Feeds:
Posts
Comments

Rindu kejauhan rindu sembunyian
Ibarat mekar mawar terhalang
Sirna muram cahaya dipantulkan
Angkuh ego sedihnya didahulukan

Rindu kejauhan rindu sembunyian
Terzahir di mata hanyalah onar
Sedang kejernihan embun diabaikan
Kelopak merah dibutakan

Rindu kejauhan rindu sembunyian
Pilu melihat daun keguguran
Kulit terkupas hebat ujian
Akar tunjang terpasak thabat di daratan

Rindu kejauhan rindu sembunyian
Mengharap rindu pergi-pergian
Tabahnya semangat dalam perjalanan
Selamat berjuang hingga kesudahan

Memendam rindu siapa yang tahu
Mengekang air mata beralun kesedihan
Harap pudar penyesalan dahulu
Jauh pandangan melihat ke hadapan

~~
Perjuangan di dunia itu pahit
Kerana syurga itu manis
~~

10 minutes moment in Cross Country Train

Artikel saya sebelum ini mengenai isu kalimah Allah, sama juga seperti artikel dan pandangan rakan-rakan serta sarjana lain yang jauh lebih hebat, tidak lepas daripada kritikan. Ada yang menyatakan artikel saya itu ada elemen Wahabisme. Yang paling hebat ada yang mengecam saya dengan menyatakan tindakan saya membawa kepada kekufuran. Kali ini saya ingin ‘menghabiskan’ masa dengan melayan sedikit kritikan tersebut.

Bila saya teliti semula tulisan saya tersebut, saya tidak menyokong walau sedikit pun tindakan penganut Kristian Malaysia menyekutukan Allah. Yang saya nyatakan hanyalah kebenaran yang termaktub di dalam al-Quran dan Hadith bagi non-Muslim sekiranya ingin menggunakan kalimah Allah bagi merujuk kepada tuhan sekalian alam. Bagi penjawat awam, mungkin anda biasa menggunakan istilah ‘menyokong’ dan ‘tiada halangan’ dalam membuat pertimbangan terhadap sebarang permohonan. Implikasinya jauh berbeza.

Analoginya, walaupun mungkin sedikit tersasar, ialah sebagai pemerintah, anda sudah tentu perlu membenarkan masyarakat non-Muslim memakan khinzir. Adakah tindakan membenarkan itu membawa maksud anda menyokong dan menggalakkan mereka makan khinzir? Tidak sama sekali.

Saya yakin mereka yang mengecam artikel saya ialah mereka yang penuh bersemangat dalam mempertahankan agama. Saya yakin mereka banyak kali menyelamatkan wanita Melayu murtad. Saya yakin mereka pernah memantau pergerakan orang-orang Melayu dalam gereja. Saya yakin mereka pernah berdakwah kepada masyarakat orang asal. Saya yakin mereka pernah berdakwah kepada orang bukan Islam. Saya yakin mereka bersungguh-sungguh membebaskan penyembahan orang Melayu daripada fahaman kebangsaan, sekular, liberal, hedonisme, sosialisme dan seumpamanya.

Saya bukan ingin berbangga, akan tetapi saya pernah juga la membuat walaupun sekejap perkara-perkara di atas.

Saya menghargai semangat kita semua mempertahankan aqidah umat Islam. Akan tetapi, respon dan reaksi kita dalam menangani isu ini perlulah tepat dan rasional supaya tidak memberikan kesan negatif kepada Islam.

Jika ada yang menuduh pendapat saya itu ada elemen Wahabisme, itu saya kurang pasti. Pertamanya, saya tidaklah bersama-sama dengan mereka yang dicop Wahabi itu. Keduanya, saya sendiri tidak tahu apa pandangan kumpulan yang dilabel Wahabi di dalam isu kalimah Allah. Ketiganya, kalau benar ‘kumpulan Wahabi’ itu mempunyai pandangan yang kebetulan pandangan saya sama seperti mereka, janganlah pula menuduh saya Wahabi. Analoginya, kalau ada pandangan Kristian yang kebetulan sama dengan pandangan saya, adakah sewenang-wenangnya saya dituduh Kristian?

Jika ada yang menuduh pendapat saya membawa kepada kekufuran, di mana agaknya premis tuduhan tersebut? Sejak kecil, memang saya diajar untuk memperjuangkan dan berdakwah terhadap keesaan Allah. Saya diminta bersungguh-sungguh mengeluarkan penyembahan manusia terhadap fahaman kebangsaan, kebendaan, hedonisme, sekularisme, dan elemen syirik yang lain. Saya menyeru supaya dimurnikan aqidah dan tauhid kita kepada Allah. Tidak pernah saya sekali saya pernah meminta, atau menggalakkan penganut Kristian untuk menyekutukan Allah.

Cadangan saya satu sahaja, iaitu perbaiki respon dan reaksi kita. Sepatutnya sedari awal perlu dielakkan strategi mengenakan undang-undang dalam kuasa eksekutif, dan juga kamar mahkamah untuk menangani isu ini. Dialog perlu didahulukan. Status quo juga perlu diraikan. Bagi yang membuat kesalahan kerana menyebarkan agama mereka kepada Muslim, ambillah tindakan.

Seorang rakan saya, Mr S.A. warga Malaysia yang bekerja di UK ketika mengulas isu kalimah Allah di tanah air sekarang berkata kepada saya, yang ramai rakan sekerja beliau memerhatikan secara serius perkembangan isu ini. Ada antara mereka yang Muslim, menyatakan yang nama Malaysia akan jadi lebih harum sekiranya isu ini diselesaikan dengan baik.

Ada seorang rakan Maghribi saya di sini pernah menceritakan gejala murtad yang berleluasa di negaranya. Menurut beliau, masuk agama Kristian telah menjadi trend terkini di kalangan penduduk negara itu, termasuklah beberapa orang bapa saudaranya. Matlamat mereka satu sahaja, iaitu untuk mengejar status yang tinggi dalam masyarakat. Trend masyarakat di sana ialah memandang tinggi kepada orang Kristian. Yang memeluk Kristian, akan mendapat pelbagai imbuhan, ganjaran, kerja dan status.

Saya bertanya, adakan fenomena itu disebabkan mereka keliru dengan penggunaan kalimah Allah dan banyak lagi istilah agama di dalam Kristian. Beliau menjawab, sama sekali tidak. Mereka boleh membezakan istilah Islam dan istilah Kristian walaupun berkongsi perkataan. Tetapi sebab utama gejala itu berlaku ialah kerana tipisnya iman umat Islam di sana. Mudah tewas dengan ganjaran duniawi, akhirnya dunialah yang menjadi kayu ukur mereka untuk membuat keputusan di dalam diri.

Usaha untuk mengampuhkan iman di dalam diri adalah kerja yang mulia. Dan kerja inilah sepatutnya yang menjadi keutamaan kita sekarang ini. Tewas kepada dunia atas nama cinta, akhirnya keluar Islam. Tewas kepada dunia atas nama duit dan harta, akhirnya keluar Islam. Tewas kepada dunia atas nama merajuk dan kecewa, akhirnya keluar Islam. Semua itu kerana tipis iman.

Mungkin pandangan saya ini salah. Akan tetapi saya rasa tiada umat Islam yang keluar Islam kerana keliru penggunaan kalimah Allah dalam agama lain. Lainlah kalau lahir dengan nama Islam, akan tetapi tidak pernah diajar ilmu aqidah dan tauhid, itu barangkali akan mempengaruhi mereka.

Justeru, gunalah peluru yang betul untuk mengatasi kekusutan ini. Respon dan reaksi biarlah tepat dan kena, supaya terpamer keindahan Islam sebagai rahmat kepada semua.

Risau juga melihat perkembangan terkini di tanahair. Setelah beberapa rumah ibadat Kristian dibakar dan dirosakkan, kali ini giliran masjid pula yang menjadi sasaran. Terdahulu, dua surau di Muar. Dua hari lepas, beberapa masjid di sekitar ibu kota. Itu kes yang dilaporkan. Entah-entah ada lagi yang didiamkan. Allahua’lam.

Perbuatan membakar masjid serta rumah rumah ibadah orang lain adalah perbuatan yang terkutuk, zalim dan bacul. Sejarah pernah menyaksikan bagaimana tentera Salibiyyah ketika masuk ke dalam kota lama Jerusalem, mereka telah membunuh ribuan penduduk awam yang berselindung di dalam masjid, sinagog dan gereja. Sejarah juga pernah melaporkan bagaimana zalimnya sebahagian unit tentera penjajah British di zaman King Edward membakar penduduk awam di dalam gereja di Amerika Utara. Kesemua tindakan ini direkodkan sebagai tindakan yang zalim.

Firman Allah SWT di dalam surah al-Hajj ayat 40:

الَّذِينَ أُخْرِجُوا مِن دِيَارِهِمْ بِغَيْرِ حَقٍّ إِلَّا أَن يَقُولُوا رَبُّنَا اللَّهُ وَلَوْلَا دَفْعُ اللَّهِ النَّاسَ بَعْضَهُم بِبَعْضٍ لَّهُدِّمَتْ صَوَامِعُ وَبِيَعٌ وَصَلَوَاتٌ وَمَسَاجِدُ يُذْكَرُ فِيهَا اسْمُ اللَّهِ كَثِيرًا وَلَيَنصُرَنَّ اللَّهُ مَن يَنصُرُهُ إِنَّ اللَّهَ لَقَوِيٌّ عَزِيزٌ

Ertinya : orang-orang yang telah diusir dari kampung halaman mereka tanpa alasan yang benar, kecuali kerana mereka berkata: “”Tuhan kami hanyalah Allah”". Dan sekiranya Allah tiada menolak (keganasan) sebahagian manusia dengan sebahagian yang lain, tentulah telah dirobohkan biara-biara Nasrani, gereja-gereja, rumah-rumah ibadah orang Yahudi dan mesjid-mesjid, yang di dalamnya (masjid-masjid) itu banyak disebut nama Allah. Sesungguhnya Allah pasti menolong orang yang menolong (agama) -Nya. Sesungguhnya Allah benar-benar Maha Kuat lagi Maha Perkasa.”

Sebahagian ulamak tafsir menyatakan bahawa ayat ini adalah hujjah mengapa serangan ke atas masjid dan rumah ibadat lain adalah diharamkan di dalam Islam. Rumah ibadat adalah simbol kepada keamanan. Sekiranya simbol kepada keamanan ini pun sanggup diserang, maka nyatalah penyerang itu terdiri daripada manusia yang amat rosak sahsiahnya.

Dunia sekarang sedang memerhatikan bagaimana respon dan reaksi Malaysia terhadap insiden ini. Kita doakan agar ianya dapat ditangani dengan baik dan aman.

Dalam masa yang sama, ini masanya kita muhasabah kembali beberapa kejadian merobohkan masjid yang pernah dilakukan oleh pihak berkuasa majoriti Muslim di beberapa negeri di Malaysia sepanjang dekad lalu. Perbuatan ini juga perbuatan terkutuk. Pada pandangan saya, Muslim yang merobohkan masjid dengan sebab yang tidak rasional, adalah lebih keji berbanding non-Muslim yang membaling kepala khinzir di perkarangan masjid. Tiadalah manusia yang lebih zalim melainkan mereka yang sanggup memberikan arahan supaya rumah Allah, yang sentiasa dipenuhi ahli ibadatnya, dan dimakmurkan dengan majlis ilmunya, dirobohkan dengan alasan remeh.

Firman Allah di dalam surah al-Baqarah ayat 122:

وَمَنْ أَظْلَمُ مِمَّنْ مَنَعَ مَسَاجِدَ اللَّهِ أَنْ يُذْكَرَ فِيهَا اسْمُهُ وَسَعَى فِي خَرَابِهَا أُولَئِكَ مَا كَانَ لَهُمْ أَنْ يَدْخُلُوهَا إِلَّا خَائِفِينَ لَهُمْ فِي الدُّنْيَا خِزْيٌ وَلَهُمْ فِي الْآخِرَةِ عَذَابٌ عَظِيمٌ

Dan siapakah yang lebih zalim daripada orang yang menghalang-halangi menyebut nama Allah dalam masjid-masjidNya, dan berusaha untuk merobohkannya? Mereka itu tidak sepatutnya masuk ke dalamnya (masjid Allah), kecuali dengan rasa takut (kepada Allah). Mereka di dunia mendapat kehinaan dan di akhirat mendapat siksa yang berat.



Di atas timbunan mainan,
Anak-anakku bermain riang,
Senyum ketawa tak pernah lekang,
Menghibur hati mama baba ketika pulang,

Di atas robohan bangunan,
Anak-anak mereka mencari sisa harapan,
Menjerit ibu dan ayah supaya pulang,
Takut, resah, rindu, tidak tertahan.

Di dalam rumah yang aman,
Anak-anakku mengaji setiap malam,
Menjamu makanan sentiasa terhidang,
Tidur nyenyak sentiasa tenang.

Di celah robohan bangunan,
Anak-anak mereka bingit mendengar bedilan,
Tangisan nada sendu bersahutan,
Merayau-rayau mencari peluang dan kesempatan.

Anak-anakku bermain Wii siang dan malam,
Kononnya mengikut peredaran zaman.

Anak-anak mereka bermain lastik, membaling batu dan pistol mainan,
Supaya bersedia menjadi pejuang di barisan hadapan.

Anak-anakku dijamu dengan kemewahan,
Anak-anak mereka disaji dengan adegan pembunuhan, pengeboman dan kezaliman.

Janganlah lupa wahai anak-anakku,
Mencontohi semangat perjuangan rakan-rakan kalian di bumi perjuangan,
Kesenanganmu sekarang, mungkin menjadi penyempit hidup di hari kemudian,
Bersiap-siagalah mengharungi kehidupan.

Janganlah bersedih wahai anak-anak mereka,
Kalian lahir sebagai pembela utama al-Aqsa,
Kesusahan hidupmu sekarang, pasti menjadi penyenang di hari kemudian,
Teruskan membina jatidiri pejuang,
Agar al-Aqsa bebas dari cengkaman kezaliman.

Kami sekeluarga telah tinggal di teratak buruk 80GMC Tillydrone hampir selama 3 tahun. Tiada keluarga Melayu yang tinggal berhampiran rumah kami. Majoritinya adalah penduduk tempatan. Ada juga beberapa penduduk berketurunan Afrika dan juga pendatang Eropah Timur, terutamanya dari Poland. Kejiranan Tillydrone agak sinonim dengan kawasan yang bermasalah. Kebanyakan rumah di sini disewakan kepada penduduk tempatan yang kurang berpendapatan, justeru kadar jenayahnya agak tinggi juga. Daripada serbuan ke rumah pengedar dadah, sehinggalah ke cubaan membunuh diri, semuanya telah kami saksikan di depan mata. Cuma alhamdulillah jiran terdekat kami baik-baik belaka.

Di flat kecil inilah kami membesarkan anak-anak. Bermula dengan seorang anak, sehinggalah insyaAllah yang keempat beberapa bulan lagi. Anak-anak kami membesar dalam suasana tiada halaman rumah. Flat kami pula letaknya di tingkat empat, tanpa lif. Setiap hari, senaman kami ialah dengan turun naik tangga. Kasihan kepada isteri, turun naik tangga ketika sarat mengandung. Kadang-kadang sambil mendukung anak ketiga.

Di UK, dinding rumah dibuat daripada chip board, sementara lantainya pula dibuat daripada kayu. Justeru, tidak kedap bunyi. Saya boleh mendengar apa yang jiran di bawah rumah saya perbualkan. Begitu juga sebaliknya.

Mula-mula pindah ke sini, risau juga kami, kerana memikirkan anak-anak yang agak rapat umur mereka berbuat bising, menjerit bermain serta melompat riang. Cuma kami agak lega, kerana jiran di bawah rumah kami pernah menampal satu notis di depan pintu rumahnya yang berbunyi,

“Dear postman, please knock and buzz couple of time loudly. I’m always home, with hearing difficulty.” ;)

Notis itu membuat kami lega. Justeru tidaklah risau sangat kalau berbuat bising dalam rumah. Sama ada ketika anak bermain, atau ketika tetamu datang, atau pun ketika majlis ilmu dan usrah serta membaca al-Quran beramai-ramai.

Cuma pada hari Ahad lepas, ketika anak-anak saya tengah naik syeh bermain, melompat dan berlari, tiba-tiba pintu rumah saya diketuk. Jiran bawah rumah saya rupanya. Perempuan dewasa yang tinggal dengan seorang lagi rakan sebaya dan juga seekor anjing.

Dia menegur kami kerana membuat bising. Nasib kami baik, kerana kami tidak dimarahinya. Jiran kami itu menegur dengan amat baik dan lembut sekali. Dia kata, bertahun-tahun lamanya dia sudah rasa ok mendengar bising dari rumah saya, kerana faham itu adalah kerenah anak-anak saya. Beliau juga mengaku kadang-kadang membuat bising, membuka radio dan televisyen sekuat-kuatnya, serta kerap juga anjingnya yang ditinggalkan menyalak semalaman. Akan tetapi kebetulan pada hari itu, agaknya bergegar siling rumah beliau dikerjakan oleh anak-anak saya, sehingga beliau yang mempunyai masalah pendengaran pun rasa terganggu.

Saya sekadar meminta maaf, dan meminta anak-anak saya diam. Sekurang-kurangnya, pada hari tersebut. Dan harapnya, anak-anak saya dapat mengawal diri ketika bermain.

Dan nampaknya, selepas ini tetamu-tetamu yang hadir ke rumah saya, dapatlah mengawal suara terutamanya ketika menaiki tangga hendaknya :)

Marilah membenarkan sabda nabi Muhammad yang sedia benar, seperti yang diriwayatkan oleh Bukhari, Muslim dan lainnya yang bermaksud:

“Barangsiapa yang beriman dengan Allah dan hari akhirat, maka hormatilah jirannya.”

Bila kena tegur baik-baik begini pasal buat bising, serta kesian kepada anak-anak yang kebanyakan masa mereka di dalam bangunan sahaja, rasa teringin sangat nak pulang. InsyaAllah, diperkenankan jua akhirnya nanti.

Mengapa iPhone?

Saya harap tulisan ini tidak dilihat sebagai membangga diri. Saya memakai iPhone di UK kerana sistem di UK membolehkan saya mendapatkan telefon tersebut secara percuma dengan mengikat kontrak tertentu. Kebetulan saya memang kerap membuat panggilan keluar, justeru saya layak untuk mendapatkannya secara percuma. Kalau saya di Malaysia, saya rasa saya tidak mampu untuk menggunakannya.

Tujuan saya menulis ialah sebagai perkongsian terhadap kelebihan iPhone berbanding handphone lain dalam konteks sebagai pengguna Muslim. Dalam masa yang sama, bagi pengguna iPhone Muslim, harapnya entri ini dapat memberikan idea, dan menghasilkan perkongsian serta perbincangan, tentang bagaimana kita boleh memaksimumkan penggunaan iPhone. Jika ditanya saya mengapa saya memakai iPhone, maka jawapannya ialah:

1. Saya boleh mendapatkannya percuma dengan pakej kontrak panggilan tertentu.

2. iPhone adalah smart phone terbaik pada pandangan saya. Apabila saya menyebut smart phone, ini bermaksud saya memang menggunakan secara maksimum kelebihan yang ada di dalam iPhone. Kalau anda hanya menggunakan telefon hanya untuk membuat panggilan, saya rasa tidak perlulah membazir memakai smart phone. Urusan email, menonton video, sembang maya, diari dan seumpamanya yang biasanya dilakukan dengan menggunakan komputer, boleh dilakukan dengan pantas menggunakan iPhone. Masa saya di hadapan komputer berkurangan secara drastik selepas menggunakan telefon ini. Mengapa saya menyatakan ianya terbaik berbanding smart phone yang lain, antaranya ialah kerana kestabilan sistem iPhone, sistem operasinya yang begitu simplistik, kelajuan memproses grafik, selain Apple selalu mengemas kini sistem operasi berdasarkan feedback pengguna mereka.

3. Saya juga hampir menggunakan blackberry. Akan tetapi, oleh kerana saya kerap menggunakan huruf Arab, maka saya memilih iPhone berbanding blackberry. Keyboard blackberry adalah tetap dengan huruf ruminya. Sekiranya ingin mendapat keyboard dwi-bahasa, maka saya perlu membelinya barangkali di negara Arab. Sedangkan iPhone, penggunanya bebas untuk memilih keyboard dengan bahasa masing-masing, terutamanya selepas Apple melancarkan OS 3.0 tahun lepas.

4. OS 3.0 membolehkan pengguna iPhone membaca tulisan Arab. Maka, mudahlah saya membaca laman web berbahasa Arab untuk rujukan dan bacaan saya.

5. Aplikasi untuk Muslim juga amat banyak, sama ada yang berbayar atau percuma. Taip sahaja islam atau arab di dalam iTunes atau AppStore, maka akan disenaraikan aplikasi yang amat bermanfaat untuk Muslim. Antara yang amat memanfaatkan saya ialah:

a. iQuran. Ianya boleh didapati sama ada dalam versi percuma atau pro berbayar. Antara keistimewaan aplikasi ini ialah ianya meliputi bacaan al-Quran dari qari terkemuka, selain menawarkan terjemahan penuh al-Quran pelbagai bahasa sekiranya anda memilih versi pro.Yang lebih menarik lagi ialah kita boleh membuat carian (search) mana-mana ayat al-Quran yang kita inginkan. Dengan erti kata lain, sebagai contoh, kita boleh tahu berapa banyak kalimah al-Rahman di dalam al-Quran, serta lokasi ayat dan surahnya. Sebelum ini proses carian kalimah atau ayat ini agak memakan masa dengan menggunakan mu’jam. Tetapi dengan aplikasi ini, cariannya pantas sekali.

b. Quran Reader dan Al-Mus’haf. Quran Reader ialah aplikasi berbayar, sementara al-Mus’haf pula aplikasi percuma. Kedua-dua aplikasi ini membolehkan kita membaca al-Quran sama seperti tulisan rasm Uthmani. Amat bermanfaat kepada mereka yang suka menghafal al-Quran dengan pemetaan hafalan minda mereka merujuk kepada mashaf Uthamni tersebut. Dalam masa yang sama, kita boleh membaca al-Quran di mana-mana sahaja, sama ada ketika sedang menidurkan anak, atau ketika di atas katil sebelum beradu.

c. Guidance. Aplikasi berbayar ini membolehkan pengguna Muslim mengetahui waktu solat di tempat kita berada menerusi GPS. Setiap kali waktu solat, azan akan berkumandang. Sekurang-kurangnya bagi saya dan keluarga yang tinggal di UK ini, tidaklah kesunyian mendengar azan. Anak-anak yang lahir sini pun dibiasakan dengan mendengar azan. Selain itu, kita juga boleh mengetahui arah kiblat. Bagi iPhone 3g, aplikasi ini akan menggunakan peta Google dan GPS untuk menunjuk arah kiblat berdasarkan imej peta tersebut. Bagi iPhone 3gs, aplikasi ini menawarkan arah kiblat menerusi kompas yang ada di dalam telefon tersebut.

d. Islamic Lib. Aplikasi percuma inilah yang kerap saya gunakan sekarang untuk rujukan. Banyak e-kitab rujukan sama ada berbahasa Arab, Melayu atau Inggeris boleh dimuat turun percuma di dalam aplikasi ini, justeru boleh dicapai secara offline. Antara kitab yang ada ialah termasuklah kitab tafsir muktabar, kitab hadith termasuklah Fathul Bari (lengkap), kitab feqh, isu semasa dan lain-lain. Saya telah membuat perbandingan beberapa e-kitab dengan kitab sebenar, setakat ini tiada perbezaan. Cuma bagi pengguna Muslim Sunni, perlu berhati-hati dalam menerima sumber kerana banyak juga kitab Syi’ah di dalam aplikasi ini.

e. حصن المسلم atau terjemahannya perisai Muslim. Di dalam aplikasi percuma ini, terkandung ratusan doa dan zikir ma’thur. Kekurangannya ialah semua paparannya di dalam Bahasa Arab, dan doanya tanpa baris. Justeru mungkin menimbulkan sedikit kesulitan kepada pengguna Muslim yang tidak mengetahui Bahasa Arab.

6. Perkhidmatan selepas jualan Apple, tiada tandingannya. Alhamdulillah di Aberdeen, ada cawangan Apple. Saya sengaja mencuba nasib untuk mengadu satu masalah yang banyak melanda iPhone, iaitu yellow tint screen. Apabila saya pergi ke Apple, terkejut saya melihat pelanggan yang ramai. Pekerja mereka juga ramai. Untuk membuat aduan, kena buat temujanji. Macam jumpa doktor pula. Saya dapat temujanji pada keesokan harinya. Amat berbaloi, kerana dengan menyatakan yang saya kurang berpuas hati dengan yellow tint screen iPhone saya, mereka menukarkannya secara percuma sahaja, tanpa banyak soal. Alhamdulillah dapat handset yang baru.

Cuma saya tidak nafikan, ada juga kekurangan iPhone. Antaranya:

1. OS mereka tidak membenarkan multi-tasking. Bagi yang kerap multi-tasking, mungkin akan menimbulkan masalah kepada mereka. Palm-Pre adalah smart phone terbaik pada pandangan saya untuk multi-tasking. Amat laju. Saya juga tahu yang multi-tasking iPhone boleh dibuat dengan menggunakan software jailbreak tertentu. Jadi masalah ini boleh diatasi. Selain itu, ada juga khabar angin yang menyatakan OS 4.0 akan datang akan membenarkan iPhone melakukan multi-tasking.

2. Semua aplikasi perlu dimuat turun menerusi iTunes. Ini bermakna Apple memang mengawal iPhone dengan cara mereka sendiri. Ribuan aplikasi juga bermaksud Apple mendapat keuntungan mudah. Masalah ini boleh diatasi dengan jailbreak. Cuma kena berhati-hati, jailbreak akan membatalkan waranti iPhone dan juga AppleCare extended warranty. Jailbreak juga menyebabkan kita akan memuat turut aplikasi berbayar secara percuma. Atau dengan erti kata lain, mencuri la kan? Saya rasa dah bertahun-tahun membesar dengan software pirate dalam komputer kita. Kalau tidak kekufuran Bill Gates (setakat ini), mungkin beliau orang paling kaya di mahkamah akhirat kelak kerana banyak orang curi produk dia.  Apa kata untuk iPhone, kita hidup dengan cara bersih? ;)

3. Ada satu artikel yang saya baca, menyatakan salah satu komponen cip kecil dalam iPhone, kilangnya terletak di Israel. Tetapi saya hilang artikel tersebut dan tidak dapat mencarinya semula. Justeru tidak dapat dipastikan adakah kilang itu menyokong Zionis atau tidak.

Harapnya, pengguna iPhone Muslim dapat memanfaatkan telefon canggih mereka ini untuk kebaikan. Tidak sabar rasanya pengumuman iPhone 4g baru, dijangka berada di pasaran pada pertengahan tahun ini.

Padang jarak padang tekukur

Lebih seminggu yang lalu, gempa bumi telah menggegarkan Haiti. Kekuatannya mencatat sehingga ke 7.0 magnitud, serta disusuli dengan gempa bumi lanjutan, yang terkuat ialah semalam dengan kekuatan 6.1 magnitud. Skala kemusnahan agak besar, antara 100,000 hingga 200,000 kematian serta hampir 2 juta penduduk Haiti kehilangan tempat tinggal. Sebagai muslim, ada beberapa perkara yang kita perlu kita renung bersama:

1. Di mana letaknya hati kita apabila mendengar musibah yang melanda saudara kita di Haiti. Saya rasa ramai muslim yang hanya memandang sebelah mata sahaja apabila mendengar tragedi tersebut, apatah lagi kerana ianya melanda negara majoriti non-Muslim. Memang benar, mengikut statistik, hanya 5,000 orang Muslim sahaja yang tinggal di negara Carribean itu. 0.04% daripada jumlah keseluruhan penduduk. Akan tetapi mereka itu manusia juga. Andainya Rasulullah masih hidup, dan andainya khilafah empayar Islam masih ada di dunia ini, saya yakin Muslimlah yang akan terkehadapan untuk menjuarai misi kemanusiaan ke sana. Tahniah kepada Islamic Relief, bersama-sama dengan Disasters Emergency Committee yang berjaya mengumpulkan £31.5 juta kepada mangsa gempa bumi Haiti. Kepada rakan-rakan seaqidahku yang masih belum memberikan sumbangan, tanyalah diri dan iman anda bilakah ingin berbuat demikian.

2. Mati itu datang pada bila-bila masa sahaja. Insaflah, ketika lebih 100,000 penduduk Haiti itu meninggal, kebanyakan mereka sihat-sihat belaka. Ada yang maut datang menjemput ketika sedang mengemas kini blog, ketika bermain Facebook, bersembang di kedai kopi dan pelbagai aktiviti santai yang lain. Justeru, ingatilah Allah semaksimum mungkin di mana jua kita berada, sama ada ketika senang atau susah.

3. Hidup dan ajal maut, adalah kuasa mutlaq tuhan. Subhanallah, adik Mendji Bahina Sanon, 11 tahun, berjaya diselamatkan di celah runtuhan bangunan 8 hari selepas gempa bumi itu berlaku.

4. Ada satu berita yang saya sendiri kurang pasti kebenarannya. Di sebalik kesungguhan dan kehebatan pihak Israel membantu rakyat Haiti, sehingga membina hospital lapangan pertama di negara yang telah hancur tersebut, akan tetapi  ada dakwaan yang menyatakan bahawa Israel bertindak mencuri organ mangsa gempa di situ. Sumbernya boleh dilihat di sini:

Mengenai dakwaan itu, saya tiada komen kerana saya sendiri kurang pasti sejauh mana kebenarannya. Mengenai niat Israel untuk membantu, alhamdulillah ianya satu tindakan yang terpuji. Akan tetapi sepatutnya mereka perlu juga menghulurkan bantuan kepada penduduk Arab di sekitar Timur Tengah terutamanya di Palestin yang mereka zalimi bertahun-tahun lamanya. Cuma, apa yang pasti, berita tentera Israel mencuri organ ini bukannya satu perkara yang baru. Bahkan sepanjang konflik Palestin-Israel, memang telah banyak terbukti bahwa tentera Zionist mencuri organ mayat yang mereka bunuh sendiri. Bacalah ulasan mereka terhadap dakwaan di Haiti serta pengakuan mereka terhadap aktiviti penjualan organ di akhbar rasmi mereka di sini.

Allahua’lam.

Dalam tempoh dua tiga tahun ini, saya dan isteri teringin sangat untuk pergi melawat ke negara Turki. Rasa cemburu juga melihat gambar kawan-kawan yang berbulan madu atau melancong ke situ. Negara tersebut amat istimewa, kerana pernah menjadi pusat pemerintahan Islam Uthmaniyyah dan sebelumnya pernah menjadi pusat pemerintahan kerajaan Byznatine.

Apabila menyebut Istanbul di Turki, maka biasanya orang akan mengenang jasa Sultan Muhammad al-Fateh yang membuka kota tersebut daripada pemerintahan Byzantine.  Sultan Muhammad al-Fateh memang benar seorang pemerintah yang berwibawa dan berjaya memimpin ketumbukan tentera yang soleh untuk membuka Constantinople. Akan tetapi bukan beliau yang memulakan itu.

Yang memulakannya ialah Rasulullah SAW. Dilaporkan selepas selesai menggali parit di dalam perang Khandaq, Rasulullah bersabda seperti yang diriwayatkan di dalam Musnad Imam Ahmad:

لتفتحن القسطنطينية فلنعم الأمير أميرها ولنعم الجيش ذلك الجيش

Kamu akan membuka kota Constantinople, (di tangan) sebaik-baik pemerintah itulah pemerintah pada waktu tersebut, dan juga sebaik-baik tentera ialah tentera pada waktu tersebut (yang membebaskan Constantinople).

Sahabat nabi yang sudah tentu kenaifan tercengang apabila mendengar sabda nabi Muhammad tersebut. Bagaimana mungkin tentera Islam dari kawasan kering kontang tanpa tamadun di Semenanjung Tanah Arab, mampu untuk menawan kuasa besar dunia ketika itu iaitu kerajaan Byzantine? Sungguh besar visi atau janji yang dilancarkan oleh nabi Muhammad SAW.

Lalu ramailah pewaris nabi yang cuba untuk melaksanakan visi atau menagih janji tadi. Antaranya ialah Abu Ayyub al-Ansari yang cuba membebaskannya semasa pemerintahan Bani Umayyah. Beliau merupakan seorang sahabat yang amat mencintai nabi dan tegar berjihad. Menurut riwayat Imam Ahmad dan Abu Daud, ketika Abu Ayyub memimpin tentera Muslimin mengepung Kota Constantinople yang gagah perkasa, mereka berhadapan dengan kesukaran untuk menembusi kubu kota tersebut. Lalu seorang tentera Muslimin telah meminta supaya dirinya dicampak ke dalam kubu tersebut untuk mengucar-kacirkan tentera musuh. Atau dengan erti kata lain dalam bahasa moden sekarang ini, ialah seakan-akan serangan berani mati.

Tindakan beliau telah disahut oleh tentera yang lain dengan menyatakan adakah beliau ingin mencampakkan dirinya ke dalam kebinasanaan? Mereka menukilkan firman Allah daripada ayat 195 Surah al-Baqarah:

…ولا تلقوا بأيديكم إلى التهلكة…

…Dan janganlan kamu mencampakkan diri kamu ke dalam kebinasaan

Mendengar jawapan tentera-tentera Muslimin ketika itu, Abu Ayyub al-Ansari berasa sedikit marah dan terkilan. Beliau berkata:

لا هذه نزلت فينا معشر الأنصار، حينما نصر الله الإسلام وأظهر دينه، قلنا نعود إلى أموالنا فنستثمرها ونصلحها، فأنزل الله هذه الآية يقول: (وأنفقوا في سبيل الله ولا تلقوا بأيديكم إلى التهلكة وأحسنوا..)، فالإلقاء باليد قال إنكم تتركوا الجهاد وتتفرغوا لأموالكم

Tidak, ayat ini sebenarnya diturunkan kepada kami kaum Ansar, ketika Allah telah memenangkan Islam dan menzahirkan Din-Nya, lalu kami berkata yang kami akan kembali kepada harta-benda kami, akan memperbanyak dan meningkatkannya. Lalu Allah turunkan ayat 195 Surah Al-Baqarah yang bermaksud, “Dan berinfaqlah kamu ke jalan Allah, dan jangan campakkan diri kamu ke dalam kebinasanaan, dan berbuat baiklah…”. Yang dimaksudkan dengan mencampakkan diri kamu ke dalam kebinasaan ialah kamu meninggalkan jihad, dan mengutamakan kerja mengumpul harga kamu.

Inilah dia mutiara kata Abu Ayyub al-Ansari. Beliau menegur kesilapan tentera Islam dalam memahami nas al-Quran. Kata-kata beliau merupakan satu endorsement kepada tentera beliau yang ingin melakukan ’serangan berani mati’ tersebut. Mereka sepakat membenarkannya, kerana masing-masing telah mencium bau syurga. Mengapa perlu dihalang orang yang ingin segera masyuk syurga setelah dapat mencium baunya? Itu bukan kebinasaan. Itu satu kemewahan, mutlak milik orang Islam.

Sebaliknya kebinasaan itu, ialah ketika meninggalkan jihad untuk mengumpul harta.

Abu Ayyub al-Ansari turut mencium bau syurga sebelum serangan tersebut. Beliau telah berpesan supaya jangan dikembalikan jasadnya sekiranya beliau gugur di medan, akan tetapi kuburkan sahaja jasad beliau di pinggiran Constantinople. Beliau ingin mendengar derupan tapak kaki pemerintah yang baik, bersama tentera yang baik, yang bakal membebaskan Constantinople. Akhirnya, beliau juga turut syahid di dalam pertempuran tersebut. Jasad beliau dikebumikan di sebuah kawasan dipanggil Eyüp, berhampiran Istanbul.

Maqam Abu Ayyub al-Ansari

Syahid beliau menjadi penganjak semangat kepada generasi kemudian. Setelah 800 tahun nabi Muhammad melancarkan visi membebaskan Istanbul, akhirnya kota tersebut berjaya dibebaskan oleh Sultan Muhammad al-Fateh. Yang menanam benih, ialah nabi Muhammad, yang memugarkannya ialah Abu Ayyub al-Ansari serta pejuang yang lain, yang memetik buahnya ialah Sultan Muhammad al-Fateh.

Semua mereka ini punya satu kesamaan, iaitulah mengelak diri daripada kebinasaan. Binasa mengumpul harta dan meninggalkan jihad, ditinggalkan oleh mereka, lantas melayakkan mereka mengecap nikmat kesenangan di sisi Tuhan.

Sebagai pendokong usaha menegakkan Islam sebagai deen yang memerintah, kita tidak boleh melupakan tanggungjawab untuk berzikir mengingati Allah SWT sebanyak-banyaknya. Antara kesilapan pendokong gerakan Islam ialah terlalu sibuk dengan urusan sesama manusia dan mad’u, sehingga terabai kualiti hubungan dengan Allah. Tidak pula dinafikan yang kesibukan berdakwah sesama manusia juga adalah sebahagian daripada zikrullah, akan tetapi nilailah sejauh mana kita memperuntukkan masa dan fokus diri untuk berkhalwat, bersendirian bersama Allah SWT.

Sebagai antara pengasas kepada gerakan Islam pasca kejatuhan khilafah, al-Imam al-Syahid Hasan al-Banna amat menitik beratkan amalan berzikir di kalangan ahli al-Ikhwan al-Muslimun. Apatah lagi dengan latar belakang beliau semasa zaman kanak-kanak, beliau pernah membesar di dalam suasana bertariqat. Semasa di Mesir, saya agak beruntung kerana rumah pertama saya di Syari’ Mawazin, Damanhour, letaknya hanya 5 minit berjalan kaki dengan Masjid al-Jamie’ al-Hisofi, tempat Imam al-Banna ditarbiah rohaninya menerusi tariqat Shazuliyyah Hisofiyyah. Walaupun saya secara peribadi kurang selesa dengan cara tariqat itu sekarang, apa yang pasti pengalaman Imam Hasan al-Banna di zaman kanak-kanaknya amat banyak mempengaruhi cara hidup beliau sehingga dianugerahkan syahid.

Beliau telah memperkenalkan wirid zikir al-Ma’thurat kepada umat Islam dan khususnya kepada pendokong gerakan Islam sebagai makanan rohani penguat jiwa mereka. Semasa mencadangkan al-Ma’thurat, al-Banna telah memberikan pesanan terhadap beberapa perkara penting di sebalik al-Ma’thurat:

1. Zikir mengingati Allah sebenarnya perlu dilakukan pada setiap ketika, termasuklah di dalam perkara yang biasanya dianggap sebagai perkara duniawi. Seni mengaitkan amalan dunia yang dilihat tiada kaitan dengan ritual keagamaan, dengan mengingati Allah, adalah suatu seni yang perlu digilap oleh pendokong Islam.

2. Beliau juga memperingatkan kepada ahli Ikhwan mengenai fadhilat zikir. Yang paling utama menurut beliau, ialah dengan mengingati Allah, Allah akan mengingati kita, seterusnya membawa kepada nusrah dan ketenangan di dalam menggalas amanah dakwah.

3. Adab berzikir turut ditekankan oleh beliau. Adab paling penting ialah menghadirkan kemanisan hati semasa berzikir, dengan memberikan fokus dan memikir falsafah pengertian zikir yang dilafaz lisan. Beliau turut menyatakan keutamaan merendahkan suara di dalam berzikir, dan juga menjaga kebersihan pakaian serta tempat ketika berzikir.

4. Di dalam masa yang sama, beliau turut menggalakkan ahli Ikhwan supaya membaca al-Ma’thurat secara berjemaah atau beramai-ramai, dengan syarat tidak menganggu orang lain yang sedang bersembahyang atau mengerjakan urusan yang lain. Semasa di Mesir, selalu juga saya menghadiri majlis zikir al-Ma’thurat anjuran Ikhwan di beberapa surau perkumpulan mereka. Akan tetapi sekiranya ada rakan mereka yang lewat masuk ke surau kemudian menunaikan solat, mereka secara automatik akan merendahkan suara. Menurut al-Banna, kelebihan berzikir secara berkumpulan ini disentuh di dalam sepotong hadith riwayat Muslim:

لا يقعد قوم يذكرون الله عز وجل إلا حفتهم الملائكة وغشيتهم الرحمة ، ونزلت عليهم السكينة ، وذكرهم الله فيمن عنده

Tidaklah duduk sesuatu kaum itu (berkumpul) berzikir mengingati Allah Azza wa Jall, melainkan dinaungi mereka dengan malaikat, dilimpahi dengan rahmah, dianugerahkan ketenangan dan Allah mengingati mereka terhadap apa yang di sisi mereka.

Ada beberapa perkara yang barangkali ingin saya tambah di sini berkaitan dengan isu zikir dan al-Ma’thurat.

1. Setiap manusia mempunyai selera yang berbeza, baik selera fizikal seperti makan minum berpakaian, mahu pun selera rohani. Ada sesetengah orang, rohaninya lebih berselera dengan banyak menunaikan solat sunat. Ada setengah orang dengan banyak berzikir. Ada sesetengah orang suka berzikir dengan ayat al-Quran. Sesetengah yang lain berzikir dengan wirid-wirid yang diajar oleh nabi, sahabat, atau oleh tok guru mereka. Justeru, carilah selera rohani kita. Secara peribadi, selera rohani saya ialah al-Ma’thurat, dan saya akan didik anak-anak dan keluarga saya mempunyai selera rohani yang sama. Firman Allah di dalam Surah al-Isra’ ayat 84:

قُلْ كُلٌّ يَعْمَلُ عَلَىٰ شَاكِلَتِهِ فَرَبُّكُمْ أَعْلَمُ بِمَنْ هُوَ أَهْدَىٰ سَبِيلاً

Katakanlah (wahai Muhammad) setiap orang beramal mengikut pembawaan jiwanya sendiri. Maka Tuhan lebih mengetahui siapakah yang lebih betul jalannya.

2. Kenapa al-Ma’thurat? Jawapan mudah dan ringkasnya ialah kerana al-Ma’thurat menghimpunkan wirid di dalam al-Quran dan juga di dalam hadith sohih semata-mata. Maksudnya, al-Ma’thurat ialah himpunan doa ma’thur yang diajar oleh Allah dan Nabi. Ayat al-Quran, walaupun kita membacanya tanpa mengetahui maknanya, akan terus mendapat pahala.

3. Bagaimana pula dengan wirid atau hizib atau segala juga istilah zikir yang diajar oleh tok-tok guru tertentu selepas kewafatan nabi? Bagi saya tiada masalah untuk mempunyai disiplin amalan yang dicadangkan oleh tok-tok guru tertentu, dengan syarat ialah tidak bercangah dengan syara’, tidak mempunyai elemen syirik, mempunyai makna yang baik serta pengamalnya faham falsafah pengertian zikir tersebut. Akan tetapi sekiranya dibandingkan antara zikir yang diajar oleh Allah dan Rasulnya, berbanding zikir yang diajar oleh manusia lain, sudah tentu menjadi keutamaan kita mengikuti zikir anjuran Allah dan Rasul. Dan inilah kelebihan al-Ma’thurat.

Allahua’lam bissowab.

Allah, Tuhan sekalian alam

Saya tahu isu yang tengah hangat sekarang ialah penggunaan kalimah Allah di kalangan bukan Islam. Akan tetapi yang lebih menghangatkan lagi ialah respon yang kurang tepat terhadap isu ini, sehingga ke tahap membakar rumah ibadah orang lain. Sehingga kini kes ini masih di dalam siasatan pihak polis, justeru tidak wajar untuk menuding jari kepada mana-mana pihak. Ketika hari pertama kes gereja dibakar di tanah air, ada rakan Malaysia kami di sini yang beragama Kristian menyatakan beliau pelik, kerana kebetulan semua gereja yang dibakar itu ialah gereja protestan. Saya kurang pasti sejauh manakah perbahalan Katolik-Protestan di Malaysia, adakah sehangat seperti di Eropah. Justeru saya tiada komen. Namun yang pasti, rata-rata rakyat Malaysia merasakan (zhon) yang kemungkinan besar orang Islam Malaysia bertanggungjawab ke atas pembakaran tersebut. Allahua’lam. Saya mendoakan bukan.

Sekiranya terbukti orang Islam berbuat demikian, maka itu tindakan yang bodoh. Itu bercanggah dengan ajaran Islam. Muslim berkenaan mencemarkan imej Islam. Sedangkan di dalam perang pun merosakkan rumah ibadah adalah dilarang keras, apatah lagi ketika dalam keadaan aman.

Berdasarkan beberapa forum maya yang sempat saya baca, ada juga sebahagian yang mengaku Islam, sampai tahap melancarkan ‘Holy War’ ke atas orang-orang Kristian yang bertanggungjawab ke atas isu penggunaan kalimah Allah ini. Sejak bila pula ada holy war di dalam Islam? Istilah holy war ini biasanya digunakan merujuk kepada orang-orang Kristian yang menyerang Islam terutanya di dalam Perang Salib.

Di dalam Islam, tidak ada yang dinamakan holy war. Sejak bila pula perang itu sinonim dengan suci? Perkara yang suci ialah perkara yang disukai ramai. Sedangkan di dalam al-Quran, disebut bahawa peperangan itu, walapun dalam keadaan tertentu menjadi wajib, akan tetapi ianya adalah sesuatu yang dibenci manusia. Firman Allah:

كتب عليكم القتال وهو كره لكم

Dituntut ke atas kamu berperang walaupun ianya sesuatu yang kamu benci ….. (Al-Baqarah:216)

Ketegangan ini perlu dikawal dengan baik sebelum melarat. Kerana di dalam forum maya yang saya baca, ada juga yang menyatakan kita perlu membela Islam tanpa campur tangan bukan Islam. Ini juga kurang kena. Nabi Muhammad dalam menegakkan Islam sebagai cara hidup yang memerintah masyarakat, memerlukan penglibatan non-Muslim. Antaranya:

1. Untuk mendapatkan keamanan dan kestabilan hidup di kalangan pengikut awal Islam, maka nabi Muhammad mengutus beberapa orang sahabat diketuai oleh Ja’far bin Abu Talib untuk bernaung di bawah kerajaan Habshah yang diketuai oleh Raja Al-Najashi (Negos). Raja al-Najashi terkenal sebagai seorang yang kuat dengan agama Kristiannya.

2. Untuk membina tapak ke arah penubuhan negara Islam di Madinah, nabi Muhammad menggunakan seorang musyrikin sebagai penunjuk jalan. Ironinya, nama penunjuk jalan non-Muslim tersebut ialah Abdullah bin Uraiqit. Abdullah bermaksud hamba Allah. Ketika khidmat beliau digunakan, Abdullah belum memeluk agama Islam lagi.

3. Penubuhan negara Islam Madinah juga menyaksikan nabi Muhammad mengiktiraf hak penduduk bukan Islam. Bahkan di dalam perlembagaan Madinah, golongan non-Muslim seperti kabilah Yahudi Bani Auf diiktiraf sebagai ‘ummah’ atau komuniti di dalam negara Islam Madinah.

Seperkara lagi, saya ulangi di sini bahawa saya tiada masalah kepada mana-mana pihak untuk keluar berdemonstrasi secara aman sekiranya ianya berlangsung secara terkawal kerana ini adalah amalan demokrasi dalam sebuah negara bebas. Akan tetapi, khusus bagi mereka yang berdemonstrasi membantah penggunaan kalimah Allah di kalangan penganut Kristian, saya mencadangkan minggu seterusnya, anda turut berdemonstrasi membantah tindakan pihak berkuasa sepanjang beberapa tahun yang lepas MEROBOHKAN MASJID. Ohh ya, sekiranya anda boleh mengutuk tindakan membakar gereja dan boleh menyumbangkan sehingga setengah juta RM kepada gereja tersebut, apa kata anda turut mengutuk kembali mereka yang bertanggungjawab MEROBOHKAN MASJID dan membayar ganti rugi khususnya kepada ahli kariah yang telah membina rumah Allah itu dengan duit mereka sendiri? Ada berani?

« Newer Posts - Older Posts »