh barisan peguam British non-Muslim. Mereka mendapati Abdul Hadi Awang sebagai insan yang penuh berintegriti, menolak keganasan dan berperibadi mulia. Kesannya, beliau menang kes saman dengan mudah di Mahkamah British. Daily Mirror memohon maaf atas kesilapan tersebut, dan mengakui akan integriti Abdul Hadi Awang.

Kerana kesilapan wartawan yang tidak disengajakan, Abdul Hadi Awang menang kes saman ke atas Daily Mirror, dan integriti beliau diakui di negara Barat. Bagaimana pula sekiranya fitnah itu disengajakan?

Dr Juanda dan Dr Mohd Asri Zainul Abidin pula sekiranya diukur dengan penulisan serta ceramah mereka, dengan mudah kita akan dapati bahawa mereka berdua adalah ahli akademik yang menolak anasir keganasan.

Apa perlu dikaitkan mereka ini dengan sesuatu tuduhan yang kebudak-budakan? Adakah perlu diulang kembali peristiwa fitnah Mufti Johor terhadap “Kaum Muda” dengan menyatakan bahawa merekalah menjadi punca gejala Kristianisasi di Indonesia, kejatuhan Khilafah Uthmaniyah di Turki serta mengapa ramai yang menyokong perjuangan komunis.

Dipetik daripada buku Teguran Suci dan Jujur Terhadap Mufti Johor karangan Profesor Dr Hamka terbitan Pustaka Dini

Moga Allah menyelamatkan diri kita semua daripada terlibat di dalam gejala fitnah. Moga rakan-rakan yang cintakan Islam, bersetuju untuk tidak bersetuju di dalam semua perkara, dan melihat perbezaan pandangan itu dari aspek yang positif dan diharmonikan. Sekiranya anda mendakwa diri anda cintakan Islam, cintakan sunnah Rasulullah, tolonglah jangan bermain dengan strategi sama yang digunapakai oleh pihak musuh Islam seperti Amerika dan Zionist, dengan sewenang-wenangnya menuduh rakan-rakan seaqidah berlainan mazhab dengan anda sebagai pengganas.

Baru-baru ini Malaysia kepoh dengan pendedahan mengenai lebih 41% daripada penjawat awam pernah terlibat di dalam rasuah. Selain itu, kajian Transparency International juga mendapati skor Malaysia di dalam indeks perspesi rasuah dunia agak memalukan. Berbanding dengan negara membangun yang lain, Malaysia sedikit ketinggalan di belakang.

Gejala rasuah sebenarnya telah terlalu lama berakar di dalam masyarakat Malaysia. Sama ada di pemimpin atasan negara, kakitangan awam di pelbagai peringkat, mahupun rakyat biasa, rasuah telah menjadi kebiasaan, bahkan berlaku tanpa kita sedari. Sama seperti dosa yang lain, sekiranya telah lama berakar menjadi amalan masyarakat, maka pelakunya tidak akan rasa bersalah melakukannya.

Salah seorang Menteri Besar di Malaysia pernah menyifatkan yang rasuah itu sebagai tahi. Sedangkan dadah di sini digelar sampah dan najis masyarakat, rasuah sebenarnya lebih teruk daripada dadah. Bagi penagih dadah, sekurang-kurangnya skala kecelekaan hasil ketagihannya tidaklah terlalu besar. Paling tidak pun, membahayakan dirinya, atau mungkin si penagih terpaksa mencuri harta orang lain untuk mendapatkan dadah.

Sedangkan rasuah, skala kecelakaannya amat besar. Dengan rasuah, yang tidak layak untuk menguruskan projek, akan mendapat projek. Akhirnya, kualiti pun entah ke mana. Jalan berlubang dan beralun, bangunan pula cepat roboh dan retak. Ramai yang menerima celaka akibat rasuah itu. Ini hanya satu contoh. Banyak lagi contoh-contoh yang lain yang boleh kita lihat.

Banyak kajian telah dilakukan untuk menganalisa mengapakah rasuah di Malaysia semakin membimbangkan. Sebagai ahli akademik dan orang awam, saya kerap berbincang dengan beberapa orang rakan mengenai persoalan ini.

Antara yang menarik, berkebetulan pernah dialami oleh diri saya sendiri, ialah di sektor awam, ketua jabatan diberikan kuasa yang terlalu besar untuk membuat keputusan. Banyak keputusan terserah kepada budibicara ketua jabatan. Luasnya kuasa budibicara (discretion) sebenarnya mendorong kepada jenayah pejabat yang lain, seperti diskriminasi (discrimination) dan rasuah (corruption).

Saya tidak membantah seratus peratus kuasa budi bicara ketua jabatan di sektor awam. Kuasa budibicara terbukti mempunyai signifikan yang tersendiri di dalam menggalakkan produktiviti dan kreativiti di peringkat bawahan. Di peringkat organisasi, amalan ini dipanggil sebagai memberi kuasa autonomi kepada organisasi bawahan. Amalan ini juga terbukti efektif di dalam mengangkasakan keseluruhan jentera organisasi.

Akan tetapi persoalannya, sekiranya kuasa budibicara ini diberikan di dalam dasar yang kelabu dan kabur, maka ketika itu lahirlah hasutan untuk melakukan rasuah. Rasuah merupakan ibu dan punca kepada jenayah kolar putih. Dengan rasuah, ramai yang akan teraniaya menjadi mangsa diskriminasi.

Sebagai contoh, saya pernah berurusan dengan salah sebuah agensi kerajaan Malaysia di luar negara. Pada peringkat awal, saya berurusan dengan Mr X. Secara kebetulan, Mr. X tidak dapat meneruskan proses saya kerana mempunyai keuzuran, lalu kes saya dimajukan kepada Mr Y. Terkejut saya apabila mendapati yang permohonan saya ditolak oleh Mr Y berkenaan, atas alasan discretion atau budibicara yang beliau miliki. Sedangkan semua senarai semak untuk permohonan itu telah saya penuhi seratus-peratus. Bila saya bertanya lanjut, dengan mudah beliau menjawab ini ialah budibicara saya.

Fenomena beginilah sebenarnya membusukkan sektor awam. Adakah Mr Y berkenaan menanti saya menghulur dan menjanjikan sesuatu? Adakah Mr Y rasa puas hati kerana dapat menunjukkan kuasanya yang kononnya diperuntukkan kepadanya untuk ber’budibicara’. Adakah Mr Y merasakan sama ada melulus atau tidak meluluskan permohonan saya, akan memberikan penambahan kepada imej dirinya? Adakah Mr Y merasakan yang sektor awam ini milik peribadi dia?

Itu ialah contoh di peringkat pertengahan sektor awam. Di peringkat atasan, cerita sebegini memang sudah tidak boleh disembunyikan lagi. Arwah bapa saya pernah bekerja di sektor swasta, di bahagian yang bertanggungjawab meluluskan projek berkaitan kerajaan. Beliau sendiri banyak kali disogok. Saudara saya seorang kontraktor, pun mengakui budaya ini memang berlaku secara serius di peringkat tertinggi di sektor awam. Sekiranya ingin projek diluluskan, maka perlulah menjanjikan persen yang tertentu, dan mengisi borang keahlian organisasi tertentu. Akhirnya, kerja tak buat, tetapi hanya sub-kon kepada kontraktor lain. Kualiti pun entah ke mana.

Di peringkat pekerja sokongan, contohnya, berapa ramai antara kita dipaksa menyogok polis trafik? Pengalaman saya ditahan kerana memandu laju di Lebuhraya Utara Selatan. Polis trafik berkata kepada saya sama ada ingin ‘settle’ sekarang atau ingin bayar di balai sahaja. Naif ketika itu, saya memilih untuk ‘settle’ sekarang. Rupa-rupanya yang saya bayar itu ialah rasuah.

Mengapa mereka langsung tidak rasa bersalah? Sebabnya ialah kerana mereka ini diberikan kuasa di dalam dasar yang kabur, atau merasakan diri mereka berkuasa penuh. Dengan kerapnya mereka berbuat demikian, maka hilanglah rasa bersalah. Hilanglah rasa bertuhan. Hilanglah rasa kehambaan, diawasi setiap waktu.

Penyelesaiannya pada pandangan saya agak mudah. Mudah untuk diperkata, tetapi sedikit mencabar untuk dilaksana. Kurangkan kuasa budibicara kepada ketua jabatan, sebaliknya diganti dengan dasar dan peraturan yang kemas dan bersistematik. Ini hanyalah ikhtiar penyelesai terhadap gejala tahi rasuah yang semakin berleluasa di sektor awam.

Yang pentinglah, takutlah kepada Allah. Sentiasalah rasa bertuhan dan mempunyai sifat kehambaan. Mengapa tidak gerun dengan sabda junjungan besar yang bermaksud:

Perasuah dan penerima rasuh akan masuk ke neraka.

Hari ini merupakan hari pertama persekolahan setelah cuti penggal. Saya agak rasa kurang selesa apabila setelah keluar daripada simpang Indera Mahkota 14, jalan sudah mula sesak dengan kenderaan beratur panjang menanti giliran masing-masing di lampu trafik. Amat berbeza sungguh keadaannya berbanding minggu lepas.

Sejurus selepas memasuki Jalan Gambang, keadaan jalan semakin teruk. Dengan hujan yang turun membasahi bumi Kuantan, keadaan jalan bertambah sesak apabila berlaku dua kemalangan. Kalau tidak silap saya, kemalangan pertama membabitkan hampir 7 buah kereta betul-betul sebelum Restoran Zaman. Kemalangan kedua di hadapan Pengkalan Udara TUDM pula membabitkan 3 buah kereta. Continue Reading »

Kisah Di Dua Pasaraya

1. Ong Tai Kim Gombak

Malam kedua di Malaysia,  saya keluar untuk ke Pasaraya Ong Tai Kim. Menanti untuk dibeli di dalam senarai membeli-belah saya ialah lampin pakai buang, beras, susu strawberi dan lain-lain.

Ketika di bahagian beras, saya terkejut melihat gelagat seorang penyelia Melayu yang sedang memaki hamun pekerja-pekerjanya yang rata-rata terdiri daripada rakyat Indonesia dan Bangladesh. Saya yakin mesti ada kesilapan di dalam kerja mereka, akan tetap saya amat terkejut dengan cara pekerja tersebut ditengking-hamun di khalayak pelanggan. Saya percaya yang tiada keperluan pun untuk marah mereka sedemikian rupa. Saya juga pernah bekerja sebagai buruh di UK, akan tetapi tidak pernah langsung penyelia saya meninggikan suara kepada saya.

Kejadian ini mengingatkan saya kepada kajian yang pernah dilakukan oleh sarjana Jerman Dr Bortho Scheube terhadap penyakit-penyakit di negara iklim panas. Di dalam buku The Diseases of Warm Country, beliau menyenaraikan amuk sebagai penyakit di negara panas seperti Malaysia. Ironinya, penyakit amuk ini hanya kelihatan di negara nusantara sahaja. Tidak pernah pula kedengaran bangsa lain yang mengamuk tanpa sebab. Kejahatan bangsa lain ada juga, itu jangan dinafikan. Mengamuk itu adalah kemuncak kepada kemarahan. Marah versi Melayu barangkali. Walaupun tidak mabuk minum arak, tetapi tindakannya lebih daripada kaki botol.

Sesetengah orang rasa amat berbangga sekiranya dapat memarahi orang lain. Rasa puas dan bangga diri. Kononnya itu adalah simbol kekuatan. Sedangkan mereka lupa dengan pesanan nabi Muhammad SAW di dalam hadith yang bermaksud:

Bukanlah orang kuat itu, kuat ketika berlawan, akan orang yang kuat itu ialah orang yang mampu menahan kemarahan.

Marah itu bukannya keji secara total. Ada juga marah yang terpuji. Akan tetapi sekiranya nikmat perasaan marah itu disalahgunakan, apatah lagi sekiranya dihamburkan kepada orang lain, maka percayalah tindakan kita itu sia-sia sahaja. Sam sekali mesej yang ingin disampaikan tidak akan diterima oleh orang yang kita kasari.

2. Giant Kuantan

Pada malam pertama saya membujang di Kuantan, saya pergi ke Giant untuk membeli barang keperluan. Ketika menyusuri troli saya di bahagian produk berasaskan susu, saya terdengar dialog antara seorang anak kecil dengan ayahnya.

“Abah, nak susu coklat ni.”

“Tak boleh anak, ini Nestle, kita kena boikot.”

Saya rasa kagum dengan keluarga ini. Walaupun berdasarkan penampilan diri mereka menunjukkan mereka ini keluarga susah, akan tetapi mereka bersungguh-sungguh memboikot produk yang dikatakan menyokong agenda Zionisme, seperti yang diperjelaskan secara terperinci di dalam laman web ini.

Kisah ini juga mengingatkan saya akan peladang pokok zaitun di Palestin. Mereka hidup susah kerana sekatan dan kezaliman negara haram Israel. Sumber utama mereka ialah produk zaitun, seperti minyak, jeruk dan lain-lain. Untuk menjual minyak zaiton, mereka akan pastikan yang tiada satu pun di dalam proses penghasilan produk mereka itu, membabitkan bahan bekalan Israel. Mereka sanggup membeli botol dari Itali sebagai bekas minyak tersebut, walaupun kosnya agak tinggi, dan botol daripada negara haram Israel boleh diperolehi dengan mudah dan murah. Mereka sanggup membeli kertas dan dakwat dari negara yang jauh dari mereka sebagai label produk mereka, walaupun itu semua boleh diperolehi mudah di Israel.

Itu kesungguhan mereka. Bagaimana pula dengan kita?

Ingatlah, walau sekecil mana pun sumbangan kita, ianya dinilai berganda di sisi Allah. Walau sekecil mana pun ‘sumbangan’ kita kepada musuh Islam, itu tetap merupakan saham kita kepada mereka, yang bakal digunakan untuk menzalimi rakan-rakan kita di Palestin.

Dalam banyak-banyak anugerah Allah, anugerah keluargalah yang paling bermakna dalam diri saya. Saya sayang mak dan arwah abah kerana redha Allah ke atas saya bergantung ke atas redha mereka terhadap saya. Saya amat sayang kerana isteri saya kerana beliaulah yang sentiasa bersama saya, menjadi tulang belakang ketika susah dan senang. Saya juga terlalu sayang dengan anak-anak saya, kerana mereka adalah pelaburan tetap saya untuk hari akhirat. Mereka jugalah penghibur hati saya ketika duka.

Selepas berkahwin, saya tidak pernah hidup terlalu berjauhan dalam tempoh masa yang lama dengan keluarga. Paling lama pun, ialah ketika isteri menghadiri kursus BTN. Hanya Allah sahaja yang tahu dalam tempoh 5 hari tersebut, betapa rindunya Raed yang ketika itu berumur setahun setengah terhadap mamanya. Selepas itu, tidak pernah kami tinggal berjauhan. Walaupun saya kadang-kadang sibuk setiap hujung minggu memenuhi jemputan di sana sini, akan tetapi akan pulang juga bersama keluarga.

Setelah hampir 5 tahun nikmat itu Allah pinjamkan kepada kami sekeluarga, saya sedar akan tiba suatu hari nanti Allah akan uji kami dengan menarik seketika nikmat tersebut. Dan itulah yang berlaku sekarang. Atas sebab rasmi, secara mengejut kini saya hidup dalam episod bercinta antara benua. Saya dan anak-anak lelaki terpaksa pulang ke tanah air, sementara isteri dan baby Sofea akan akan terus berada di UK sehinggalah tamat research beliau. Segala-galanya berlaku dengan begitu pantas dan drastik. Hari ini dapat pasport, esoknya beli tiket, lusanya terbang, tulatnya sudah masuk kerja. Siapa yang mahu berpisah dengan keluarga dan anak-anak. Siapa yang mahu menyeksa perasaan diri serta insan tersayang dalam kadar waktu yang pantas dan mengejut.

Beginilah ketetapan Allah. Bukan semua yang kita inginkan, akan diberikan oleh Allah SWT. Sekadar peringatan dan penawar kepada hati yang masih berduka ini, di celah kesibukan menjadi ‘bapa tunggal’ berkarier, saya nukilkan warkah peringatan ini khususnya untuk diri kami sekeluarga.

Mengapa Allah uji kita, dengan menahan seketika kehendak peribadi kita?

1. Mungkin ini sebagai kaffarah dosa untuk diri kita. Semua kita, tidak kiralah sama ada yang bergelar ustaz ustazah atau pun tidak, adalah berhadapan dengan risiko melakukan dosa. Ketebalan iman seseorang boleh dirobek dengan walau dengan sekelumit kealpaan. Beruntunglah bagi yang segera bertaubat dan berisghfar setelah melakukan dosa. Dalam pada itu, insaflah betapa luasnya rahmat Allah kepada kita, sehinggakan disediakan sebab dosa-dosa itu boleh diampunkan, iaitu dengan kaffarah melalui ujian dan penderitaan. Sabda nabi Muhammad SAW dalam sepotong hadith yang diriwayatkan oleh Imam Muslim:

Tiadalah muslim yang ditimpa cubaan seperti sakit dan sebagainya melainkan dihapuskan Allah akan dosa-dosanya, seperti pohon kayu menggugurkan daunnya.

2. Tercatat dalam ketetapan Allah dan terbukti jua di dalam sejarah, bahawa keluarga yang baik biasanya akan menerima ujian yang besar. Seolah-olah, ujian penderitaan adalah prasyaratnya. Kisah yang berlaku antara nabi Ibrahim, isterinya Hajar serta puteranya nabi Ismail telah melahirkan daripada keturunan mereka manusia yang hebat, yang terulung sekali ialah nabi Muhammad SAW.

Saya dan keluarga hanya diuji barangkali setengah tahun sahaja, di dalam dunia yang sudah dilengkapi dengan prasarana komunikasi yang hebat. Setiap malam, kita boleh sahaja berhubung melalui video conference. Semua ini masih belum wujud lagi semasa zaman nabi Ibrahim terpaksa meninggalkan Hajar dan Ismail di kota Bakkah yang kering kontang tanpa penghuni dan sumber alam. Bayangkan, betapa hibanya hati seorang ayah terpaksa meninggalkan isteri dan anaknya di tempat dan keadaan yang amat ekstrim. Akan tetapi, ketabahan serta kesabaran mengharungi ujian, melayakkan mereka semua mendapat inayah dan bantuan Allah. Ketabahan mereka berhadapan dengan ujian hebat, akhirnya melahirkan generasi yang hebat.

3. Siapa yang tidak sedih menerima ujian ini. Akan tetapi perlu dididik dan dilentur hati kita, bahawa ujian yang Allah beri sekarang ini hanyalah sedikit sahaja berbanding ujian orang lain. Apalah sangat ujian hidup cinta antara benua ini, berbanding dengan mereka yang diuji dengan kehilangan insan tersayang. Apalah sangat ujian kita ini, berbanding ujian ibu, ayah dan anak-anak Palestin khususnya di Genting Gaza. Apalah sangat ujian kita ini, berbanding nasib ramai umat Islam yang menjadi mangsa diskriminasi diktator manusia di seluruh dunia. Sehinggakan terpisah tanpa khabar berita, berjumpa tidak pernah, bertemu berharap tak usah.

Sedih memanglah sedih. Akan tetapi buat apa perlu melayan kesedihan itu secara berlebihan. Sedangkan banyak lagi nikmat kesenangan (yang sepatutnya perlu dibaca sebagai ujian) berlegar di sekitar kita. Dalam masa yang sama, ramai lagi yang lebih menderita tetapi tabah di dalam diuji Allah.

Ya Allah, bantulah keluarga kami. Permudahkanlan urusan kami. Permudahkanlah anak-anak kami menerima perubahan drastik yang mencabar ini. Murahkanlah rezeki kami. Kurniakanlah daripada isteri dan anak-anakku, penyejuk mata, dan jadikanlah mereka generasi imam yang bertaqwa. Amin Ya Rabbal Alamin.

Terima kasih yang tidak terhingga juga kepada sanak saudara dan rakan taulan yang membantu dan memahami ujian kami ini.

Jemput hadir kepada semua. Program merangkumi AGM Persatuan Melayu Aberdeen serta Kenduri Walimah/Majlis Menyambut Menantu.

Tiada hari yang saya lalui di bumi granit ini melainkan akan menyusuri sebatang jalan yang amat bersejarah di Aberdeen, iaitu High Street. Bagi kebanyakan bandar dan pekan di UK, High Street biasanya merujuk kepada jalan utama tempat tumpuan membeli-belah. Akan tetapi di Aberdeen, ianya adalah jalan utama di gudang ilmu University of Aberdeen, yang merupakan antara universiti tertua di seluruh UK.

Banyak kisah yang belum dibongkar sepanjang jalan ini. Kalau dibongkar pun, bukannya semua orang ingin untuk mengetahuinya. Menarik juga kalau kita mendengar kisah-kisah lama Old Aberdeen, sekurang-kurangnya ada yang boleh dijadikan pedoman.

Antara yang menarik, ialah bangunan yang bermegah dengan alamat nombor 1 High Street. Bagi yang melalui jalan ini setiap hari, bukannya semua yang akan terperasan keunikan yang terdapat di dinding luar rumah nombor 1 ini.

1 High Street Old Aberdeen

Perhatikan plak bulat di atas pintu bersebelahan tingkap tingkat atas belah kanan gambar

Sekiranya diperhatikan di bahagian atas pintu, bersebelahan dengan tingkap di tingkat atas, terdapat satu plak unik di situ. Plak itu ialah insurans bomba. Pada kurun ke-18, perkhidmatan bomba ialah antara simbol kemewahan. Hanya orang yang membayar premium insurans bomba sahaja  mempunyai capaian untuk mendapatkan khidmat mereka.

Plak insurans bomba, antara keperluan yang dijadikan simbol kemewahan antara abad ke-17 hinggalah kurun ke-19

Ini ialah amalan orang zaman dahulu. Perkara yang sepatutnya dijadikan keperluan asas, dan boleh dinikmati secara percuma pada perspektif orang zaman sekarang, menjadi bahan ekslusif golongan tertentu yang mampu memenuhi syarat.

Cuba bayangkan sekiranya amalan ini diamalkan pada zaman sekarang, sudah tentu ramai yang menggeleng kepala.

Akan tetapi kalau kita renung, sebenarnya amalan membantu bersyarat ini masih subur di kalangan masyarakat moden di tanah air. Antara yang paling ketara, ialah ketika musim pilihanraya. Dengan sumber pendapatan isi rumah yang rendah, tekanan untuk berbelanja yang tinggi, serta kekeliruan rakyat untuk membezakan antara manifesto parti dan tanggungjawab kerajaan yang memerintah, gejala membantu bersyarat ini semakin menjadi-jadi. Baik sama ada pemerintah di peringkat pusat, atau pun di peringkat negeri. Asal ada pilihanraya terutamanya pilihanraya kecil, projek segera akan dibuat di sana sini. Janji untuk projek mega pula akan ditaburkan, akan tetapi syaratnya ialah perlu undi saya.

Kalau kalah, mulalah berkira-kira, meninjau semula, kena tengok balik dan seumpamanya.

Seolah-oleh kembali kepada zaman dahulu kala.

Berubahlah wahai pemimpin politik Malaysia. Katakan tidak kepada politik rasuah, politik ugutan dan politik membantu bersyarat.

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.